Bagi pembaca-peminat novel generasi baru di Malaysia, Isabella mungkin merupakan novel yang agak asing bagi mereka. Mereka mungkin lebih akrab dengan lagu Isabella nyanyian kumpulan Search berbanding karya tulen garapan novelis Islam, Maulana Muhammad Saeed Dehlvi ini. Novel Isabella ini bukanlah novel cinta biasa, ia merupakan perihal ‘cinta luar biasa’, paparan mengenal hakikat keabadian ‘cinta sebenar’.
Secara peribadi dan bersifat nostalgia, seingat saya - sudah hampir 10 tahun saya tidak menelaah novel Isabella. Kali terakhir saya membacanya ialah ketika saya di bangku sekolah. Itupun saya membacanya melalui rujukan di perpustakaan. Sesudah itu, saya tidak lagi menemui novel Isabella sehinggalah saya menatapnya semula baru-baru ini.
Sesudah sekian lama – betapa kerinduan di hati kembali terubat.
Isabella - novel bertemakan teologi perbandingan agama antara Kristian dan Islam terbitan Pelima Media ini tampil dengan penampilan yang lebih segar dari segi rupa kulit buku. Ia seumpama diberikan nafas baru untuk lebih tampil menarik minat pembaca generasi baru yang dahagakan koleksi novel bertemakan teologi. Novel ini digarap oleh penulisnya di dalam bahasa Urdu tetapi kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (15 Ogos 1974) oleh Rahm Ali Al-Hashmi dengan judul Isabella dan seterusnya diterjemahkan ke bahasa Melayu (Jun 1988) oleh sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain.
Seindah namanya, Isabella bukanlah peribadi yang asing dalam sejarah perkembangan Islam di Sepanyol, terutamanya dalam bidang perbandingan agama Islam dan Kristian di bandar Cordova - bandar sejarah Sepanyol dan merupakan bandar tercantik di Sepanyol. Membaca setiap rentetan kisah Isabella yang penuh dramatik berbaur tragik ini bagaikan membawa kita menelusuri segenap sudut dan tempat peninggalan sejarah kegemilangan Islam di Cordova. Ia mengingatkan kita pada istana al-Hamra, Qasrul Syuhada (makam para syuhada), masjid Cordova dan juga taman tercantik di Sepanyol iaitu Rabat Yamani.
Ya, hidayah Allah merubah segalanya. Begitulah yang terjadi kepada Isabella. Tidak ada sesiapa pun menyangka, Isabella yang pada mulanya adalah seorang penganut Kristian yang tegar dan patuh pada agamanya boleh memeluk agama Islam yang begitu dibenci oleh penganut Kristian pada waktu itu. Kebencian yang memuncak pada waktu itu sehingga hampir-hampir meragut nyawa Isabella sendiri, sewaktu hidayah Allah menyapa lubuk hatinya yang paling dalam. Isabella pada usia mudanya sentiasa mempelajari dan mengkaji tentang agamanya, Kristian. Beliau sentiasa cuba untuk mencari kebenaran dalam agama Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama Kristian.
Namun, semakin dikaji agama berasaskan fahaman triniti itu, sinar Islam dan hidayah Allah makin memenuhi lubuk jiwanya. Di ketika kebenaran Islam sudah kukuh dalam dirinya, waktu itu tidak ada apapun yang mampu menggugahnya, walaupun beliau menghadapi saat-saat getir dan penuh tragik. Kekentalan imannya tidak mampu dirubah. Isabella sudah nekad dengan keIslamannya. Pengharapan penuh hanya pada Allah makin mengental liat di sanubarinya. Penyeksaan demi penyeksaan yang dihadapi Isabella mengingatkan kita pada siri-siri kekentalan iman para mujahidah Islam seperti Sumayyah dan Asiah.
Perjuangan mereka cukup-cukup membuatkan hati ini berasa kerdil sekali.
Peralihan kiblat akidahnya itu sekali gus menjadikan beliau komited dan tegas memperjuangkan ajaran Islam hingga ke akhir hayatnya. Itulah hidayah Allah - hidayah yang tidak mengenal siapa pemilik hati. Sangat beruntung siapa yang terpilih mendapat hidayah Allah. Ia bagaikan mendapat suatu anugerah yang maha hebat. Tidak ada yang setanding dan sehebat hidayah kurniaan Allah. Selepas menganuti dan menghayati agama baru, Islam yang sehebat namanya - Isabella bukan sahaja terkenal sebagai seorang muslimah yang menjadi ikutan dan pedoman ramai pemudi Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang tokoh perbandingan agama yang ulung, bahkan seorang ahli hadis di Cordova. Melalui kisah penuh bermakna ini, sudah pasti nama beliau akan tercatat sebagai seorang serikandi Islam agung sepanjang zaman, yang akan sentiasa dekat di hati dan menjadi ingatan ramai orang.
Isabella sudah pun menemui keabadian ‘cinta’ melalui kembara keimanannya. Beliau sudah menemui cinta yang tidak ada bandingan dan gantinya. Justeru, bagaimana pula dengan kita? Ayuh, mulai dari sekarang - telaah dan hayatilah sepenuh jiwa karya sehebat dan seagung Isabella ini. Moga kita semua akan mendapat cetusan semangat dan menemui nafas baru.
Selamat membaca dan semoga istiqamah menelusuri lorong-lorong keimanan.
Sekian. Wassalam.
Hafiz Fandani.
Bangi – 2011.
No comments:
Post a Comment