Tuesday, January 22, 2013

KEESAAN ALLAH DAN DIAYAH KRISTIANISASI


Dalam surah Yunus : 36, Allah berfirman, maksudnya : 

"Kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali prasangka sahaja. Sesungguhnya prasangka itu tidak akan mendatangkan kebenaran sedikit pun." 

Ayat ini mengisahkan tentang karakter orang-orang musyrik yang seringkali berpegang pada prasangka-prasangka yang tidak boleh membuktikan kebenarannya. Berkenaan tuhan yang wajib disembah pun mereka masih cenderung untuk berimaginasi pada benda-benda mati yang dalam persepsi [baca : prasangka] mereka itu kononnya dapat memberi jaminan keselamatan dan kelangsungan hidup, apalagi dalam persoalan lain. 

Melalui ayat ini, Allah Ta'ala memberikan penegasan akan perkara yang mesti dijadikan dasar atau garis panduan dalam berfikir dan bertindak; yakni yang secara jelas dapat menunjukkan pada kebenaran, dan bukannya masih dalam ruang lingkup keraguan-kebatilan. Hal ini kerana, perkara yang masih dalam ruang lingkup keraguan atau masih menjadi tanda tanya tidak dapat disejajarkan dengan keyakinan. Contoh gambaran Al-Quran tentang Nabi Ibrahim mencari tuhan yang selayaknya disembah adalah bukti bagaimana setiap perkara yang masih menjadi tanda tanya tidak selayaknya dijadikan sandaran muktamad. 

Berdasarkan penegasan ini, sekiranya berlaku atau timbul keraguan yang berpotensi untuk mempengaruhi perkara-perkara yang sudah diyakini sebelumnya, sudah pasti ia tidak dapat mempengaruhi keyakinan yang sudah ada, selama belum ada elemen-elemen atau pun indikasi fundamental yang dapat menunjukkan bukti kukuh bahawa keyakinan itu tidak sesuai kenyataan; al-yaqin la yuzalu bi al-syak [Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh keraguan]. 

Dalam konteks ini, masih belum ada sehingga ke hari ini, bukti kukuh daripada mereka dalam meragukan keesaan Allah sebagaimana diyakini teguh oleh umat Islam. Mungkin atas dasar itu, tanpa disedari oleh umat Islam sendiri; orang-orang musyrik seringkali secara terancang ingin menduga bahkan merancang sesuatu yang boleh merosakkan pemikiran dan pegangan umat Islam saban waktu dengan desakan dan permintaan yang tidak sewajarnya. Ini dapat dilihat sebagai contoh dalam isu kalimah Allah dan sebagainya. Namun, malang sekali; umat Islam, terutamanya dalam kalangan pemimpin mereka sendiri menjadi tidak bijak [baca : dungu] dalam menangani hal-hal yang bersifat diayah dan propaganda ini.

~ Hafiz Fandani/998-1404-231

Monday, January 21, 2013

PERIHAL BENAR YANG TIDAK PERNAH MATI


Jika benar, katakan benar; usah engkau meragu-ragu. Jika benar, katakan benar; usah engkau bersikap dungu. 
----------------------
Kebenaran berdiri atas jalannya dengan penuh kredibel dan konsisten. Legitimasinya tidak pernah kalah cabar walau pun betapa ia tercabar dan dicabar; ia tidak pernah putus nafas meski pun nyawanya dipisah seribu - ia tidak pernah mati. Berada atas peterana kebenaran, kita tidak akan pernah membezakan antara musuh dan kawan kerana kebenaran tidak pernah mengajar kita berfikiran tribal. Kebenaran adalah jalan damai menuju Tuhan. 

~ 
Hafiz Fandani/998-1404.

Sunday, January 20, 2013

ISLAM AGAMA KEBENARAN


Dengar | Faham | Respek

"Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam." - Al-Quran.

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada Hari Akhirat kelak tergolong daripada orang-orang yang rugi." - (Ali 'Imran : 85)

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Pada hal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sama ada sukarela dan terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan." - (Ali 'Imran : 83)

Fakta-Fakta Tentang Kebenaran Islam :

1] Dalam Islam, Allah itu Esa dalam erti kata tunggal; tidak bersekutu dengan selainNya. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada suatu apa pun yang sama denganNya. Dia wujud dan kekal, tidak mati, tidak tidur, tidak mengantuk dan tidak letih atau pun berhajat kepada sesuatu selainNya sebagaimana yang dihajatkan oleh manusia dan makhluk lain. Kesempurnaan berkenaan Allah ini hanya terdapat dalam agama Islam dan ajaran Al-Quran sahaja. 

2] Sebaliknya, agama Kristian percaya bahawa tuhan itu bukan satu tetapi tiga; bapa, anak, dan roh kudus. Jesus satu-satunya 'Putera Tuhan' dan dia juga pencipta dan abadi seperti bapanya juga meski pun Injil jelas-jelas mengatakan Jesus itu makan dan minum, tidur dan jaga, dan sangat bergantung kepada air, udara dan tiap-tiap benda yang diperlukan oleh manusia dan di dalam dirinya terkumpul semua keinginan duniawi. Seandainya Tuhan juga bergantung kepada semua perkara seperti manusia maka bagaimana dia layak menjadi Tuhan dan apakah ada perbezaan lagi antara Tuhan dan manusia? 

3] Al-Quran dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa siapa yang mengatakan Jesus itu tuhan atau pun putera tuhan, maka dia sudah menyekutukan Allah dan menjadi kafir. Orang-orang Kristian yang mengangkat Jesus sebagai putera tuhan sebenarnya sudah memfitnah tuhan. Al-Quran telah menjelaskan bahawa Jesus atau Isa itu serupa dengan Musa, Daud, Sulaiman, Yahya, Hud, Nuh, dan lain-lain nabi. sebagai utusan dan nabi, mereka juga adalah manusia, makhluk dan bukan pencipta. Di sini, jelas sekali betapa ajaran Kristian yang sudah diselewengkan mengajarkan penganutnya sesuatu yang menyalahi wahyu, karut dan tidak masuk akal sama sekali.  

4] Dalam ajaran Islam, setiap manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih dan bebas daripada sebarang dosa. Apabila manusia meningkat dewasa, barulah unsur-unsur dan pengaruh-pengaruh luar mempengaruhinya, pengaruh-pengaruh itu menentukan sama ada dia melakukan pahala atau pun berdosa. Ini kerana Allah telah mengurniakan manusia dengan akal fikiran yang boleh menilai setiap suruhan dan laranganNya. Al-Quran tidak pernah mengajar tentang dosa warisan. Dakwaan tentang dosa warisan itu adalah helah dan tipuan Syaitan belaka. Agama Kristian menyatakan tiap-tiap manusia berdosa sejak dilahirkan hingga dengan demikian, nabi-nabi juga turut melakukan dosa dan dosa Adam adalah penyebab manusia menjadi berdosa. Nyata sekali betapa kepercayaan seumpama ini menyalahi wahyu dan ajaran Tuhan. 

5] Islam membantah tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Nabi Isa yang telah dibuat oleh sebahagian musuh-musuhnya dan juga kawan-kawannya. Islam dengan usaha baiknya telah meletakkan Nabi Isa pada kedudukan yang sebenar dan telah membersihkannya daripada segala tohmahan orang-orang Yahudi dan orang-orang yang menamakan diri mereka Kristian. Orang-orang Kristian telah menuduh semua nabi dengan tuduhan-tuduhan palsu, perzinaan dan pembunuhan dan menggambarkan Jesus dalam bentuk yang tidak selayaknya hingga kalau tidak kerana kedatangan Islam yang mendedahkan kebenaran maka tidak seorang pun yang mahu menganggapnya sebagai manusia bermoral. Ini merupakan satu obligasi Islam yang tidak dapat dibayar oleh Kristian. Orang-orang Kristian tidak sahaja memanipulasikan kitab-kitab Injil, bahkan juga turut menyusun beratus-ratus Injil atas nama Jesus, sedangkan ia tidak ada kena mengena sedikit pun dengan ajaran Jesus.   

6] Imam al-Syafi'e, sebagaimana diriwayatkan oleh muridnya Imam al-Muzani dalam Mukhtasar al-Muzani, menyebutkan bahawa sesungguhnya Allah telah menzahirkan agama NabiNya [yakni Islam] ke atas seluruh agama lain dengan nyata bagi setiap orang yang mengikutinya bahawa ia adalah benar, sedang dalam masa yang sama agama-agama yang menyalahi Islam itu adalah batil dan tertolak. Suatu hari nanti, semuanya akan menganut Islam, apabila Allah Ta'ala menghendakinya. 

Dengar | Faham | Respek

Kebenaran tidak akan pernah dikalahkan oleh kebatilan, selama mana pun kebatilan itu dilulur kepalsuan. Kebenaran itu tetap tunggal dan sampai bila-bila pun tidak pernah disekutukan dan ia sama sekali tidak pernah walau pun cuma sekerdip mata bersekedudukan dengan kebatilan. 

~ Hafiz Fandani/998-1404-191/13

Wednesday, January 16, 2013

DENGAR | FAHAM | RESPEK


Dengar | Faham | Respek 

Jikalau Allah itu dimaksudkan selain yang dimaksudkan oleh diriNya sendiri dan menggunakannya pada tujuan yang menyalahi maksud atau pun bertujuan sebagai satu propaganda/diayah, bermakna jelas-jelas sekali ia satu perkara paradoks dan falasi. Inilah delusi pihak yang menuntut sesuatu yang bukan haknya sama ada pada sisi lafziyah dan sisi maknawi. Tuntutan itu sekali gus menggambarkan kecelaruan mereka dalam mengenal keberadaan Tuhan. Kecelaruan dalam mengenal Tuhan, bermakna berlaku kecelaruan dalam memaknakan kehidupan ini dengan ajaran yang sahih daripada wahyu Tuhan. Bagaimana mungkin satu ajaran yang bercelaru boleh mendakwa kesucian ajarannya daripada berlaku penyelewengan? 

Dengar | Faham | Respek 

Perkara yang bersifat paradoks dan falasi tidak mungkin akan menemui kebenaran hakiki. Pihak yang mengungkapkan sesuatu yang bersifat paradoks dan falasi boleh sahaja dinilai sebagai anarkis, apalagi dalam perkara-perkara yang sudah dimuktamadkan hakikat kebenaran dan kesuciannya. Kebenaran hakiki sebagai kemuncak cahaya bertaraf tinggi hanya akan dapat digapai apabila memahaminya dalam konteks yang sebenarnya tanpa sedikit pun ada kecenderungan untuk memesongkan hakikat sebenar. Oleh sebab itu juga, kita mendakwah pihak-pihak ini sebagaimana disebutkan oleh Nabi Musa kepada kaumnya, “Dia adalah Tuhan kamu dan Tuhan nenek moyang kamu yang terdahulu...” – Al-Quran, 26:26. Allah itulah Tuhan selama-lamanya, yang tidak ada tuhan selainNya; dan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, dan Tuhan yang tidak ada sesuatu apa pun yang menyerupaiNya. 

Dengar | Faham | Respek

Saya akhiri dengan renungan bait Maulana Jalaluddin Rumi :

Dalam hidup, saya adalah murid Al-Quran
Saya adalah debu jalanan
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam
Jika ada orang yang berkata lain
tentang itu
Sungguh saya tidak terima dengan
diri dan perkataannya.

Saya ulangi lagi sekali :

Jika ada orang yang berkata lain 
tentang itu
Sungguh saya tidak terima dengan
diri dan perkataannya

Saya tegaskan :

Dalam hidup, 
Saya adalah murid Al-Quran
Saya adalah debu jalanan
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam

Dengar | Faham | Respek

Hafiz Fandani/998-1404-171

Tuesday, January 15, 2013

KALIMAH ALLAH, CAHAYA, DAN KEBENARAN HAKIKI

Kebenaran hakiki akan selamanya abadi kerana ia sudah azali dan tidak akan berpenghujung. Ia tidak mampu dicapai dek ketangkasan fikiran, tidak upaya disambar pandangan mata, tidak terdaya ditafsir oleh telinga, dan tidak termampu diduga jiwa. Kebenaran itu bercahaya; ia tidak mampu digelematkan walau apa cara sekali pun. Cahaya kebenaran itu akan hanya dicapai oleh insan bercahaya sahaja kerana hanya cahaya yang akan mengenal cahaya. Kebatilan dan kesesatan tidak akan pernah bersekedudukan dengan kebenaran kerana sifat antara kedua-duanya amat jauh berbeza. Al-Haq itu benar, dan selamanya ia benar dan tidak dapat dipesongkan.

Analogi Hujjatul Islam 

Dalam meninjau tahap-tahap cahaya atau pun boleh disebutkan sebagai manazil al-huda [tempat-tempat petunjuk], menariknya Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali menjadikan pengalaman Nabi Ibrahim ‘alaihissalam sebagai perbandingan atau pun perumpaan pengalaman kerohanian dalam mencapai kebenaran hakiki. Bagi Imam al-Ghazzali, setiap orang yang menuju Tuhan atau disebut sebagai salik akan melewati setiap pendakian getir dan perit. Tahap pertama yang akan dilewatinya sesuatu yang setaraf dengan bintang. Pada tahap ini, dia akan menyaksikan pancaran cahaya bintang dan terbuka baginya bahawa alam bawah berada di bawah kekuasaan dan cahayanya. Dengan terbukanya pesona keindahan itu, membuatkan dirinya berkata: “Inilah Tuhanku.” Sebaliknya, selepas dia menyaksikan cahaya yang lebih tinggi darjatnya, seperti taraf cahaya bulan yang menyebabkan redup cahaya bintang, mulalah dia berkata: “Saya tidak menuhankan benda yang cahayanya boleh hilang.” – Rujuk Al-Quran, 6:75-79.

Begitulah tahap-tahap pendakian dan pengalaman dalam mencapai kebenaran hakiki hingga dia mencapai kedudukan cahaya matahari dan melihat matahari lebih besar dan lebih tinggi daripada bulan. Sekali pun matahari dapat dijadikan perumpamaan [sebagaimana bulan dan bintang] tetapi perumpamaan daripada sesuatu yang bersifat kekurangan – seperti matahari – adalah sesuatu yang lemah dan tidak berkeupayaan diangkat sebagai tuhan. Oleh sebab itu, Nabi Ibrahim berkata :

“Aku hadapkan wajahku pada Zat yang menciptakan langit dan bumi sebagai sebagai orang yang cenderung kepada agama yang hanif, dan aku tidak tergolong daripada kalangan orang-orang [musyrikin] yang menyekutukan Allah.” – Al-Quran, 6:79.

Zat yang menguasai langit dan bumi dalam konteks ayat ini merujuk kepada Allah yang Maha Haq; tidak ada yang menyerupaiNya. Oleh sebab itu, sewaktu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya oleh orang Arab Badwi: “Apakah Allah itu dapat diumpamakan?” Sebagai menjawab pertanyaan itu, Allah menurunkan firmanNya: “Katakanlah [wahai Muhammad], Dia adalah Allah yang Maha Esa, Allah tempat meminta, tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, dan tidak ada sesuatu apa pun yang menyerupaiNya.” – Al-Quran, 112:1-4.

Jika Allah itu dimaksudkan selain yang dimaksudkan oleh diriNya sendiri, bermakna jelas-jelas sekali ia satu perkara paradoks dan falasi. Perkara yang bersifat paradoks dan falasi tidak mungkin akan menemui kebenaran hakiki. Kebenaran hakiki sebagai kemuncak cahaya bertaraf tinggi hanya akan dapat digapai apabila memahaminya dalam konteks yang sebenarnya tanpa sedikit pun ada kecenderungan untuk memesongkan hakikat sebenar. Oleh sebab itu juga, kita mendakwah sebagaimana disebutkan oleh Nabi Musa kepada kaumnya, “Dia adalah Tuhan kamu dan Tuhan nenek moyang kamu yang terdahulu...” – Al-Quran, 26:26. Allah itulah Tuhan selama-lamanya, yang tidak ada tuhan selainNya; dan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, dan Tuhan yang tidak ada sesuatu apa pun yang menyerupaiNya.

Allah berfirman dalam Al-Quran, 24: 40, “Siapa sahaja yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, maka tidak akan ada sedikit pun cahaya baginya.” 

~ Hafiz Fandani/998-1404-161. 
Perbukitan Bangi. 

Thursday, January 3, 2013

PERIHAL SHEIKH AL-AKBAR SULTAN AL-'ARIFIN IBN 'ARABI



Menarik tatkala menelaah pandangan Sheikh Taha 'Abd al-Baqi Surur apabila beliau merespon kritikan Ibn Taimiyyah yang menuduh Sheikh al-Akbar Muhyi al-Din Ibn 'Arabi sebagai seorang ahli falsafah sufi yang mulhid. Bagi beliau, "Ibn Taimiyyah telah tersalah langkah kerana beliau berpegang kepada nusus harfi keagamaan yang beliau ialah pakar di dalamnya; dan [beliau juga berpegang kepada] lafaz-lafaz harfi, yang beliau adalah ulamanya. Beliau tidak melepaskan akal dari belenggu tersebut; serta tidak pula cuba menggunakan al-zhauq al-wujdani atau al-zhauq al-qalb dalam memahami [hal tersebut]. Beliau ialah tokoh akal, dan bukannya tokoh qalb; tokoh al-lafaz, bukannya tokoh al-ma'ani." 

Keadaannya sama dengan pandangan sesetengah pihak hari ini, terutamanya pseudo Salafi yang sering menyalahkan pandangan dan pengamalan para Sufi yang muktabar; sedangkan pihak yang menyalahkan itu sedikit pun tidak memahami al-zhauq al-wujdani para Sufi kerana neraca penilaian mereka hanyalah akal yang sering dibelenggu bebal. Ia ibarat tikus menilai singa. 

Hafiz Fandani/998-1404.
Top of Form
Like ·  · Promote · Share
·         Faizzuddin Zai, Muhammad Teja, Sumayyah Abdul Aziz and 6 others like this.
·         http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash4/372249_557498090_1919076417_q.jpg
Iqbal Ihsan Assalamualaikum, saya mohon pandangan. Apa pendapat tuan tentang pendapat-pendapat yang mengatakan kitab Fusus al-Hikam bukanlah sepenuhnya asli tulisan Shaykh Ibn al-'Arabi, tapi ditokok tambah oleh musuh-musuh beliau? (Suatu perkara menarik, menurut satu surat Shaykh Ibn Taymiyyah seperti yang disampaikan dalam satu makalah Dr Gibril Haddad, Shaykh Ibn Taymiyyah mengagumi Shaykh Ibn al-'Arabi melalui kitab Futuhat, tetapi mula menghentam beliau setelah membaca kitab Fusus)
·         http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash4/275218_1412898446_2138999100_q.jpg
Hafiz Fandani Wa'alaikumussalam Tuan Iqbal Ihsan : Pada zaman Imam 'Abd Wahab al-Sya'rani misalnya sudah ada pencerobohan terhadap karya-karya Sheikh al-Akbar Sultan al-'Arifin Ibn 'Arabi ini. Kitab-kitab Sheikh Ibn 'Arabi seperti Fusus al-Hikam dal al-Futuhat telah diceroboh dengan dimasukkan tambahan-tambahan yang tidak ada pada naskhah asal yang mana tambahan-tambahan itu mempunyai unsur-unsur penyelewengan akidah Ahli Sunnah wal Jama‘ah seperti kefahaman al-hulul wa al-ittihad. Kenyataan ini pernah dinyatakan oleh al-Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam kitabnya Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah sewaktu beliau meringkaskan kitab Futuhat al-Makkiyah. Bahkan, para ulama muktabar lain seperti Ibn al-‘Imad al-Hanbali dan al-Haji Khalifah juga turut menyatakan perihal yang sama. Ini bermakna perkara pencerobohan kitab-kitab Sheikh Ibn 'Arabi ini sudah sedia maklum pada sisi ulama. 

Kita juga perlu tahu bahawa, dalam kes Sheikh Ibn 'Arabi ini, para ulama berselisih pendapat dan jelas berlaku khilaf dalam menentukan kedudukan Sheikh Ibn 'Arabi. Setidak-tidaknya ada tiga kelompok ulama dalam menilai kedudukan Sheikh Ibn 'Arabi, iaitu; Pertama - Golongan ulama yang mengambil pendirian menyokong dan membela pandangan-pandangan Sheikh al-Akbar seperti Imam al-Suyuthi sendiri dan Imam 'Abd Wahab al-Sya'rani. Keduanya – Golongan ulama yang yang mengkritik dan menyesatkannya, malah ada yang sampai mengkafirkan Sheikh Ibn ‘Arabi; ini seperti dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah, dan lain-lain ulama. Dan ketiganya – Golongan ulama yang mengambil pendirian berdiam diri [tawaquf] tanpa memberikan sebarang hukum terhadap Sheikh Ibn ‘Arabi. 

Menangani isu-isu seperti ini, khususnya berkaitan perihal para Sufi adalah baiknya kita mencontohi ulama seperti Sheikh ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam sebagai contohnya. Sheikh ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam direkodkan mempunyai dua pandangan tentang Sheikh Ibn ‘Arabi. Pertama, pandangan yang negatif dan kedua pandangan yang positif. Perubahan sikap ini ada kaitan dengan perubahan sikap beliau setelah bergaul dan melihat sendiri pengamalan serta pengalaman para sufi. Hal ini telah dinyatakan oleh Sheikh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandari dalam kitabnya Lata’if al-Minan bahawa Sheikh ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam pada awalnya bersikap seperti sikap para fuqaha lain yang cepat mengingkari para sufi. Kemudian, selepas beliau berkawan dengan Sheikh Abu al-Hasan al-Syazili, sikapnya mula berubah terhadap para sufi dan beliau pula selalu menghadiri majlis-majlis ahli sufi. Artikel membela Sheikh al-Akbar Sultan al-‘Arifin Ibn ‘Arabi ini pernah saya tulis dalam akhbar Siasah sebanyak empat bahagian sebagai jawapan kepada fitnah penulis di akhbar Siasah yang menyesatkan Sheikh Ibn ‘Arabi dan mengaitkan beliau dengan fahaman liberalisme. Pembelaan ke atas Sheikh Ibn ‘Arabi juga pernah saya tulis dalam majalah al-I’tisam, terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Ringkas kata, kesalahfahaman terhadap pemikiran Sheikh al-Akbar Sultan al-‘Arifin Ibn ‘Arabi ini adalah disebabkan oleh rata-rata pengkaji, khususnya pengkaji Barat tidak memahami bicara Sheikh Ibn ‘Arabi dalam konteks zhauq al-wujdani, dan ini menyebabkan ketirisan dalam memahami maksud sebenar yang hendak disampaikan. Malang pula, kesalahtafsiran pengkaji Barat ini pula dicedok mentah-mentah tanpa satu kajian yang teliti dan bersikap adil. Sedangkan, sewajarnya untuk memahami pemikiran Sheikh al-Akbar Ibn ‘Arabi perlulah melalui proses belajar daripada ulama yang mempunyai kepakaran dalam memahaminya sekali gus dapat melegitimasikan pemikiran Sheikh Ibn ‘Arabi yang tulen, dan bukannya yang sudah diceroboh. Ini pentingnya, penerusan keilmuan melalui proses bersanad bagi menjaga ketulenan pemikiran. Cuma dalam konteks zaman moden sekarang, sukar untuk dicari tokoh yang benar-benar memahami karya-karya Sheikh Ibn ‘Arabi hingga pemikiran beliau ada baiknya tidak dibicarakan jika khuatir mengundang fitnah. Oleh sebab itu, ilmu-ilmu dalam kategori sukar difahami ini dan tidak ada kepakaran dalam memahaminya ulama menasihati supaya meninggalkannya dan ilmu sebegini haram diajarkan kepada khalayak awam. Wassalam.
57 minutes ago · Edited · Like · 3
·         http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash4/261070_100001203902221_804289022_q.jpg
Faizzuddin Zai sheikh Hafiz Fandani, ad blog?
·         http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash4/275218_1412898446_2138999100_q.jpg
Hafiz Fandani http://rimbunanrindu.blogspot.com/Faizzuddin Zai : Blog ini jarang dikemas kini dan tidak banyak tulisan menarik. Wassalam.
http://external.ak.fbcdn.net/safe_image.php?d=AQAn0_2zUh71b7Ux&w=90&h=90&url=http%3A%2F%2F4.bp.blogspot.com%2F-fbdZ0ItGc3M%2FUFGcDF1ZbVI%2FAAAAAAAAAUE%2FjukwxKpoUTY%2Fs320%2FP9021302.JPG
rimbunanrindu.blogspot.com
Bottom of Form

Related Posts with Thumbnails