Tuesday, December 11, 2012

ILMU, MAQULAT DAN AL-HIKMAH


[al-'Ilm] dengan makna 'pengetahuan' adalah sifat bagi zat [ia seperti pengetahuan adalah sifat bagi diri kita, yakni zat]; zat yang bersifat demikian dinamakan ['alim] ertinya 'mengetahui', manakala objeknya yang berada dalam ilmu itu dinamakan [ma'lum] ertinya 'apa yang diketahui'. 

> Rumusan ini berdasarkan kepada penelitian 'sepakat' tiga orang ilmuwan, dalam konteks yang dibahaskan-dirujuk iaitu Abdullah Mohammad (Nakula), Sheikh Pak Da 'Eil al-Fathani, dan al-'Alim al-'Amil al-Ustaz al-Kamil Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah. Al-Fatihah untuk ketiga-tiga ilmuwan berjasa ini. 

Seterusnya, perbahasan tentang [al-'ilm] ini dapat dirumuskan dalam gambaran berikut :
 

al-'Ilm : 

> 'idrak (masdari) diterjemah sebagai 'tahu'
> sifat ('ismi) diterjemah sebagai 'pengetahuan'
> diterjemah sebagai 'mengetahui'

[Pecahan makna kalimah al-'ilm]

Bersesuaian dengan perbahasan ini, selanjutnya dipetik penelitian al-Marhum Tuan Guru Abdul Qadir ibn Wangah Sekam [1340/1921 - 1412H/1991M], salah seorang daripada murid Sheikh Pak Da 'Eil al-Fathani, seperti berikut :

"…telah berkhilaf-khilaf ulama pada mengatakan ilmu bagi seorang di tengah-tengah mengetahui itu; berkata muhaqqiqun bahawasanya ia daripada [kayf] kerana pada ketika tahu itu rupa benda yang ditahu, dan berkata setengahnya ialah daripada [infi'al] kerana pada ketika itu ialah menerima [nafs] yakni ruh bagi demikian rupa benda itu, dan berkata setengah yang lain ialah daripada ['idafah] kerana ilmu itu hasil ia dengan adu antara [nafs] dengan rupa benda itu dan [qawl - pendapat] yang ketiga ini ialah daripada ulama ilmu usul al-Din dan adalah khilaf-khilaf ini kenakan ilmu dengan makna tengah-tengah tahu sahaja, tidak apabila sudah jadi [malakah] adapun waktu itu maka dinamakan [kayf], Hai Tuhan kita berikanlah kepada kita akan ilmu-ilmu yang jadi [malakah] lagi manfaat akan kita dengan beramal akan dia." - (Ruj : Mabda' al-Fikrah fi al-Maqulat al-'Asharah, hlm 28) 

[Nota : kayf, infi'al, dan 'idafah itu termasuk terma-terma atau kandungan yang menjadi perbahasan dalam Maqulat 'Ashara-Maqulat Sepuluh atau dinamakan juga sebagai Sistem Maqulat. Ia juga disebut sebagai 'Categories' atau bermaksud predikat dalam bahasa moden. Dari segi istilahnya, Maqulat itu ditakrifkan sebagai "ilmu yang membahaskan padanya tentang jenis tertinggi (summum genus atau kelas tertinggi atau 'ajnas 'aliyah' bagi ada yang serba mungkin, yakni bukan berkenaan 'mesti ada' - wajib wujud). Sistem Maqulat ini sering digunakan oleh para ulama Islam di dalam karya-karya usul Fiqh, usul al-Din, sains, dan al-Hikmah]

Ini adalah hasil ringkasan awal yang dibuat dan masih dalam bacaan lanjut untuk lebih benar-benar memahami tentang subjek yang dibahaskan. Untuk meneliti perbahasan selanjutnya tentang ini, yang melibatkan tentang faham dan hubungkait antara ilmu, maqulat dan al-Hikmah, boleh dirujuk teks asal hasil ringkasan ini daripada tulisan al-Fadhil al-Ustaz Mohd Zaidi Abdullah yang berjudul "Al-'Ilm, Al-Maqulat dan Al-Hikmah Dalam Pemikiran Ulama Melayu : Satu Penelitian Awal" di dalam Jurnal AFKAR bil: 6, Rabi' al-Awwal 1426/Mei 2005, halaman 171-192. Perlu juga dibaca teks ini bersama tulisan beliau yang lain, iaitu Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi dan dua buah buku terbaharu, Al-Hikmah Berwacana Perihal Fenomena, dan Kearifan Yang Subur, untuk lebih memahami susur galur teks dan konteks yang dibahaskan. Allahu a'lam. 

~ Hafiz Fandani/998/1404.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails