Wednesday, July 8, 2009

GURUKU

Guruku
terpandang raut wajahmu
terpancar sinar kebahagiaan
nurani tenang kekal di ingatan
di situ terukirnya nilai keikhlasan
di situ terpahatnya nilai ketabahan
di situ terpasaknya nilai keazaman
di situlah jua lahirnya wibawa seorang ilmuwan

Guruku
dirimu menjadi ikutan
mewarisi bakat Rasul Junjungan
memimpin warisan nusa zaman-berzaman
mendidik anak bangsa khazanah keilmuwan
menghidupkan akal budi nilai ketauhidan
menyuburkan jiwa yang mati asas ketaqwaan
bagai bumi gersang disirami hujan


Guruku
pada dirimu ada keadilan
sama rasa sama rata buat anak watan
tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan
itulah pengorbananmu asas perjuangan
menjadi dambaan dalam mencari rahmat Tuhan

Guruku
salam dihulur doa dipanjatkan
agar kesihatan dan usia berpanjangan
kata hikmahmu tetap menjadi pedoman
dulu, kini dan selamanya dalam pengabdian.

Hafiz Fandani
Ahad - 27 Julai 2008
Khazanah Fandaniyah
Kedah Darul Aman.

* Mengenangkan jasabakti guru Al-Quranku, Tok Su Mat Nor (datuk saudara) yang baru kembali ke rahmat ALLAH pada Khamis (malam Jumaat), 2 hb Julai bersamaan 9 Rejab 1430
lalu. Semoga rohnya dicucuri rahmat ALLAH. AL-FATIHAH. Puisi ini juga aku tujukan buat guru-guruku yang masih hidup atau yang sudah dahulu menuju Rabbi al-Malik al-Quddus.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails