Tuesday, December 25, 2012

PUISI PUJI RAJA ALI HAJI


Raja Ali Haji itu Pujangga Melayu bijak bistari 
Hidup bersyariat, jiwa bersulam Tareqat Naqshabandi
Tidak pula dikatakan dia jalan Sufi itu perbuatan keji
Datang kamu tidak habis mengaji; mengeji tidak menyusul Nabi. 

~ Nukilan Hafiz Fandani/998-1404.

Wednesday, December 19, 2012

AIR MATA PENEMAN KE SYURGA




Tatkala dia rebah dan berdarah ke riba; belum sempat aku berkata-kata, dia sudah pun terputus nyawa. Hanya air mata menemaninya ke Syurga.

~ Hafiz Fandani/998-1404.

Tuesday, December 18, 2012

ANAK KEBANGKITAN



Kami anak kebangkitan, yang lahir dari suara keberanian
Kami menjulang kebenaran dari diri-diri yang tertindas
Pada tangan kami hanya dua; Al-Quran dan kebenaran
Al-Quran menegakkan hujah, 
dan kebenaran menewaskan kebatilan
Kebangkitan ini bermaruah meskipun meleburkan darah
Ini kerana kami bangkit sesudah ditindas
Maruah lebih bernilai daripada seisi dunia;
semuanya kami infakkan untuk agama.

~ Hafiz Fandani/998-1404. 

Tuesday, December 11, 2012

KEWUJUDAN MANUSIA


>> Manusia adalah ‘wujud’ atau ‘jauhar murakkab’ [tubuh berkomposisi] pada taraf ‘mumkin al-maujud’. <<

Pernyataan di atas ini lebih kepada kefahaman bahawa manusia [termasuk maujud atau maujudat – segala yang ada] itu sememangnya satu entiti yang wujud atau ada; dalam erti kata terzahir dalam konteks al-wujud atau kewujudan yang tercipta dan berada pula pada taraf ‘mumkin al-maujud’ – ada yang mungkin atau ada yang berkemungkinan. Oleh sebab itu, disebutkan bahawa manusia itu adalah wujud atau dalam erti kata jauhar murakkab atau tubuh yang berkomposisi. Lafaz ‘mumkin al-maujud’ itu pula adalah satu lafaz yang memahamkan kita tentang kemungkinan ada atau wujud, dan tiadanya [maksudnya tiada ada atau wujud] itu yang saling bertukar ganti atau pun dalam kefahaman yang lain; yakni daripada tiada kepada ada dan daripada ada kepada tiada. Ini sememangnya begitu kerana, kedudukan ‘wujud’ atau pun ‘maujud’ yang wujud pada taraf ‘mumkin al-maujud’ itu baharu sifatnya. Tentang faham hubungkait antara ‘al-wujud’, ‘al-maujud’ yang ‘al-mumkin’ itu, dan akhirnya akan mengabsahkan ‘wujud al-wajib’, eloklah kita telaah pernyataan al-Jami dalam al-Durrah al-Fakhirah, seperti berikut : 

“Sesungguhnya ada [al-wujud] itu adalah satu kemestian. Jika tidak demikian, lazimlah ada [al-maujud] itu terdiri daripada ‘ada yang berkemungkinan’ [al-mumkin]. [Jika ada terdiri daripada ‘ada yang berkemungkinan’], maka lazimlah tidak didapati sesuatu pun pada asalnya.

Sesungguhnya ‘ada yang berkemungkinan’ [al-mumkin] adalah pelbagai, yang tidak memadai dengan wujudnya pada dirinya sendiri. Pernyataan ini adalah terang nyata [yakni tidak perlu dibahaskan lagi]. Dan al-mumkin tidak menjadikan bagi lainnya kerana martabat menjadikan [martabat al-ijad] setelah martabat ada [martabat al-wujud]. Dan, tatkala tidak wujud dan tidak menjadikan, tidak dengan zatnya dan tidak dengan selainnya. Maka, sebab itu sabitlah terbukti Wujud al-Wajib [ada yang mesti atau mesti ada].”

Nota :

Menurut klasifikasi Imam al-Sanusi, ada [al-wujud] sebagai sifat nafsiyyah adalah ‘sabit pada akal’ [thubut fi ‘aqli] yakni ‘amr I’tibari’ – tilikan akal. Akal – pada hakikatnya yang murni dan tulen – pastinya mensabitkan atau menetapkan ada [al-wujud] ini. Ini berdasarkan hukum ‘aqli. Imam al-Sanusi juga menemukan kita dengan penghujahan-penghujahan yang menetapkan istighna’ [kaya Allah Ta’ala daripada makhluk]. Dan iftiqar [keberhajatan makhluk kepada Yang Menjadikannya – yakni Allah Ta’ala]. Proses tilikan akal ini akan menemukan kita kepada satu kenyataan atau premis yang menatijahkan bahawa manusia itu [ini termasuk segala kawniyyat-maujudat] itu selamanya sebagai hamba Allah. Boleh rujuk sharah Umm al-Barahim, dan kitab-kitab usuluddin yang lain. 

Sekadar perkongsian untuk manfaat bersama. Allahu a’lam.

Hafiz Fandani/1404.

ILMU, MAQULAT DAN AL-HIKMAH


[al-'Ilm] dengan makna 'pengetahuan' adalah sifat bagi zat [ia seperti pengetahuan adalah sifat bagi diri kita, yakni zat]; zat yang bersifat demikian dinamakan ['alim] ertinya 'mengetahui', manakala objeknya yang berada dalam ilmu itu dinamakan [ma'lum] ertinya 'apa yang diketahui'. 

> Rumusan ini berdasarkan kepada penelitian 'sepakat' tiga orang ilmuwan, dalam konteks yang dibahaskan-dirujuk iaitu Abdullah Mohammad (Nakula), Sheikh Pak Da 'Eil al-Fathani, dan al-'Alim al-'Amil al-Ustaz al-Kamil Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah. Al-Fatihah untuk ketiga-tiga ilmuwan berjasa ini. 

Seterusnya, perbahasan tentang [al-'ilm] ini dapat dirumuskan dalam gambaran berikut :
 

al-'Ilm : 

> 'idrak (masdari) diterjemah sebagai 'tahu'
> sifat ('ismi) diterjemah sebagai 'pengetahuan'
> diterjemah sebagai 'mengetahui'

[Pecahan makna kalimah al-'ilm]

Bersesuaian dengan perbahasan ini, selanjutnya dipetik penelitian al-Marhum Tuan Guru Abdul Qadir ibn Wangah Sekam [1340/1921 - 1412H/1991M], salah seorang daripada murid Sheikh Pak Da 'Eil al-Fathani, seperti berikut :

"…telah berkhilaf-khilaf ulama pada mengatakan ilmu bagi seorang di tengah-tengah mengetahui itu; berkata muhaqqiqun bahawasanya ia daripada [kayf] kerana pada ketika tahu itu rupa benda yang ditahu, dan berkata setengahnya ialah daripada [infi'al] kerana pada ketika itu ialah menerima [nafs] yakni ruh bagi demikian rupa benda itu, dan berkata setengah yang lain ialah daripada ['idafah] kerana ilmu itu hasil ia dengan adu antara [nafs] dengan rupa benda itu dan [qawl - pendapat] yang ketiga ini ialah daripada ulama ilmu usul al-Din dan adalah khilaf-khilaf ini kenakan ilmu dengan makna tengah-tengah tahu sahaja, tidak apabila sudah jadi [malakah] adapun waktu itu maka dinamakan [kayf], Hai Tuhan kita berikanlah kepada kita akan ilmu-ilmu yang jadi [malakah] lagi manfaat akan kita dengan beramal akan dia." - (Ruj : Mabda' al-Fikrah fi al-Maqulat al-'Asharah, hlm 28) 

[Nota : kayf, infi'al, dan 'idafah itu termasuk terma-terma atau kandungan yang menjadi perbahasan dalam Maqulat 'Ashara-Maqulat Sepuluh atau dinamakan juga sebagai Sistem Maqulat. Ia juga disebut sebagai 'Categories' atau bermaksud predikat dalam bahasa moden. Dari segi istilahnya, Maqulat itu ditakrifkan sebagai "ilmu yang membahaskan padanya tentang jenis tertinggi (summum genus atau kelas tertinggi atau 'ajnas 'aliyah' bagi ada yang serba mungkin, yakni bukan berkenaan 'mesti ada' - wajib wujud). Sistem Maqulat ini sering digunakan oleh para ulama Islam di dalam karya-karya usul Fiqh, usul al-Din, sains, dan al-Hikmah]

Ini adalah hasil ringkasan awal yang dibuat dan masih dalam bacaan lanjut untuk lebih benar-benar memahami tentang subjek yang dibahaskan. Untuk meneliti perbahasan selanjutnya tentang ini, yang melibatkan tentang faham dan hubungkait antara ilmu, maqulat dan al-Hikmah, boleh dirujuk teks asal hasil ringkasan ini daripada tulisan al-Fadhil al-Ustaz Mohd Zaidi Abdullah yang berjudul "Al-'Ilm, Al-Maqulat dan Al-Hikmah Dalam Pemikiran Ulama Melayu : Satu Penelitian Awal" di dalam Jurnal AFKAR bil: 6, Rabi' al-Awwal 1426/Mei 2005, halaman 171-192. Perlu juga dibaca teks ini bersama tulisan beliau yang lain, iaitu Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi dan dua buah buku terbaharu, Al-Hikmah Berwacana Perihal Fenomena, dan Kearifan Yang Subur, untuk lebih memahami susur galur teks dan konteks yang dibahaskan. Allahu a'lam. 

~ Hafiz Fandani/998/1404.

PEDOMAN DALAM BERTAREQAT

Ke’aliman seseorang dalam disiplin ‘ilmu dan kehebatannya dalam pemikiran bukanlah satu alasan atau pun benteng bagi dirinya mengelak daripada mendalami tasawwuf dan tariqah melalui suhbah guru mursyid yang ‘alim, kamil lagi mukamil. Sehebat ‘ulama yang digelar Sultan ‘Ulama [Sultan Para ‘Ulama] iaitu Sheikh ‘Izzuddin ‘Abd Salam pun masih bersuhbah dan mengambil masyrab tasawwuf daripada Sheikh Abu Hasan asy-Syazili yang 16 tahun lebih muda usianya daripada beliau. Kehebatan Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali dalam disiplin ‘ilmu dan pemikiran sama sekali tidak menjadikan dirinya menjauhi tasawwuf dan tariqah, bahkan beliau bergurukan al-Farmadhi dan an-Nassaj at-Tusi dalam ‘ilmu tasawwuf dan tariqah. Imam an-Nawawi meskipun dikenali hebat dalam disiplin ‘ilmu fikh dan hadis, masih seorang ‘ulama yang bertasawwuf dan bertariqah Syaziliyyah. Maulana Jalaluddin Rumi yang dikenali di Timur dan Barat sebagai Maulana Rumi, meskipun bermazhab Hanafi dan seorang Sunni [bukan Syiah sebagai didakwa], turut mendalami tasawwuf dan tariqah, dan akhirnya beliau membawa Tariqah Mawlawiyyah; kehebatan Matsnawi beliau itu yang dikagumi oleh khalayak Timur dan Barat adalah hasil daripada limpahan kerohaniannya dalam renungan dunia tasawwuf. Malahan, al-Faqih al-Muhaddis dalam disiplin ‘ilmu hadis dan terkenal hebat sebagai seorang ‘ulama yang ‘Alim Rabbani, dikagumi rata-rata ‘ulama termasuk oleh Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradhawi dan Sheikh Abu Hasan Ali an-Nadwi, iaitu Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah pun turut bertariqah dengan Tariqah Naqshabandiyyah. Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, pengasas kepada Ikhwanul Muslimin juga adalah seorang pengamal Tariqah al-Husofiyyah asy-Syaziliyyah; wirid Ma’thurat yang terkenal sebagai amalan Ikhwanul Muslimin itu asalnya ialah wirid dan wazho’if yang diberi izin beramal oleh mursyid beliau Sheikh ‘Abd Wahab al-Husofi.

AMALAN BERMAZHAB EMPAT



Dalam kitab beliau yang terkenal, Nihayat al-Zain, Imam Nawawi al-Bantani atau digelar ‘ulama sebagai Imam an-Nawawi ats-tsani (Imam Nawawi kedua) yang juga salah seorang murid kepada al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif ar-Rabbani, Sheikh Daud al-Fathani, menyebutkan :


“Dan dalil berkenaan dengan hal itu [iaitu keperluan mengikuti imam-imam mujtahidin yang diakui di kalangan ahli sunnah [wal Jamaah] seperti al-Shafie, Maliki, Hanbali, dan Hanafi [Allah meredhai mereka semuanya] ialah firman Allah yang bererti : Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahuinya – al-Nahl;16:43 – Maka Allah memperwajibkan bertanya bagi orang yang tidak mengetahui, dan wajib di atas orang itu mengambil pengajaran orang ‘alim itu. Dan itu adalah taklid baginya. Dan tidak diharuskan bertaklid kepada yang selain daripada mereka yang empat ini daripada yang lain lagi daripada kalangan mujtahid dalam bidang furu’, seperti Sufian al-Thauri, Sufian bin Uyainah dan Abdul Rahman bin ‘Umar al-Auza’I [Allah meredhai mereka semua itu]. Dan tidak harus juga bertaklid kepada seorang daripada sebesar-besar sahabat [Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam] kerana pegangan atau mazhab mereka itu tidak ditetapkan serta tidak ditadwinkan. Ada pun bagi seseorang yang mempunyai keahlian dalam ijtihad yang mutlak, maka haram di atasnya bertaklid [kepada sesiapa] dan wajib pula di atas seseorang yang tidak mempunyai keahlian supaya bertaklid dalam usul [iaitu dalam soal usuluddin atau akidah], iaitu bertaklid kepada akidah-akidah oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari atau pun Imam Abu Mansur al-Maturidi; tetapi keimanan orang yang bertaklid itu ada ikhtilaf tentangnya dengan nisbah kepada hukum akhirat. Ada pun dengan memandang kepada hukum-hukum syara’ dunia, maka memadailah dengan ianya berikrar [tentang pegangannya itu]; pendapat yang paling sah [dalam hal ini ialah] bahawa seseorang yang bertaklid dalam hal akidah itu adalah seorang yang derhaka bila ianya orang yang mampu berfikir sendiri, dan dia tidak berdosa [dalam bertaklid] kalau ia tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir sendiri…Dan wajib di atas orang yang tersebut itu bertaklid dalam ilmu tasawwuf kepada seorang daripada imam-imam tasawwuf seperti al-Junaid, iaitu Imam Sa’id bin Muhammad Qasim Junaid, penghulu golongan Sufiah, dari segi ilmu dan amalnya, Allah meredhainya. Dan kesimpulannya ialah bahawa : Imam Shafie dan yang sedemikiannya ialah para pembimbing umat ini dalam hukum-hukum furu’, Imam Asy’ari dan sepertinya pembimbing-pembimbing umat ini dalam usul, dan al-Junaid dan mereka yang sepertinya adalah para pembimbing dalam tasawwuf. Moga-moga Allah kurniakan ganjaran kebaikan kepada mereka, moga-moga Allah menjadikan kita mendapat manfaat melalui mereka ini semuanya.” – [Nihayat al-Zain, hlm 7]. 

Nota Ringkas :

Kitab Nihayat al-Zain karangan Imam Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab ini adalah huraian kepada kitab Qurrat al-‘Ain yang ditulis oleh ulama India Selatan abad ke-16, Sheikh Zain ad-Din al-Malibari (meninggal 975M). Ulama India ini pula ialah murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami (meninggal 973M), penulis kitab Tuhfah al-Muhtaj yang menjadi kitab autentik dalam Mazhab Shafie. 

Kitab Qurrat al-‘Ain ditulis dan diberikan huraian tambah oleh pengarangnya hingga terhasil kitab Fath al-Mu’in – sebuah kitab yang menjadi rujukan dalam bidang fiqh. Sayyid Bakri bin Muhammad Syatha al-Dimyathi menulis empat jilid I’aanah at-Thalibin yang merupakan syarah atau huraian kepada kitab Fath al-Mu’in. Kitab I’aanah at-Thalibin ini pernah ditashih dan ditahqiq oleh Sheikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayyid Bakri Syatha sendiri, bahkan Sheikh Ahmad al-Fathani pernah mengajar kitab yang menjadi rujukan utama ini.
Related Posts with Thumbnails