Tuesday, December 11, 2012

PEDOMAN DALAM BERTAREQAT

Ke’aliman seseorang dalam disiplin ‘ilmu dan kehebatannya dalam pemikiran bukanlah satu alasan atau pun benteng bagi dirinya mengelak daripada mendalami tasawwuf dan tariqah melalui suhbah guru mursyid yang ‘alim, kamil lagi mukamil. Sehebat ‘ulama yang digelar Sultan ‘Ulama [Sultan Para ‘Ulama] iaitu Sheikh ‘Izzuddin ‘Abd Salam pun masih bersuhbah dan mengambil masyrab tasawwuf daripada Sheikh Abu Hasan asy-Syazili yang 16 tahun lebih muda usianya daripada beliau. Kehebatan Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali dalam disiplin ‘ilmu dan pemikiran sama sekali tidak menjadikan dirinya menjauhi tasawwuf dan tariqah, bahkan beliau bergurukan al-Farmadhi dan an-Nassaj at-Tusi dalam ‘ilmu tasawwuf dan tariqah. Imam an-Nawawi meskipun dikenali hebat dalam disiplin ‘ilmu fikh dan hadis, masih seorang ‘ulama yang bertasawwuf dan bertariqah Syaziliyyah. Maulana Jalaluddin Rumi yang dikenali di Timur dan Barat sebagai Maulana Rumi, meskipun bermazhab Hanafi dan seorang Sunni [bukan Syiah sebagai didakwa], turut mendalami tasawwuf dan tariqah, dan akhirnya beliau membawa Tariqah Mawlawiyyah; kehebatan Matsnawi beliau itu yang dikagumi oleh khalayak Timur dan Barat adalah hasil daripada limpahan kerohaniannya dalam renungan dunia tasawwuf. Malahan, al-Faqih al-Muhaddis dalam disiplin ‘ilmu hadis dan terkenal hebat sebagai seorang ‘ulama yang ‘Alim Rabbani, dikagumi rata-rata ‘ulama termasuk oleh Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradhawi dan Sheikh Abu Hasan Ali an-Nadwi, iaitu Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah pun turut bertariqah dengan Tariqah Naqshabandiyyah. Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, pengasas kepada Ikhwanul Muslimin juga adalah seorang pengamal Tariqah al-Husofiyyah asy-Syaziliyyah; wirid Ma’thurat yang terkenal sebagai amalan Ikhwanul Muslimin itu asalnya ialah wirid dan wazho’if yang diberi izin beramal oleh mursyid beliau Sheikh ‘Abd Wahab al-Husofi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails