Sunday, December 25, 2011

KATEGORI ULAMA DAN KEMULIAAN KEDUDUKANNYA


Daripada Anas (bin Malik) r.a, bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Ulama itu ada tiga golongan :

Pertama - ahli ilmu yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup (mengambil manfaat) dengan ilmunya.

Kedua - ahli ilmu yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya, tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya).

Ketiga - ahli ilmu yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya), tetapi masyarakat tidak mengambil manfaat dengan ilmunya."

- (Hadis riwayat ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus).

Tambahan :

Daripada Ali bin Abi Thalib karamallahu wajhah, berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Orang yang paling baik itu ialah orang yang 'alim (atau faqih tentang agama). Jika dia diperlukan, maka dia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan sekiranya dia tidak diperlukan, maka dia mencukupkan dirinya sendiri (maksudnya tidak menyusahkan orang lain)." - (Hadis riwayat Razin)

Kedua-dua hadis ini dipetik dari 40 Hadis Kelebihan Ilmu dan ‘Ulama oleh KH. Muhammad Syukeri bin Unus al-Banjari.

Refleksi :

Orang 'alim atau ahli ilmu itu, kehidupannya begitu diberkati Allah, bahkan makhluk lain pun, sama ada di lautan, di darat atau di langit turut mendoakannya (ini sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis). Dirinya sentiasa memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada makhluk lain. Keberadaannya dapat memberikan pedoman berguna kepada manusia khususnya dan makhluk Allah lain pun turut sama beroleh manfaat. Sebaliknya, orang yang jahil itu akan sentiasa membuat kerosakan kerana kejahilannya. Maka selayaknya, orang yang 'alim atau ahli ilmu itu memimpin manusia, mentadbir alam ini sesuai dengan kelayakannya sebagai manusia berilmu.

Wallahu 'alam.

Hafiz Fandani

Serdang.

Thursday, December 22, 2011

RELAKAN DIRI DIBUANG KAWAN ASAL AGAMAMU DIPERTAHANKAN


Sudah menjadi lumrah, dalam memperjuangkan agenda kebenaran akan ada halangannya, ini termasuklah daripada rakan-rakan terdekat dan bahkan paling akrab dengan kita sekalipun. Di sini, sukalah untuk diperingatkan :


Jika kita dibuang kawan atau diketepikan mereka oleh sebab tegar mempertahankan kebenaran dan keutuhan agama, percayalah; akan ada kawan lain yang pasti ditakdirkan Allah bersama kita jika mereka pun sama berprinsip teguh seperti kita. Jika tidak ada sekalipun kawan yang sudi mendekati kita dan rasa khuatir dirinya juga akan dipinggirkan, usahlah bersedih dan berhati nestapa – tetaplah teguh berdiri dan hidup dengan jiwa besar seorang yang beriman. Perjuangan seorang yang berjiwa beriman tidak akan pernah untuk tunduk dan menyerah kalah.





Kedamaian hati bukan disebabkan oleh disanjungi dan diterima khalayak ramai, tetapi bagaimana kita teguh konsisten dengan panji-panji kebenaran dan keutuhan dalam beragama - itulah kedamaian sebenar. Allah sentiasa bersama untuk kita merasa didampingi dan diredhai asalkan kita tidak berpatah arang dalam memperjuangkan kehendak-Nya. 




Dititipkan untuk nota renungan.




Hafiz Fandani

Bangi

KEUTUHAN PANJI-PANJI KEBENARAN DAN DIBENARKAN ALLAH


'Panji-panji kebenaran' mungkin dapat dirobek-robek tetapi bukan untuk selama-lamanya. Malah realiti hari ini pun sedang memaparkan perlakuan merobek-robek itu berlaku di mana-mana, tanpa ada secuil rasa segan silu dan rasa bersalah apalagi untuk insaf, sebaliknya dibanggakan pula perlakuan tersebut. 



Biarpun ia mahu dirobek dan akan terus dirobek sekalipun, 'panji-panji kebenaran' akan tetap berada atas landasan yang benar lagi dibenarkan Allah. Akan ada pula pendokongnya di samping wujud perobek pada lumrahnya. Setiap yang dibenarkan Allah mempunyai ciri-ciri kemenangan hakiki, sekalipun hakikat pemaparannya bukan di dunia ini.

‘Panji-panji kebenaran’ itu bolehlah ditamsilkan dalam konteks ini, seperti kata Sa’di bahawa emas, walaupun dilontarkan ke dalam lumpur yang kotor dan busuk tetap emas; dan debu, walaupun ditiup ke langit biru tetap debu. Atau seperti kata Jami’ :“Seseorang itu bukan dia mulia kerana kedudukannya; bahkan kedudukannya menjadi mulia kerana kemuliaan dirinya.”



Kebenaran itu mulia sekalipun dimomokkan dengan kepalsuan. Cahayanya akan memancar kerana sifat kebenaran itu yang sudah utuh bercirikan kemuliaan, berbanding kebatilan sekalipun ditatah intan permata.

Hafiz Fandani
Bangi

Thursday, December 15, 2011

FAHAM POLITIK PUTERA MELAYU ULUNG



Membaca latar kehidupan Profesor Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi cukup secara jelas menggambarkan beliau seorang yang warak dan begitu aktif dalam arena politik. Perjuangan beliau adalah untuk memartabatkan ketinggian agama, kemerdekaan negara dan keutuhan anak bangsa. Hasil daripada pembacaan yang mendalam tentang politik, gerakan Islam, pendidikan dan sebagainya, menjadikan beliau begitu teguh tentang agama, bangsa dan negara.

Bagi Dr. Burhanuddin, politik ialah alat kepada agama. Hal ini kerana politik itu boleh berubah-ubah tetapi agama tidak sama sekali, ia akan tetap. Kenyataan ini ditegaskan oleh beliau dalam karyanya Agama dan Politik pada tahun 1954:

“Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama.” - (Kamarudin 1980: 158)

Refleksi

Untuk tatapan anak bangsa, sudah sewajarnya erti perjuangan beliau selaku tokoh putera Melayu ulung dalam memahamkan anak bangsanya tentang perjuangan sebenar tidak disalahertikan, diseleweng maksud dan diperdagangkan demi apapun selain Allah, agama, negara dan anak bangsa. Perjuangan yang benar sewajarnya ditatang dengan kebenaran, apalagi kebenaran yang dijulang itu adalah memperjuangkan kesucian Islam, disusuli keamanan negara dan jati diri anak bangsa. Politik sebagai alat tidak akan benar dalam memperjuangkan agama selagi agama tidak menjadi pengukur dan pedomannya.

____________________________

Mencari erti perjuangan jiwa merdeka jauh-jauh ke ufuk paling dalam.


Hafiz Fandani
Serdang

LEGASI PUISI DR. BURHANUDDIN AL-HILMI



“Di atas runtuhan kota Melaka,
kita bangunkan jiwa merdeka,
bersatulah Melayu seluruh baka,
membela hak keadilan pusaka...”

Puisi ini pada suatu masa dahulu sering diungkapkan bagi menaikkan semangat perjuangan orang-orang Melayu supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris. Ia merupakan ungkapan Profesor Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi sewaktu menyampaikan ucapan perdananya dalam Kongres ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka pada tahun 1946. Oleh sebab pengaruh puisi ini yang begitu meluas di kalangan pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air, Profesor Dr. Hamka mengabadikannya dalam buku Dari Perbendaharaan Lama (1981:174).

Refleksi

Jiwa merdeka perlu dibangunkan dan diberikan nafas baru meskipun bumi pertiwi sudah tidak terjajah. Penjajahan akal fikir dan jiwa akan sentiasa berlaku lantaran pengaruh budaya asing yang sering disusup masuk secara disedari ataupun tidak. Perang saraf adalah unsur serangan halus dan sering diadunkan secara pakej dalam segenap aspek kehidupan. Perlu dibangunkan ketahanan jiwa, kemantapan ilmu dan akal ubudiah sebagai benteng.

Hafiz Fandani
Serdang

Wednesday, December 14, 2011

Peringatan 100 Tahun Gemulah Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi


Tahun ini adalah genap 100 tahun kelahiran Prof. Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi (lahir November 1911-2011), peniup semangat kemerdekaan Melayu dan perjuangan Islam yang hebat dan disegani itu. Beliau juga adalah antara perancang kemerdekaan Malaya berdasarkan konsep Melayu Raya.

Bagi mengenang jasa bakti beliau kepada anak bangsa dan bumi Malaya tercinta ini, adalah baik pihak-pihak yang berkemampuan dan ada hubungkait rapat dengan beliau mengadakan majlis memperingati perjuangan beliau supaya dapat diketahui dan dikenang oleh anak bangsa di bumi pertiwi ini. Walaupun pada kelazimannya, majlis memperingati tokoh berjasa diadakan genap tahun kematian, tetapi tidak mengapa jika mengenang jasa beliau pada genap tahun kelahiran. Beliau meninggal dunia pada tahun 1969.

Al-Fatihah.

Thursday, December 8, 2011

TELAGA + BUDI = TELAGA BUDI


Telaga amat sinonim dengan masyarakat Melayu. Ia menjadi salah satu keperluan bagi mendapatkan sumber air. Untuk mendapatkan sumber air paling bersih, telaga perlu digali sedalam-dalamnya. Makin dalam telaga itu digali, makin bersih air yang terpancar darinya.

Refleksi :

Di sini, telaga dianalogikan dengan lubuk hati manusia yang menjadi sumber bagi pencarian abadi, nur hidayah dan kesedaran tinggi dalam mencapai status kehambaan paling layak di sisi Allah. Perihal menggali telaga dimisalkan juga hal keadaan hati – paling kerap ia digali dan digilap, maka makin terserlah bakat kesucian dan kemurnian hati – itulah telaga budi.

Lubuk hati atau apa yang dinamakan telaga budi ini juga nanti akan dibawa menghadap Tuhan Rabbul Jalil di Mahkamah Agung kelak sebagai ‘hati yang sejahtera sentosa’.

_____________________

Kita menghadap Allah kelak tidak pun membawa segala apa yang dimiliki, sekalipun anak isteri, harta benda, juga pangkat dan darjat. Apa yang perlu kita bawa hanyalah 'sekeping hati' yang apakah 'sejahtera sentosa' atau 'qalbin salim'?

Jika hati kita ini mencapai taraf 'sejahtera sentosa', maka itulah mahligai bahagia kita - menurut penilaian di sisi Allah.

Hafiz Fandani

Serdang

Wednesday, December 7, 2011

PERIHAL IKHLAS DAN BENAR DALAM BERKARYA


Tanpa keikhlasan yang tulus dan benar dalam berkarya tidak mungkin sesebuah karya akan kekal hingga menjadi tatapan khalayak sampai bila-bila, dan menjadi sebuah karya yang evergreen atau mempunyai jangka hayat yang panjang. Hanya sebuah karya yang benar sahaja akan disayang Allah dan dipelihara-Nya. Inilah rahsia dan kekuatan sesebuah karya yang bermartabat - karya yang hanya menyampaikan makruf.

Lazimnya yang makruf dan benar itu menyokong ajaran Allah. Menyokong ajaran Allah itu bermakna menolong agama Allah. Ini adalah mafhum atau maksud daripada firman Allah dalam Al-Quran.

Karya-karya agung para ilmuwan-ulama terus ditatap hingga kini, bahkan pada masa akan datang pun. Meskipun karya mereka adakalanya berdepan mehnah dan tribulasi, ia akan terus dipelihara Allah atas dasar kebenaran yang ditatangnya [karya itu]. Ini seperti apa yang terjadi kepada karya al-Ghazzali yang pernah suatu masa dahulu ingin dilenyapkan dengan perintah dibakar. Namun, jaminan Allah atas kebenaran karyanya itu, ia terus kekal ditatap orang hingga kini. Allah sahaja Maha Mengetahui.

Hafiz Fandani

Desa Serdang

HANYA SEMATA UCAPAN 'SALAM'


Pada suatu hari, Thufail bin Ka’ab bertemu Abdullah bin Umar atau Ibnu Umar. Mereka berdua seiring menuju ke pasar. Sewaktu di pasar, pada setiap kali Ibnu Umar melewati orang yang sedang sibuk dengan urusan jual beli, ataupun sesiapa sahaja yang beliau terserempak, tidak mengira apa status sosial dan kerjaya mereka, beliau akan mengucapkan salam kepada mereka semuanya.

Kelakuan Abdullah bin Umar itu, sedikit menimbul tanda tanya kepada Thufail. Sejak sampai ke pasar, Abdullah bin Umar belum pun membeli apa-apa barang. Sangka Thufail, Abdullah ingin membeli barang keperluan. Tetapi sebaliknya, Abdullah bin Umar hanya melemparkan senyuman dan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja yang terserempak.

“Apa sebenarnya tujuan kamu ke pasar ini?” Tanya Thufail bin Ka’ab yang sejak tadi hanya berdiam diri dan memerhatikan sahaja kelakuan Abdullah bin Umar. Thufail ingin tahu, apa sebenarnya tujuan Abdullah bin Umar berbuat demikian.

“Saya lihat kamu tidak membeli sesuatu apapun, bertanyakan harga barang, tawar-menawar, ataupun duduk di suatu pertemuan pun tidak juga?”

Thufail bin Ka’ab merenung Abdullah Ibnu Umar dengan penuh tanda tanya.

“Thufail, saya datang ke pasar ini cuma ingin mengucapkan salam. Saya akan mengucapkan salam kepada semua orang yang saya jumpa,” ujar Abdullah bin Umar ringkas sambil menguntumkan senyuman.

Refleksi :

Abdullah bin Umar ke pasar semata-mata mahu menebarkan ucapan salam. Indahnya akhlak sahabat Rasulullah.

Seharusnya, kita pun begitu juga. Tebarkan salam dan sampaikan makruf, walaupun hanya sepatah kata.

Hafiz Fandani

Bangi.

Friday, December 2, 2011

PERIHAL MENGUNGKAPKAN PATAH KATA


Menulis ataupun berkata-kata yang baik-baik itu suatu sunnah. Suatu ajaran Rasulullah. Apabila ia sunnah, ia berpahala. Maka pahala akan berganda selama mana, sunnah yang baik-baik itu menjadi ikutan dan menjadi cerapan dan ikutan orang lain pula.

Berkata-kata atau menulis yang baik-baik itu juga suatu sedekah, asalkan niatnya kerana Allah. Ringkas kata, asal sahaja ia baik sifatnya, maka baiklah di sisi Allah. Keredhaan Allah itulah yang perlu didambakan.

Perkara yang meletakkan kita mulia di sisi Allah, apabila kita sentiasa ingin menjadi yang baik-baik dan seterusnya yang terbaik. Dalam Al-Quran, Allah menyebut, 'fastabiqul khairat' - berlumba-lumba dalam mencari kebaikan. Allah sentiasa mengira setiap tingkah usaha kita.

Oleh itu, berkata-kata atau menulis yang baik-baik itu adalah antara cara kita ingin menjadi yang baik-baik dan seterusnya yang terbaik. Kita bermuhasabah dengan apa yang kita ungkapkan untuk orang lain turut sama bermuhasabah seperti kita. Inilah ajaran makruf.

Dalam hal menulis ini, saya selalu teringatkan kata-kata seorang ahli Sufi Mesir, Dzun Nun al-Misri [hidup sezaman dengan Imam asy-Syafi'e dan Sayyidah Nafisah at-Tahira]. Kata beliau:

“Dan tiadalah penulis itu melainkan dia akan mati. Dan ditinggalkan berzaman apa yang telah ditulis oleh tangannya. Maka janganlah kamu tulis dengan tanganmu selain sesuatu yang menggembirakan kamu di Hari Kiamat ketika mana kamu melihatnya [hasil tulisan tersebut].”

Menulis atau mengungkapkan kata-kata itu adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di Akhirat sana. Perlu berhati-hati dalam hal menulis supaya apa yang disampaikan bukanlah mengundang dosa, malah ia membenihkan kebaikan dan pahala berganda. Paling penting, ia diredhai oleh Allah.

Semoga, setiap hasil karya yang kita adaptasikan mampu menjadi bekalan amal yang bermanfaat di Akhirat kelak, insyaALLAH. Ini adalah hasrat hati dan doa saya khususnya, dan cita-cita kita semua sebelum tiba ketentuan ajal.


Hafiz Fandani

Serdang.




Wednesday, November 30, 2011

KAEDAH SUFI: ALTERNATIF SEBENAR MENUJU ALLAH


Akan Terbit!

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.”

- Surah asy-Syams: 9

Hidup bertasawwuf bukan mengajar insan menjadi bangsa lemah tidak berdaya, tetapi membangkitkan kekuatan hebat. Tasawwuf juga bukan mengajar insan menghinakan diri, tetapi memuliakan diri dengan mencari keredhaan Allah. Tasawwuf bukan melemahkan semangat juang, tetapi membangkitkan keperwiraan di dalam diri. Tasawwuf itu mesti ada pada tiap-tiap diri insan, ia perlu disuburkan dengan benih keimanan, disirami dengan mawar ketauhidan dan disinari ia dengan jiwa keluhuran.

Sinopsis

Kaedah Sufi – Alternatif Sebenar Menuju Allah

Meneguhkan hati untuk terus istiqamah dalam menyingkap tabir kebenaran

_____________________________________

“Sentiasalah engkau bersama Allah. Jika engkau belum boleh bersama Allah, bersamalah dengan orang yang bersama Allah kerana dia dapat membawa engkau kepada Allah.”

(Hadis Qudsi)

Bertasawwuf itu bukan membawa insan mundur ke belakang, menolak kemajuan, meruntuhkan nilai sosial dan ketamadunan sejagat. Sebaliknya praktik tasawwuf adalah suatu disiplin paling efektif kepada pembangunan insan dan pengamalan nilai-nilai hidup. Ia secara komprehensifnya mampu menggilap potensi diri dan jiwa nurani untuk lebih bersikap positif, beradab, optimis, dan konsisten menuju Allah – dalam ertikata lain, ia menyiapkan diri insan untuk lebih berjiwa sejahtera-sentosa sewaktu menghadap Allah kelak.

Buku ini secara teguhnya menjawab persoalan, bagaimana sewajarnya bertasawwuf dan bertarekat? Labih jauh lagi, ia membawa pembaca kepada persoalan, bagaimana sebenarnya meraih cinta Allah? Buku ini wajar dimiliki untuk lebih memahami tentang disiplin tasawwuf dan tarekat secara lebih dekat tanpa ada sikap pesimis dan prejudis. Tajuk-tajuk yang mungkin menarik perhatian anda, antaranya:

  • Sejarah Perkembangan Tarekat Sufi
  • Fenomena Tarekat Sufi
  • Cara Memasuki Tarekat
  • Karakteristik Tarekat Tasawwuf
  • Madrasah Imam Ghazali

Selamat membaca dan semoga sentiasa teguh istiqamah mengabdikan diri kepada Allah.

Hafiz Fandani

Bangi.

Sunday, November 27, 2011

MAHAR TERHORMAT


Di sebalik kerudung manis,

aku mencari secuil malu.

Masihkah ada untuk kupintal

menjadi mahar terhormat.


~ Hafiz Fandani ~

Ahad

Detik 11.20 malam

Serdang.

Saturday, November 19, 2011

SEKRITIS IMAM AL-GHAZZALI DAN SEHEBAT IMAM ASY-SYAFI’E

Tidak salah untuk menjadi kritis. Tetapi, paling tidak pun, jadilah sekritis Imam al-Ghazzali yang digelar Hujjatul Islam. Baru selayaknya mendapat jolokan al-Hujjah. Imam al-Ghazzali, jika ingin mengkritik atau berhujah tidak sewenangnya menuduh atau mengklaim tanpa hujah.

Oleh sebab itu, jika beliau ingin mengkritik puak yang sesat, beliau kenal pasti dahulu draf kesesatan puak tersebut, barulah beliau menghukum dengan ‘ain yaqin – sesat, haram dan sebagainya. Beliau tidak mengkritik tanpa bukti, itu bukan kriteria al-Hujjah. Dan beliau tidak menjatuhkan hukum dengan zhan (sekadar sangkaan). Maka dengan itu, beliau selayaknya digelar Hujjatul Islam berdasarkan kekuatannya dalam berhujah atau berargumentasi.

Kalau pun hendak menjadi penjaga al-Sunnah. Paling tidak jadilah seperti Imam al-Syafi’e, baru selayaknya bergelar NasirusSunnah. Imam al-Syafi’e sememangnya sudah sebati jiwa dan raganya dengan warisan kenabian dan oleh sebab itu, beliau layak digelar penjaga/pemelihara Sunnah. Jika diambil kira kedua-dua contoh tokoh ini, kita di parameter yang mana?

Fikir dan renungkan sejenak ~

Oleh sebab itu, berhujahlah dengan dalil atau fakta yang sahih/qat’i. Jangan gunakan hujah atau fakta yang zhan atau boleh dipertikaikan. Ambilan hujah atau sumber fakta pun perlu diambil kira. Gunakan sumber autentik yang premier atau utama. Jangan menggunakan sumber sekunder atau yang kedua sebelum yang pertama – jadi tidak tertib (baca: tidak beradab).

Sekiranya ketiga-tiga sumber pengambilan ilmu yang diperakui oleh Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu khabar yang sahih (mutawatir sifatnya), akal alamiah atau akal ghariziyyah dan pancaindera yang lima, tidak dipraktikan, justeru itu berlakulah banyak penyelewengan pada hari ini.

Konklusinya: Jadilah sekritis Imam al-Ghazzali dan sehebat Imam asy-Syafi’e dalam pengertian yang sebenar.

Tulisan ini sekadar menyampaikan makruf. Wassalam.

Imbas dari Nota Pencerahan di Muka Buku.

~ Hafiz Fandani

Serdang.




Friday, November 11, 2011

DIRI KITA INI HANYA ADA DIA

KITA sayangkan sesuatu.

ALLAH lebih sayangkan sesuatu itu. Hakikatnya, sesuatu itu bukan milik kita, tapi hak dan milik-NYA. DIA hanya meminjamkannya kepada kita untuk sekian waktu sampai ketika diambil semula, kerana itu hak milik-NYA. Kita tidak boleh berbuat apa-apa pada kudrat, iradat dan ilmu-Nya, kerana jiwa dan jasad kita inipun milik-NYA. Sampai ketika kelak DIA pun akan mengambil kita kembali di sisi-Nya. Inilah kepastiannya - DIA PEMILIK DAN TUAN ALAM SEMESTA, sedang kita hanya CIPTAAN-NYA dan hamba di bawah kuasa dan kehendak-NYA.

Ada hikmah yang tersirat dari apa yang tersurat - sesuatu yang tidak mungkin dapat kita lihat pada pandangan mata zahir. Hanya hati yang tulus-mulus saja dapat merasai hikmahnya. Ada pengajaran besar buat kita! - solusinya; kita jangan terlalu bersedih atas kehilangan sesuatu itu dan jangan terus berputus asa untuk terus hidup. Meskipun, kita kehilangan sesuatu yang amat kita sayang - percayalah DIA masih sayangkan kita, dan memberikan kita peluang untuk mencapai KASIH SAYANG dan CINTA-NYA.

HAYATINA KULLUHA LILLAH! - Hidup kita ini semuanya kerana ALLAH.

"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." - Surah al-Insan, ayat: 2-3.

Monday, October 24, 2011

Inspirasi Pencarian Keabadian Cinta dalam Novel Isabella


Bagi pembaca-peminat novel generasi baru di Malaysia, Isabella mungkin merupakan novel yang agak asing bagi mereka. Mereka mungkin lebih akrab dengan lagu Isabella nyanyian kumpulan Search berbanding karya tulen garapan novelis Islam, Maulana Muhammad Saeed Dehlvi ini. Novel Isabella ini bukanlah novel cinta biasa, ia merupakan perihal ‘cinta luar biasa’, paparan mengenal hakikat keabadian ‘cinta sebenar’.

Secara peribadi dan bersifat nostalgia, seingat saya - sudah hampir 10 tahun saya tidak menelaah novel Isabella. Kali terakhir saya membacanya ialah ketika saya di bangku sekolah. Itupun saya membacanya melalui rujukan di perpustakaan. Sesudah itu, saya tidak lagi menemui novel Isabella sehinggalah saya menatapnya semula baru-baru ini.

Sesudah sekian lama – betapa kerinduan di hati kembali terubat.

Isabella - novel bertemakan teologi perbandingan agama antara Kristian dan Islam terbitan Pelima Media ini tampil dengan penampilan yang lebih segar dari segi rupa kulit buku. Ia seumpama diberikan nafas baru untuk lebih tampil menarik minat pembaca generasi baru yang dahagakan koleksi novel bertemakan teologi. Novel ini digarap oleh penulisnya di dalam bahasa Urdu tetapi kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (15 Ogos 1974) oleh Rahm Ali Al-Hashmi dengan judul Isabella dan seterusnya diterjemahkan ke bahasa Melayu (Jun 1988) oleh sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain.

Seindah namanya, Isabella bukanlah peribadi yang asing dalam sejarah perkembangan Islam di Sepanyol, terutamanya dalam bidang perbandingan agama Islam dan Kristian di bandar Cordova - bandar sejarah Sepanyol dan merupakan bandar tercantik di Sepanyol. Membaca setiap rentetan kisah Isabella yang penuh dramatik berbaur tragik ini bagaikan membawa kita menelusuri segenap sudut dan tempat peninggalan sejarah kegemilangan Islam di Cordova. Ia mengingatkan kita pada istana al-Hamra, Qasrul Syuhada (makam para syuhada), masjid Cordova dan juga taman tercantik di Sepanyol iaitu Rabat Yamani.

Ya, hidayah Allah merubah segalanya. Begitulah yang terjadi kepada Isabella. Tidak ada sesiapa pun menyangka, Isabella yang pada mulanya adalah seorang penganut Kristian yang tegar dan patuh pada agamanya boleh memeluk agama Islam yang begitu dibenci oleh penganut Kristian pada waktu itu. Kebencian yang memuncak pada waktu itu sehingga hampir-hampir meragut nyawa Isabella sendiri, sewaktu hidayah Allah menyapa lubuk hatinya yang paling dalam. Isabella pada usia mudanya sentiasa mempelajari dan mengkaji tentang agamanya, Kristian. Beliau sentiasa cuba untuk mencari kebenaran dalam agama Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama Kristian.

Namun, semakin dikaji agama berasaskan fahaman triniti itu, sinar Islam dan hidayah Allah makin memenuhi lubuk jiwanya. Di ketika kebenaran Islam sudah kukuh dalam dirinya, waktu itu tidak ada apapun yang mampu menggugahnya, walaupun beliau menghadapi saat-saat getir dan penuh tragik. Kekentalan imannya tidak mampu dirubah. Isabella sudah nekad dengan keIslamannya. Pengharapan penuh hanya pada Allah makin mengental liat di sanubarinya. Penyeksaan demi penyeksaan yang dihadapi Isabella mengingatkan kita pada siri-siri kekentalan iman para mujahidah Islam seperti Sumayyah dan Asiah.

Perjuangan mereka cukup-cukup membuatkan hati ini berasa kerdil sekali.

Peralihan kiblat akidahnya itu sekali gus menjadikan beliau komited dan tegas memperjuangkan ajaran Islam hingga ke akhir hayatnya. Itulah hidayah Allah - hidayah yang tidak mengenal siapa pemilik hati. Sangat beruntung siapa yang terpilih mendapat hidayah Allah. Ia bagaikan mendapat suatu anugerah yang maha hebat. Tidak ada yang setanding dan sehebat hidayah kurniaan Allah. Selepas menganuti dan menghayati agama baru, Islam yang sehebat namanya - Isabella bukan sahaja terkenal sebagai seorang muslimah yang menjadi ikutan dan pedoman ramai pemudi Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang tokoh perbandingan agama yang ulung, bahkan seorang ahli hadis di Cordova. Melalui kisah penuh bermakna ini, sudah pasti nama beliau akan tercatat sebagai seorang serikandi Islam agung sepanjang zaman, yang akan sentiasa dekat di hati dan menjadi ingatan ramai orang.

Isabella sudah pun menemui keabadian ‘cinta’ melalui kembara keimanannya. Beliau sudah menemui cinta yang tidak ada bandingan dan gantinya. Justeru, bagaimana pula dengan kita? Ayuh, mulai dari sekarang - telaah dan hayatilah sepenuh jiwa karya sehebat dan seagung Isabella ini. Moga kita semua akan mendapat cetusan semangat dan menemui nafas baru.

Selamat membaca dan semoga istiqamah menelusuri lorong-lorong keimanan.

Sekian. Wassalam.

Hafiz Fandani.
Bangi – 2011.



Tuesday, May 3, 2011

ROKOK DAUN


Oleh: Hafiz Fandani


“Hidup ini, sebenarnya mencari apa?” Datuk tiba-tiba bersuara setelah agak lama menyepi dari tadi kemudian mencapai rokok daun yang sudah siap digulung.


Malam-malam begini, seusai sahaja makan - rokok daun itulah yang akan dicapainya dulu. Sesudah itu, barulah sesi mengunyah daun sirih bersama kepingan pinang yang sudah dikacip nipis, dan sedikit calitan kapur sebagai perasa tambahan. Biasanya, kesemua bahan-bahan perkakas pinang itu, aku yang sediakan. Kalau dahulu, nenek yang menyediakan semuanya.


Seingat aku, rokok daun sama sekali tidak pernah lekang dari bibir datuk, tidak pernah berjauhan daripadanya. Asal sahaja sudah selesai makan, tidak mengira pada waktu tengah hari, petang atau malam, rokok daun itulah antara teman akrabnya tatkala merenung jauh. Rokok daun itu bagaikan sebuah inspirasinya selama ini.


“Bagi atuk, hidup ini sebenarnya mencari apa?” Aku pula menyoal.


Sekali dua rokok daun itu disedut oleh datuk. Asap berkepul-kepul naik mencecah atap rumah. Peliknya, datuk menghisap rokok daun kosong, tidak pernah sekalipun aku melihat plastik tembakau bersamanya. Apa yang ada hanya seberkas daun rokok dan pemetik api. Itu sahajalah yang dibawanya ke mana-manapun. Aku pula tidak pernah untuk bertanya tentang itu. Untungnya lagi, rokok daun itu tidak perlu dibeli, datuk sendiri yang menghasilkannya.


“Teringat apa yang pernah diperkatakan oleh guru atuk waktu belajar dulu,” ujar datuk kembali bersuara. Lama-lama sekali, aku tengok rokok daun itu disedutnya lagi. Berkepul lagi asap menyapa atap.


“Guru atuk berkata, hidup ini sebenarnya mencari jiwa yang sentosa, jiwa yang sejahtera.”


Keheningan malam yang damai begini membuatkan aku teringatkan gemulah nenek yang sudah lama meninggalkan alam pada maya ini. Sejak pemergian gemulah nenek beberapa tahun lalu, datuk hidup keseorangan di teratak tuanya ini. Aku jarang-jarang sekali ke sini, itupun jika ada cuti semester atau hari minggu. Kalau nenek ada, waktu-waktu begini, hidangan kopi pekat separa manis dan sedikit kuih muih menjadi sajian ringan yang wajib. Kini, aku sendiri yang membancuhkan air kopi itu, manakala kuih muihnya pula aku akan beli di gerai Kak Leha, di pinggir kampung. Kuih muih ramuan Kak Leha tidak kurang hebatnya. Jarang-jarang sekali kuih muih tidak habis dijual oleh janda beranak satu itu.


Nostalgia lama kembali menjengah minda.


Nenek rajin menyediakan kuih muih untuk sajian ringan pada waktu malam. Sebut sahaja apa kuih yang aku gemari, semuanya akan diusahakan buat oleh nenek untuk cucu tunggal kesayangannya ini. Lama-lama sekali aku menziarahi mereka berdua di teratak damai ini, ada-ada saja masakan istimewanya. Maklumlah aku saja buah hati datuk dan nenek. Teringat aku pada tepung bungkus, lepat liat, seri muka, dan lepat pisang sajian nenek. Aku suka menolong nenek apa yang patut bagi menyediakan kesemua kuih muih itu. Waktu-waktu begitu biasanya aku suka bertanyakan nenek tentang zaman muda-mudanya dahulu, kadangkala aku suka mengusik nenek. Terburai ketawa antara kami berdua. Ikan bawal masak asam cuka adalah antara air tangan nenek yang sukar untuk aku lupakan. Resipi nenek cukup enak dan sukar dicari galang ganti.


Nenek sering ajarkan aku sajian istimewanya, sehingga aku dari tidak tahu apa-apa, tidak pernah tahu menahupun karenah di dapur, pandai sedikit sebanyak merencah bahan-bahan ke dalam kuali. Mungkin oleh sebab nenek tidak ada cucu perempuan, maka dengan itu sedikit sebanyak ilmu masakannya dicurahkan pada aku. Untung pula, aku tidak kisah belajar memasak ini, paling tidak aku boleh berdikari sendiri.


“Lelaki perlu juga tahu hal memasak, paling tidak, pandai memasak nasi dan satu dua jenis lauk pauk pun sudah memadai. Nanti, kalau sudah berkahwin, kebetulan isteri sakit beranak dan berpantang di kampung, takkanlah si suami asyik hendak makan luar saja,” hujah nenek pada suatu ketika.


“Untung kalau Ikmal pandai memasak, nanti mentua makin sayang,” sambung nenek lagi hingga membuatkan aku tersenyum malu.


Itu secebis kisah bersama nenek. Nenek ibarat ibu kedua bagi aku. Banyak kasih sayang nenek tercurah pada aku. Imbauan itu membuatkan aku terdiam lama sebelum berbicara semula. Aku mencapai teko yang terisi penuh air kopi, lalu aku tuangkan ke dalam dua cawan yang sudah tersedia di dalam talam tembaga. Asap dari panas air kopi itu juga turut berkepul seperti asap rokok daun datuk, gempulan kecil asap itu turut menerjah atap rumah, dan sesekali jauh dibawa bayu malam entah ke mana – ghaibnya tanpa ada matlamat.


Aku mengambil sepotong kuih koci dari dalam pinggan lalu menyuakan ke mulut. Datuk turut menggapai cawan kopi yang masih berasap, lalu dihirupnya kopi panas itu perlahan-lahan. Raup wajah tuanya makin jelas terpapar, sama tuanya dengan usia rumah usang ini.


“Kenapa guru atuk berkata begitu. Apa maksudnya?” Soal aku lagi meminta penerangan lanjut daripada datuk. Sejak dari tadi, aku hanya menyoal saja.


Sudah sifat aku sejak kanak-kanak, suka bertanya akan sesuatu perkara yang sukar difahami. Dan, lazimnya aku suka mendengar sahaja apa yang akan diperkatakan, oleh sesiapa sahaja kerana aku suka menjadi pendengar yang setia. Kemudian, sesudah itu, jika ada yang perlu aku mencelah, menghujah balas atau sedikit merespon, barulah aku akan bersuara. Berada bersama datuk, aku lebih suka mendengar tanpa merespon panjang, sekadar mengiakan atau bertanya semula. Bicara datuk banyak mematangkan hidupku, menginformasikan aku dengan ilmu dan membuatkan aku sering memikirkan tentang matlamat kehidupan ini.


“Hidup ini adalah dari tiada kepada ada, hidup dan mati, kemudian dihidupkan semula untuk hidup selamanya, di situlah nanti akan adanya pembalasan atas tiap-tiap amalan manusia. Hidup ini adalah perjalanan menuju destinasi abadi. Ia dianalogikan oleh Imam al-Ghazali sebagai pemusafiran dari satu-satu tempat ke tempat yang lain. Hidup ini sifatnya bukan menetap, bahkan mengembang terus – sebagaimana Allah menjadikan alam ini dan memperbaharuinya pada setiap detik masa,” datuk memulakan penjelasan, bagaikan kuliah seorang guru kepada muridnya.


Pada setiap hari, Dia sentiasa dalam berurusan – maksud firman Allah dalam surah al-Rahman, ayat 29,” tambah datuk lagi menguatkan hujahnya.


“Hidup ini sifatnya seperti air – tidak boleh statik dan tidak mengalir, nanti longkang, parit atau sungai akan terkumpul dengan najis dan sampah sarap. Nanti air itu tidak akan bersih dan murni lagi. Air pada ketika itu tidak akan berguna lagi, peranannya sudah tidak berfungsi. Kehidupan tanpa peranan air yang bersih akan musnah sama sekali. Wabak penyakit akan menjelma dan merebak menjangkiti kehidupan manusia, binatang dan alam. Keharmonian alam akan terjejas pada ketika itu. Kehidupan tidak akan murni lagi,” lanjut datuk memperincikan patah bicaranya, takah demi takah.


Agak terkedu sejenak aku mendengarnya. Jarang-jarang sekali datuk berbicara seperti ini. Seingat aku, inilah seumpamanya datuk berbicara, berselirat maksud. Bukan tidak ada datuk berbicara soal ilmu, ada. Cuma kali ini lain dari yang lain. Biasanya datuk sekadar mengimbau zaman belajarnya dahulu – menceritakan bagaimana susah payah dia dan kawan-kawan seangkatan belajar, terutama dalam tahun-tahun pendudukan Jepun dan penjajahan British sebelum merdeka. Zaman itu, amat jauh berbeza dengan zaman aku masani – perbezaan yang tidak boleh dipertemukan langsung titik persamaan.


“Zaman itu, orang-orang dulu hanya makan pucuk-pucuk daun dan ubi kayu sahaja. Semua barang keperluan terbatas. Zaman itu, ibarat nyawa di hujung peluru. Pernah suatu masa, datuk dan kawan-kawan balik dari mengaji malam, seorang kawan baik datuk – Yaakub namanya, terkena peluru sesat lalu meninggal.” Teringat cerita datuk, seperti yang pernah diceritakan suatu ketika dulu.


Kali ini, topik perbicaraan datuk agak mendalam, tidak seperti kebiasaan. Bicaranya penuh falsafah dan hikmah, tetapi laras bahasanya begitu menggugah, mengesan dan memerlukan renungan dalam untuk memahaminya dengan sebenar kefahaman. Topik datuk pada malam ini, bagaikan ingin menjawab beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran aku selama ini; Apa matlamat kehidupan ini? Segala pencarian dalam kehidupan ini untuk apa sebenarnya? Persoalan ini tidak pernah puas terjawab oleh sesiapa sahaja yang aku bertanya. Tetapi malam ini, datuk bagaikan ingin memberikan aku jawapan – seolah datuk dapat mencula apa yang berlegar di benak.


“Hidup ini adalah pergerakan, dan pergerakan itu pula adalah suatu perubahan, sementara perubahan itulah yang dinamakan kehidupan. Manakala, statik dan jumud itu bermaksud mati. Orang yang jumud dan statik itu sesuai dikatakan seperti mayat hidup – keberadaannya tidak membawa suatu erti apapun. Sementara pergerakan dan perubahan itu pula jangan disalahtafsirkan atau diselewengkan maksudnya dari landasan sebenar. Hari ini, rata-rata orang menyalah fahami erti sebenar tuntutan perubahan itu, kononnya perubahan itu adalah memodenkan serba serbi,” ulas datuk lagi secara berkias, seperti berpidato sahaja gayanya, tetapi penuh semangat.


Malam semakin jauh beredar, sedar antara tidak, sudah jam 2.00 pagi. Awal-awal pagi nanti, seusai berjemaah Subuh, aku perlu menebas lagi bersama datuk. Semak samun dan deretan lalang serta pokok-pokok renek yang ditebas pada sebelah petang tadi masih tersisa. Tanah yang masih belum dibuat apa-apa itu perlu segera diusahakan, sebelum aku habis cuti semester. Nanti, datuk keseorangan yang akan mengerjakannya. Aku kasihan melihat kudratnya yang tidak seberapa kini – usianya sudah mencecah 83 tahun. Aku ingin melihat hasrat datuk untuk mengubah satu lagi tanah sekangkang kera yang baru dibelinya itu berubah kepada perusahaan tanaman menjadi kenyataan. Bumi ini perlu disuburkan, kata datuk sewaktu berbicara petang tadi.


“Atuk tengok mata kamu sudah terkebil-kebil menahan mengantuk. Mungkin kamu penat menebas petang tadi, pergilah berehat. Kita perlu bangun awal nanti,” saran datuk seperti tahu saja apa yang aku sedang fikirkan.


“Baiklah atuk,” aku mengiakan saja, walaupun sebenarnya aku masih belum benar-benar mengantuk.


“Tentang persoalan yang atuk bicarakan tadi macam mana, belum habis lagi bukan?” Aku mengingatkan semula datuk tentang topik yang dibicarakan tadi. Aku belum puas mendengar kupasan dan perbahasan datuk, tentu ada banyak lagi perkara yang ingin disampaikannya.


“Atuk rasa cukup sekadar itu dulu untuk malam ini, nanti atuk lanjutkan lagi perbahasannya. Banyak lagi yang perlu atuk sampaikan pada Ikmal, satu-satunya cucu yang atuk sayang. Sebelum Allah mencabut nyawa atuk, biarlah ilmu atuk itu nanti Ikmal buat pedoman di sepanjang hidup. Ingatlah Ikmal, hidup ini mencari jiwa yang sentosa, mencari damai yang abadi. Jadi, hiduplah dalam keadaan tanpa iri dengki, barulah Ikmal akan mencapai kebahagiaan hakiki,” nasihat datuk penuh kesayuan dan sarat kesedaran.


“Satu lagi atuk hendak ingatkan, jangan jadi seperti asap rokok daun atuk ini, atau jadi seperti asap air kopi yang Ikmal buatkan itu – keberadaannya tanpa halatuju, senang-senang dibawa pergi angin, entah ke mana menghilangnya,” sambung datuk lagi sambil menunjukkan batang rokok daunnya yang hanya tinggal sekerat dan menuding jari ke arah teko yang tidak berasap lagi.


Menginsafkan – membuatkan diri bermuhasabah kembali.


“Baiklah atuk, Ikmal akan ingat nasihat atuk bila-bilapun. Terima kasih atuk, mendidik Ikmal menjadi insan berguna. Atuk pun sama, berehatlah, kesihatan atuk paling penting untuk dijaga,” aku menyarankan sama kepada datuk. Datuk menurut sahaja kata-kata aku.


Malam ini, datuk membuatkan diri aku menjadi hidup, jiwa aku menjadi subur. Benar, seperti kata datuk tadi - hidup dalam keadaan tanpa iri dengki, barulah akan mencapai kebahagiaan hakiki, hidup selamanya dalam damai abadi. Tanpa sengketa dan permusuhan, tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Dalam jauh-jauh aku merenung diri, aku lalu tertanya-tanya sendiri; rata-rata manusia di zaman ini, hidup mereka mencari apa sebenarnya?


TAMAT!

Related Posts with Thumbnails