Monday, August 24, 2009

DARI HATI TERUS KE HATI


Andai kata-kata berakar umbi dari hati,
saksikanlah ia akan menyelinap ke dalam hati,
itulah setulus cita sekhalis nurani.
cahayanya yang terpancar akan menyinar sanubari
Andai pula ia terpancul hanya sebatas lisan,
maka ia cuma akan sampai ke pendengaran
takkan bermakna hidup hasratnya tak kesampaian
Berbicaralah seteguh; mulus-kudus bahasa jiwa
Serinya akan bertebar, bertapak pada marga jiwa
Meski cuma seungkap kata, padat bicaranya penuh memakna


Hafiz Fandani
Khamis
20 Ogos 2009/ 29 Syaaban 1430
Detik 11.51 pagi
Kota Damansara.

“KATA-KATA yang lahir dari hati yang ikhlas dan benar akan jatuh ke hati.” Demikian, benarnya bahasa keikhlasan. Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz menyebutkan di dalam Irsyadatud Da’iyat (kumpulan pelajaran Habib Umar di Darul Zahra’): Mengenai kesan dari sikap ikhlas ini, para ulama bercerita tentang Al-Imam Al-Habib ’Abdullah bin Thohir Al-Haddad, yang tinggal di Qaidun. Beliau adalah salah seorang guru kita yang sempat ditemui oleh ulama-ulama besar yang hidup di zaman ini. Beliau pernah bertemu dengan Nabi Khidhir di Makkah.

Pada suatu acara maulid di Makkah, berkumpullah para ulama dari timur dan barat; Syam, Mesir, Suriah, Palestin, Hijaz, Maghribi dan lain-lain negara. Mereka semua berpidato. Setelah para ulama berpidato, mereka berkata kepada Al-Habib ’Abdullah bin Thohir Al-Haddad: Sekarang giliran kamu, wahai Sayyid!
MasyaALLAH, mereka para ulama dari Yaman, Hijaz, Mesir, Syam dan Maghribi telah berpidato, maka itu sudah memadai, jawab beliau menunjukkan beliau seorang yang begitu tawadhu’.

Kami ingin mendengar pidato darimu walaupun sedikit, desak mereka. Kata yang lain pula: Wahai Sayyid ’Abdullah, bukankah engkau keluar dari rumah untuk berdakwah? Melihat kepada permintaan para tetamu tersebut, Al-Habib ’Abdullah bin Thohir Al-Haddad bangkit lalu mengangkat kedua tangannya lantas berdoa:

“Ya ALLAH, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Kau beri petunjuk.”

Mendengar doa ini, semua hadirin menangis.

“Berilah kami ‘afiat sebagaimana orang yang telah Kau beri ‘afiat.”

Suasana majlis dipenuhi dengan suara tangisan hadirin.

“Lindungilah kami sebagaimana orang-orang yang telah Kau beri perlindungan.”

Seorang ulama Mesir bangun lalu berkata: Lihat Sayyid ini, dia mengucapkan kalimat yang kita semua sudah tahu. Setiap hari kita mendengar dan berdoa dengannya [yakni doa qunut]. Namun, dek kerana ucapan itu kelaur dari hati yang shidq (benar) perhatikan kesan yang ditimbulkannya. Tadi ramai orang (yakni ulama) dari pelbagai negara telah berpidato. Mereka menceritakan keadaan umat-umat terdahulu, derita dan kesulitan yang mereka alami, tetapi tidak seorangpun menangis, dan kita tidak merasakan sedemikian khusyu’. Apa sebabnya? Perhatikanlah keikhlasan hati orang-orang sholeh. Cahaya yang terdapat di dalam hati mereka menyebabkan ucapannya meninggalkan kesan pada kita semua .

Habib Umar Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz di dalam Irsyadatud Da’iyat (kumpulan pelajaran Habib Umar di Darul Zahra’) selanjutnya menceritakan, bahawa: Sayyidina ’Abdul Qadir Al-Jailani dalam menyampaikan pengajiannya menggunakan bahasa yang sangat sederhana. Anak beliau yang telah banyak menuntut ilmu dan gemar menyampaikan ilmu berbisik di dalam hatinya: Jika aku diizinkan menyampaikan ilmu, tentu akan lebih banyak orang yang menangis.

Maka suatu hari Sayyidina ’Abdul Qadir Al-Jailani ingin mendidik anaknya, beliau berkata kepada anaknya: Wahai anakku! Berdirilah dan sampaikan syarahanmu. Anak beliau kemudiannya bersyarah dengan isi dan gaya yang bagus sekali. Namun tiada seorang pun yang menangis dan merasa khusyu’. Para hadirin, bahkan merasa bosan mendengarnya. Setelah anaknya selesai bersyarah, Sayyidina ’Abdul Qadir Al-Jailani naik keatas mimbar lalu berkata: Para hadirin sekalian, malam tadi isteriku ummul fuqaro’, menghidangkan ayam panggang yang sangat lazat, tiba-tiba seekor kucing datang dan memakannya.

Mendengar ucapan ini, para hadirin menangis dan menjerit. Anak beliau berkata: Aneh .... Aku bacakan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka, hadits-hadits Nabi, syair dan pelbagai akhbar (berita), tidak seorang pun yang menangis. Tetapi ketika ayahku menyampaikan ucapan yang tidak ada ertinya, mereka justeru menangis. Sungguh aneh, apa sebabnya????

Habib Umar menyambung lagi: Inti ceramah (syarahan, ilmu) bukan terletak pada susunan kalimat tetapi pada kesucian hati dan sifat shidq (benar) orang yang berceramah (bersyarah, berbicara .. etc). Sewaktu Sayyidina ’Abdul Qadir Al-Jailani berbicara, para hadirin menangis kerana mengertikan ’kucing’ dalam kisah beliau itu dengan Syaitan yang mencuri amal anak Adam dengan cara menimbulkan rasa riya’, ujub dan kibr (sombong). Ada yang menangis kerana mengibaratkan cerita itu dengan keadaan su’ul khatimah, yakni ia membayangkan seseorang yang memiliki amal yang sangat banyak, tetapi usianya berakhir dengan su’ul khatimah. Mereka menangis dan merasa takut kepada ALLAH hanya kerana ucapan biasa. Sesungguhnya dari ucapan itu telah membuatkan mereka berfikir, menerbitkan cahaya di hati mereka, berkat dari cahaya yang memancar dari hati Sayyidina ’Abdul Qadir Al-Jailani.


Rujukan: http://al-fanshuri.blogspot.com/ (dengan sedikit pengubahsuaian). Alfu syukran Ustaz Abdullah Thahir Al-Qedahi @ Al-Faqir Abu Zahrah.

2 comments:

  1. Syukran jiddan saudara.

    Benarlah. Allah memancarkan cahaya-Nya dari lisan & tulisan para kekasih-Nya yang shidq, menembus tabir-tabir terus mencecah dasar hati.

    Ibarat cahaya matahari menembusi kanta, menumpu ke satu titik, cerah dan silau
    namun cemerlang sinarnya.

    Sedikit, tapi besar kesannya.

    ReplyDelete
  2. Itulah bahasa hati, bahasa sekhalis nurani..bahasa para kekasih Ilahi.

    Sukar untuk mencapainya, tapi amat bermakna bila memilikinya.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails