Tuesday, December 11, 2012

AMALAN BERMAZHAB EMPAT



Dalam kitab beliau yang terkenal, Nihayat al-Zain, Imam Nawawi al-Bantani atau digelar ‘ulama sebagai Imam an-Nawawi ats-tsani (Imam Nawawi kedua) yang juga salah seorang murid kepada al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif ar-Rabbani, Sheikh Daud al-Fathani, menyebutkan :


“Dan dalil berkenaan dengan hal itu [iaitu keperluan mengikuti imam-imam mujtahidin yang diakui di kalangan ahli sunnah [wal Jamaah] seperti al-Shafie, Maliki, Hanbali, dan Hanafi [Allah meredhai mereka semuanya] ialah firman Allah yang bererti : Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahuinya – al-Nahl;16:43 – Maka Allah memperwajibkan bertanya bagi orang yang tidak mengetahui, dan wajib di atas orang itu mengambil pengajaran orang ‘alim itu. Dan itu adalah taklid baginya. Dan tidak diharuskan bertaklid kepada yang selain daripada mereka yang empat ini daripada yang lain lagi daripada kalangan mujtahid dalam bidang furu’, seperti Sufian al-Thauri, Sufian bin Uyainah dan Abdul Rahman bin ‘Umar al-Auza’I [Allah meredhai mereka semua itu]. Dan tidak harus juga bertaklid kepada seorang daripada sebesar-besar sahabat [Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam] kerana pegangan atau mazhab mereka itu tidak ditetapkan serta tidak ditadwinkan. Ada pun bagi seseorang yang mempunyai keahlian dalam ijtihad yang mutlak, maka haram di atasnya bertaklid [kepada sesiapa] dan wajib pula di atas seseorang yang tidak mempunyai keahlian supaya bertaklid dalam usul [iaitu dalam soal usuluddin atau akidah], iaitu bertaklid kepada akidah-akidah oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari atau pun Imam Abu Mansur al-Maturidi; tetapi keimanan orang yang bertaklid itu ada ikhtilaf tentangnya dengan nisbah kepada hukum akhirat. Ada pun dengan memandang kepada hukum-hukum syara’ dunia, maka memadailah dengan ianya berikrar [tentang pegangannya itu]; pendapat yang paling sah [dalam hal ini ialah] bahawa seseorang yang bertaklid dalam hal akidah itu adalah seorang yang derhaka bila ianya orang yang mampu berfikir sendiri, dan dia tidak berdosa [dalam bertaklid] kalau ia tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir sendiri…Dan wajib di atas orang yang tersebut itu bertaklid dalam ilmu tasawwuf kepada seorang daripada imam-imam tasawwuf seperti al-Junaid, iaitu Imam Sa’id bin Muhammad Qasim Junaid, penghulu golongan Sufiah, dari segi ilmu dan amalnya, Allah meredhainya. Dan kesimpulannya ialah bahawa : Imam Shafie dan yang sedemikiannya ialah para pembimbing umat ini dalam hukum-hukum furu’, Imam Asy’ari dan sepertinya pembimbing-pembimbing umat ini dalam usul, dan al-Junaid dan mereka yang sepertinya adalah para pembimbing dalam tasawwuf. Moga-moga Allah kurniakan ganjaran kebaikan kepada mereka, moga-moga Allah menjadikan kita mendapat manfaat melalui mereka ini semuanya.” – [Nihayat al-Zain, hlm 7]. 

Nota Ringkas :

Kitab Nihayat al-Zain karangan Imam Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab ini adalah huraian kepada kitab Qurrat al-‘Ain yang ditulis oleh ulama India Selatan abad ke-16, Sheikh Zain ad-Din al-Malibari (meninggal 975M). Ulama India ini pula ialah murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami (meninggal 973M), penulis kitab Tuhfah al-Muhtaj yang menjadi kitab autentik dalam Mazhab Shafie. 

Kitab Qurrat al-‘Ain ditulis dan diberikan huraian tambah oleh pengarangnya hingga terhasil kitab Fath al-Mu’in – sebuah kitab yang menjadi rujukan dalam bidang fiqh. Sayyid Bakri bin Muhammad Syatha al-Dimyathi menulis empat jilid I’aanah at-Thalibin yang merupakan syarah atau huraian kepada kitab Fath al-Mu’in. Kitab I’aanah at-Thalibin ini pernah ditashih dan ditahqiq oleh Sheikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayyid Bakri Syatha sendiri, bahkan Sheikh Ahmad al-Fathani pernah mengajar kitab yang menjadi rujukan utama ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails