Oleh: Hafiz Fandani
“Hidup ini, sebenarnya mencari apa?” Datuk tiba-tiba bersuara setelah agak lama menyepi dari tadi kemudian mencapai rokok daun yang sudah siap digulung.
Malam-malam begini, seusai sahaja makan - rokok daun itulah yang akan dicapainya dulu. Sesudah itu, barulah sesi mengunyah daun sirih bersama kepingan pinang yang sudah dikacip nipis, dan sedikit calitan kapur sebagai perasa tambahan. Biasanya, kesemua bahan-bahan perkakas pinang itu, aku yang sediakan. Kalau dahulu, nenek yang menyediakan semuanya.
Seingat aku, rokok daun sama sekali tidak pernah lekang dari bibir datuk, tidak pernah berjauhan daripadanya. Asal sahaja sudah selesai makan, tidak mengira pada waktu tengah hari, petang atau malam, rokok daun itulah antara teman akrabnya tatkala merenung jauh. Rokok daun itu bagaikan sebuah inspirasinya selama ini.
“Bagi atuk, hidup ini sebenarnya mencari apa?” Aku pula menyoal.
Sekali dua rokok daun itu disedut oleh datuk. Asap berkepul-kepul naik mencecah atap rumah. Peliknya, datuk menghisap rokok daun kosong, tidak pernah sekalipun aku melihat plastik tembakau bersamanya. Apa yang ada hanya seberkas daun rokok dan pemetik api. Itu sahajalah yang dibawanya ke mana-manapun. Aku pula tidak pernah untuk bertanya tentang itu. Untungnya lagi, rokok daun itu tidak perlu dibeli, datuk sendiri yang menghasilkannya.
“Teringat apa yang pernah diperkatakan oleh guru atuk waktu belajar dulu,” ujar datuk kembali bersuara. Lama-lama sekali, aku tengok rokok daun itu disedutnya lagi. Berkepul lagi asap menyapa atap.
“Guru atuk berkata, hidup ini sebenarnya mencari jiwa yang sentosa, jiwa yang sejahtera.”
Keheningan malam yang damai begini membuatkan aku teringatkan gemulah nenek yang sudah lama meninggalkan alam pada maya ini. Sejak pemergian gemulah nenek beberapa tahun lalu, datuk hidup keseorangan di teratak tuanya ini. Aku jarang-jarang sekali ke sini, itupun jika ada cuti semester atau hari minggu. Kalau nenek ada, waktu-waktu begini, hidangan kopi pekat separa manis dan sedikit kuih muih menjadi sajian ringan yang wajib. Kini, aku sendiri yang membancuhkan air kopi itu, manakala kuih muihnya pula aku akan beli di gerai Kak Leha, di pinggir kampung. Kuih muih ramuan Kak Leha tidak kurang hebatnya. Jarang-jarang sekali kuih muih tidak habis dijual oleh janda beranak satu itu.
Nostalgia lama kembali menjengah minda.
Nenek rajin menyediakan kuih muih untuk sajian ringan pada waktu malam. Sebut sahaja apa kuih yang aku gemari, semuanya akan diusahakan buat oleh nenek untuk cucu tunggal kesayangannya ini. Lama-lama sekali aku menziarahi mereka berdua di teratak damai ini, ada-ada saja masakan istimewanya. Maklumlah aku saja buah hati datuk dan nenek. Teringat aku pada tepung bungkus, lepat liat, seri muka, dan lepat pisang sajian nenek. Aku suka menolong nenek apa yang patut bagi menyediakan kesemua kuih muih itu. Waktu-waktu begitu biasanya aku suka bertanyakan nenek tentang zaman muda-mudanya dahulu, kadangkala aku suka mengusik nenek. Terburai ketawa antara kami berdua. Ikan bawal masak asam cuka adalah antara air tangan nenek yang sukar untuk aku lupakan. Resipi nenek cukup enak dan sukar dicari galang ganti.
Nenek sering ajarkan aku sajian istimewanya, sehingga aku dari tidak tahu apa-apa, tidak pernah tahu menahupun karenah di dapur, pandai sedikit sebanyak merencah bahan-bahan ke dalam kuali. Mungkin oleh sebab nenek tidak ada cucu perempuan, maka dengan itu sedikit sebanyak ilmu masakannya dicurahkan pada aku. Untung pula, aku tidak kisah belajar memasak ini, paling tidak aku boleh berdikari sendiri.
“Lelaki perlu juga tahu hal memasak, paling tidak, pandai memasak nasi dan satu dua jenis lauk pauk pun sudah memadai. Nanti, kalau sudah berkahwin, kebetulan isteri sakit beranak dan berpantang di kampung, takkanlah si suami asyik hendak makan luar saja,” hujah nenek pada suatu ketika.
“Untung kalau Ikmal pandai memasak, nanti mentua makin sayang,” sambung nenek lagi hingga membuatkan aku tersenyum malu.
Itu secebis kisah bersama nenek. Nenek ibarat ibu kedua bagi aku. Banyak kasih sayang nenek tercurah pada aku. Imbauan itu membuatkan aku terdiam lama sebelum berbicara semula. Aku mencapai teko yang terisi penuh air kopi, lalu aku tuangkan ke dalam dua cawan yang sudah tersedia di dalam talam tembaga. Asap dari panas air kopi itu juga turut berkepul seperti asap rokok daun datuk, gempulan kecil asap itu turut menerjah atap rumah, dan sesekali jauh dibawa bayu malam entah ke mana – ghaibnya tanpa ada matlamat.
Aku mengambil sepotong kuih koci dari dalam pinggan lalu menyuakan ke mulut. Datuk turut menggapai cawan kopi yang masih berasap, lalu dihirupnya kopi panas itu perlahan-lahan. Raup wajah tuanya makin jelas terpapar, sama tuanya dengan usia rumah usang ini.
“Kenapa guru atuk berkata begitu. Apa maksudnya?” Soal aku lagi meminta penerangan lanjut daripada datuk. Sejak dari tadi, aku hanya menyoal saja.
Sudah sifat aku sejak kanak-kanak, suka bertanya akan sesuatu perkara yang sukar difahami. Dan, lazimnya aku suka mendengar sahaja apa yang akan diperkatakan, oleh sesiapa sahaja kerana aku suka menjadi pendengar yang setia. Kemudian, sesudah itu, jika ada yang perlu aku mencelah, menghujah balas atau sedikit merespon, barulah aku akan bersuara. Berada bersama datuk, aku lebih suka mendengar tanpa merespon panjang, sekadar mengiakan atau bertanya semula. Bicara datuk banyak mematangkan hidupku, menginformasikan aku dengan ilmu dan membuatkan aku sering memikirkan tentang matlamat kehidupan ini.
“Hidup ini adalah dari tiada kepada ada, hidup dan mati, kemudian dihidupkan semula untuk hidup selamanya, di situlah nanti akan adanya pembalasan atas tiap-tiap amalan manusia. Hidup ini adalah perjalanan menuju destinasi abadi. Ia dianalogikan oleh Imam al-Ghazali sebagai pemusafiran dari satu-satu tempat ke tempat yang lain. Hidup ini sifatnya bukan menetap, bahkan mengembang terus – sebagaimana Allah menjadikan alam ini dan memperbaharuinya pada setiap detik masa,” datuk memulakan penjelasan, bagaikan kuliah seorang guru kepada muridnya.
“Pada setiap hari, Dia sentiasa dalam berurusan – maksud firman Allah dalam surah al-Rahman, ayat 29,” tambah datuk lagi menguatkan hujahnya.
“Hidup ini sifatnya seperti air – tidak boleh statik dan tidak mengalir, nanti longkang, parit atau sungai akan terkumpul dengan najis dan sampah sarap. Nanti air itu tidak akan bersih dan murni lagi. Air pada ketika itu tidak akan berguna lagi, peranannya sudah tidak berfungsi. Kehidupan tanpa peranan air yang bersih akan musnah sama sekali. Wabak penyakit akan menjelma dan merebak menjangkiti kehidupan manusia, binatang dan alam. Keharmonian alam akan terjejas pada ketika itu. Kehidupan tidak akan murni lagi,” lanjut datuk memperincikan patah bicaranya, takah demi takah.
Agak terkedu sejenak aku mendengarnya. Jarang-jarang sekali datuk berbicara seperti ini. Seingat aku, inilah seumpamanya datuk berbicara, berselirat maksud. Bukan tidak ada datuk berbicara soal ilmu, ada. Cuma kali ini lain dari yang lain. Biasanya datuk sekadar mengimbau zaman belajarnya dahulu – menceritakan bagaimana susah payah dia dan kawan-kawan seangkatan belajar, terutama dalam tahun-tahun pendudukan Jepun dan penjajahan British sebelum merdeka. Zaman itu, amat jauh berbeza dengan zaman aku masani – perbezaan yang tidak boleh dipertemukan langsung titik persamaan.
“Zaman itu, orang-orang dulu hanya makan pucuk-pucuk daun dan ubi kayu sahaja. Semua barang keperluan terbatas. Zaman itu, ibarat nyawa di hujung peluru. Pernah suatu masa, datuk dan kawan-kawan balik dari mengaji malam, seorang kawan baik datuk – Yaakub namanya, terkena peluru sesat lalu meninggal.” Teringat cerita datuk, seperti yang pernah diceritakan suatu ketika dulu.
Kali ini, topik perbicaraan datuk agak mendalam, tidak seperti kebiasaan. Bicaranya penuh falsafah dan hikmah, tetapi laras bahasanya begitu menggugah, mengesan dan memerlukan renungan dalam untuk memahaminya dengan sebenar kefahaman. Topik datuk pada malam ini, bagaikan ingin menjawab beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran aku selama ini; Apa matlamat kehidupan ini? Segala pencarian dalam kehidupan ini untuk apa sebenarnya? Persoalan ini tidak pernah puas terjawab oleh sesiapa sahaja yang aku bertanya. Tetapi malam ini, datuk bagaikan ingin memberikan aku jawapan – seolah datuk dapat mencula apa yang berlegar di benak.
“Hidup ini adalah pergerakan, dan pergerakan itu pula adalah suatu perubahan, sementara perubahan itulah yang dinamakan kehidupan. Manakala, statik dan jumud itu bermaksud mati. Orang yang jumud dan statik itu sesuai dikatakan seperti mayat hidup – keberadaannya tidak membawa suatu erti apapun. Sementara pergerakan dan perubahan itu pula jangan disalahtafsirkan atau diselewengkan maksudnya dari landasan sebenar. Hari ini, rata-rata orang menyalah fahami erti sebenar tuntutan perubahan itu, kononnya perubahan itu adalah memodenkan serba serbi,” ulas datuk lagi secara berkias, seperti berpidato sahaja gayanya, tetapi penuh semangat.
Malam semakin jauh beredar, sedar antara tidak, sudah jam 2.00 pagi. Awal-awal pagi nanti, seusai berjemaah Subuh, aku perlu menebas lagi bersama datuk. Semak samun dan deretan lalang serta pokok-pokok renek yang ditebas pada sebelah petang tadi masih tersisa. Tanah yang masih belum dibuat apa-apa itu perlu segera diusahakan, sebelum aku habis cuti semester. Nanti, datuk keseorangan yang akan mengerjakannya. Aku kasihan melihat kudratnya yang tidak seberapa kini – usianya sudah mencecah 83 tahun. Aku ingin melihat hasrat datuk untuk mengubah satu lagi tanah sekangkang kera yang baru dibelinya itu berubah kepada perusahaan tanaman menjadi kenyataan. Bumi ini perlu disuburkan, kata datuk sewaktu berbicara petang tadi.
“Atuk tengok mata kamu sudah terkebil-kebil menahan mengantuk. Mungkin kamu penat menebas petang tadi, pergilah berehat. Kita perlu bangun awal nanti,” saran datuk seperti tahu saja apa yang aku sedang fikirkan.
“Baiklah atuk,” aku mengiakan saja, walaupun sebenarnya aku masih belum benar-benar mengantuk.
“Tentang persoalan yang atuk bicarakan tadi macam mana, belum habis lagi bukan?” Aku mengingatkan semula datuk tentang topik yang dibicarakan tadi. Aku belum puas mendengar kupasan dan perbahasan datuk, tentu ada banyak lagi perkara yang ingin disampaikannya.
“Atuk rasa cukup sekadar itu dulu untuk malam ini, nanti atuk lanjutkan lagi perbahasannya. Banyak lagi yang perlu atuk sampaikan pada Ikmal, satu-satunya cucu yang atuk sayang. Sebelum Allah mencabut nyawa atuk, biarlah ilmu atuk itu nanti Ikmal buat pedoman di sepanjang hidup. Ingatlah Ikmal, hidup ini mencari jiwa yang sentosa, mencari damai yang abadi. Jadi, hiduplah dalam keadaan tanpa iri dengki, barulah Ikmal akan mencapai kebahagiaan hakiki,” nasihat datuk penuh kesayuan dan sarat kesedaran.
“Satu lagi atuk hendak ingatkan, jangan jadi seperti asap rokok daun atuk ini, atau jadi seperti asap air kopi yang Ikmal buatkan itu – keberadaannya tanpa halatuju, senang-senang dibawa pergi angin, entah ke mana menghilangnya,” sambung datuk lagi sambil menunjukkan batang rokok daunnya yang hanya tinggal sekerat dan menuding jari ke arah teko yang tidak berasap lagi.
Menginsafkan – membuatkan diri bermuhasabah kembali.
“Baiklah atuk, Ikmal akan ingat nasihat atuk bila-bilapun. Terima kasih atuk, mendidik Ikmal menjadi insan berguna. Atuk pun sama, berehatlah, kesihatan atuk paling penting untuk dijaga,” aku menyarankan sama kepada datuk. Datuk menurut sahaja kata-kata aku.
Malam ini, datuk membuatkan diri aku menjadi hidup, jiwa aku menjadi subur. Benar, seperti kata datuk tadi - hidup dalam keadaan tanpa iri dengki, barulah akan mencapai kebahagiaan hakiki, hidup selamanya dalam damai abadi. Tanpa sengketa dan permusuhan, tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Dalam jauh-jauh aku merenung diri, aku lalu tertanya-tanya sendiri; rata-rata manusia di zaman ini, hidup mereka mencari apa sebenarnya?
TAMAT!
No comments:
Post a Comment