Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa
Menyubur harapan
Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Tersedar aku
Dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta
Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih Sempurna
Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya
Ku hadapinya
Andai murkanya menghukum leka
Di atas nama cinta
Pada yang Selayaknya
Ku nafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redhaNya
Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasihNya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa
Di atas nama cinta
Pada yang Selayaknya
Ku nafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh redha
Saratkan hati ini
Dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
NikmatNya
SyurgaNya
CintaNya
Album : Tika Itu
Lagu : Bazli Hazwan (Hijjaz Records Publishing)
Lirik : Atie (Hijjaz Records Publishing)
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.
Kata penulis lirik pembuka bicara:
Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa
menyubur harapan.
Al-Faqir yang serba jahil ini menambah dengan izin ALLAH Subhanahu wa Ta’ala:-
Perkataan "tika mata" merujuk kepada, sejak daripada mata seseorang manusia melihat akan dunia ini. Oleh yang demikian, maksud zauqi (perasaan sufiyah) dalam perkataan "diuji manisnya senyuman" merujuk kepada segala bentuk keduniaan.
Dunia dan keindahan serta kelazatannya seolah-olah suatu "senyuman" yang menggoda hati manusia agar menghampirinya dan melupakan hakikat asal tujuan kewujudannya di dunia ini. Sejak mata boleh melihat akan keindahan dan kecantikan duniawi ini, hati sudah mula terpanggil untuk berkenalan dengan duniawi ini, di samping melupakan perjanjiannya dengan Tuhannya sewaktu di alam roh lagi, iaitu: "Alastu birobbikum, Qolu bala" (ALLAH Subhanahu wa Ta’ala bertanya: Adakah kamu (roh manusia) mengaku Akulah Tuhanmu). Maka, para roh menjawab: "Ya, kami mengakuinya") seperti yang dirakamkan di dalam Al-Qur'an.
Tapi, sejak mata melihat akan keduniaan, hati dan roh mula tertanya-tanya, tentang keduniaan yang dilihatnya. Hati semakin terkeliru ketika melihat, seolah-olah dunia dan isinya ini mampu berperanan dalam kehidupannya. Tampak dari sudut zahir, bahawasanya ada yang berkuasa dan berperanan selain dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala bagi hati yang tekeliru.
Sheikh Sa'id Hawa mengatakan: "Hijab pertama manusia dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ialah, takkala si bayi sedang menangis mengadu kelaparan dan dahaga, lalu si ibu menyusukannya. Bisik hati si bayi itu; "Oh,ada lagi yang boleh memberi rezeki dan mengenyangkan selain daripada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala?"
Kekeliruan inilah yang menjadi hijab pertama bagi seorang insan, dan terus-menerus membesar dengan bersandarkan kepada keduniaan, sehingga terlupa Tuhan kepada dunia dan segala isinya. Sejak kecil lagi, ketergantungannya sudah kepada makhluk, dek si roh tersangkut dalam jasad yang mana, mata menjadi peranan utama dalam memberi persepsi kepada manusia, yang akhirnya mengambil tempat "mata hati" (bashirah) dalam diri manusia.
Kerana itulah, dalam lirik tersebut ada menyebut: "tika mata", kerana dengan sebab matalah, seseorang semakin meninggalkan peranan mata hati, yang merupakan tempat bermu'amalah dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.
Adapun mata jasad, merupakan antara pancaindera yang utama bagi jasad untuk berinteraksi dengan alam kebendaan duniawi ini, sedangkan mata hati, merupakan pancaindera yang paling utama bagi roh untuk berinteraksi dengan alam qudsiyah/ghaib dan berinteraksi dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.
Kerana itulah, ada hadith mengatakan bahawa: "Sesungguhnya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala tidak melihat bentuk tubuh kamu, tetapi melihat hatimu dan amalmu". Adapun dunia dan isinyalah yang melihat bentuk tubuh jasmanimu dan luaranmu. Maka, sesiapa yang mengutamakan bentuk tubuh dan jasad daripada kondisi hatinya, bererti dia telah mengutamakan pandangan dunia dan isinya kepadanya, berbanding pandangan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ke atasnya. Dari sinilah, seseorang tahu, siapakah yang diutamakannya, ALLAH atau isi dunia? Faham (maka fahamilah).
Tika mata, terpegun dengan keduniaan, seperti kecantikan perempuan (atau ketampanan jejaka bagi perempuan), kemewahan harta, kemegahan takhta dan sebagainya, maka syahwat dan nafsu mula menyeru insan agar mengejar apa yang diingininya daripada kenikmatan-kenikmatan duniawi sehingga sampai mengabaikan kehambaan kepada Ilahi.
Kecantikan duniawi ini sebenarnya suatu ujian, bagi mata, untuk mata hati. ALLAH Subhanahu wa Ta’ala berfirman: "Sesungguhnya, diperhiaskan kepada manusia itu, akan cinta syahwat (keduniaan) dari kalangan perempuan-perempuan (iaitu: lawan jenis), anak pinak, harta benda..."
ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sendiri menggunakan istilah: "diperhiaskan", dengan membawa maksud, perkara-perkara yang diingini dan dicintai oleh syahwat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang cantik, tetapi diperhiaskan agar kelihatan cantik di kaca mata jasmani, walhal; mata hati mengetahui akan kejelekannya.
Diperhiaskan akan duniawi ini tidak lain melainkan untuk menguji para hamba-Nya, siapakah yang jujur dengan-Nya dan siapa pula yang berdusta terhadap-Nya, dalam perjanjian "alastu birobbikum" tersebut. ALLAH Subhanahu wa Ta’ala pada hakikatnya sudah mengetahui, siapakah dari kalangan roh yang menipu dalam perjanjian tersebut, dan siapa pula yang jujur. Tetapi, sengaja ALLAH Subhanahu wa Ta’ala meletakkan manusia ke alam duniawi terlebih dahulu, sebelum melayan para hamba-Nya dengan nikmat Syurga, untuk menjadikan hujah ke atas manusia sendiri, supaya manusia sendiri akan membuktikan kepada dirinya sendiri, bahawa sama ada dia jujur dalam perjanjiannya ataupun berdusta dalam perjanjiannya terhadap-Nya. Jadi, dunia inilah tempat ujian.
Kerana itulah, lirik mengatakan bahawa: "tika mata, diuji manisnya senyuman..."
Keindahan dan kemanisan senyuman merupakan suatu kiasan kepada perhiasan duniawi yang dihias untuk menguji, siapakah dari kalangan para hamba-Nya yang jujur terhadap-Nya, dan siapa pula yang mendustai-Nya? Bagi mereka yang jujur terhadap-Nya, sudah pasti setelah diberi seorang Rasul ataupun setelah sampai ajaran para Rasul, bahawa Tuhan mereka ialah ALLAH, bukan duniawi, mereka segera menyahut panggilan itu dengan kembali kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, bahkan, sanggup mengorbankan duniawi demi Ilahi.
Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan para solihin, di mana, setelah mereka diajarkan agama, dan diajarkan tentang siapa Tuhan yang sebenarnya, dan siapa diri yang sebenarnya, maka mereka terus mengadapkan diri kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, bahkan sanggup mengorbankan keinginan syahwat nafsu demi Ilahi.
Adapun mereka yang pendusta dan pengkhianat, maka setelah diberitahu bahawa mereka adalah hamba ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ialah Tuhan mereka sekalipun, mereka tetap terus menjadikan duniawi sebagai kecintaan dalam diri mereka, sehingga mengabaikan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dan hak-hak-Nya. Inilah satu pengkhianatan yang paling besar yang mana, akan mengundang malapetaka yang paling parah (na'uzubilLah min zalik).
Ramai daripada mereka yang terhijab daripada musyahadah ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dengan hijab makhluk, tidak terhijab dengan makhluk melainkan kerana terpedaya dengan kecantikan palsu makhluk, sehingga melupakan kecantikan abadi Al-Khaliq (Pencipta).
Keindahan duniawi ini bisa memukau sesiapa sahaja yang terpandang akan senyumannya, lantas terpamit rasa di dalam hati untuk mengharapkan keduniaan lebih daripada mengharapkan Tuhan. Harapan mereka, keinginan mereka, halatuju mereka, bahkan matlamat mereka adalah dunia dan kebendaan. Jadilah mereka sebagai hamba-hamba kepada kebendaan seperti sabda Nabi ShallalLahu ‘alaihi wa sallam yang berbunyi: "Celakalah ke atas hamba dinar. Celakalah ke atas hamba dirham...".
Dalam lirik ini menceritakan tentang perihal seorang hamba yang terpegun dengan keindahan duniawi, lalu terbit rasa dalam diri untuk mengejar keduniaan demi memenuhi tuntutan syahwat.
Seterusnya luah si hamba itu:
Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Lirik ini menceritakan bahawa, si hamba tersebut mula tertawan dengan keduniaan, bahkan mula hanyut dalam kealpaan cinta duniawi yang mempersonakan. Dia seolah-olah tidak sedar yang mana realiti, dan yang mana mimpi. Keduniaan yang dikejarnya, seolah-olah bakal kekal bersama dengannya, padahal ia tidak ubah laksana mimpi dan khayalan.
Kata para salafus soleh: "Hidup di dunia ini, laksana mimpi. Bila seseorang mati, barulah ia terjaga".
Maksudnya, ramai orang yang terpesona dengan keindahan dunia yang walaupun padahal, mereka tidak pernah dijanjikan untuk hidup kekal di dunia, untuk membuatkan mereka terkejar-kejar dengan keduniaan sehingga melupakan tugasnya dalam kehambaan. Siang dan malam mereka, diabdikan untuk cinta duniawi, demi kenikmatan duniawi dan kerana duniawi. Segala yang dilakukannya, kiblatnya ialah dunia dan isinya. Terkadang, dia melaksanakan tuntutan agama sekalipun untuk menambat perhatian makhluk dan keduniaan, bukan untuk mendambat redha Tuhan. Kiblatnya bukan lagi kepada Tuhan, tetapi kepada kebendaan.
Golongan manusia yang terleka dengan keduniaan ini, melanggar adab kehambaan dan mengabaikan hak-hak keTuhanan, demi meraih cinta keduniaan, padahal dunia dan segala isinya tidak pernah menagih darinya sebarang pengorbanan. Bahkan, setelah sekian lama mereka berkorban untuk keduniaan, dunia dan isinya tidak pernah mengucapkan barang sepatah penghargaan. Bahkan, bila tibanya waktu ajal perpisahan, segala dunia dan isinyalah yang bakal ditinggalkan. Mereka tidak sedar hakikat itu, walaupun mereka sedar ia bakal berlaku.
Dunia ini, makin banyak kita kumpul, makin banyak yang akan kita tinggalkan. Itulah hakikat kehidupan yang serba singkat ini.
Hanya, dengan mengingati matilah, seseorang manusia mampu kembali ke pangkuan Ilahi dan kembali berjalan mencari redha Ilahi daripada terus terleka dengan palsu duniawi. Kerana itulah, RasululLah ShallalLahu ‘alaihi wa sallam pernah mengingatkan bahawa: "Sentiasalah kamu mengingati mati!" Ingat mati akan mengingatkan kita tentang hakikat diri sebagai hamba, hakikat kehidupan yang sementara dan hakikat ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sebagai Sang Maha Pencipta.
Oleh yang demikianlah, penulis lirik menggambarkan bahawa, hamba yang terpukau dan terleka dengan dunia ini, kerana terlupa akan "singkat perjalanan", iaitu perjalanan hidup ini. Benarlah bahawasanya, hidup ini ibarat perjalanan. Seorang manusia yang hidup di dunia ini, ibarat musafir yang berjalan. Dia singgah sementara di bawah pohon untuk berteduh. Setelah dia puas berehat, dia akan bangun semula dan teruskan perjalanan. Begitulah kiasan dari Rasul Junjungan ShallalLahu ‘alaihi wa sallam.
Setelah itu, hamba itu berkata:
Tersedar aku, dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta.
Ini menceritakan perihal hamba tersebut, yang setelah sekian lama leka dengan duniawi, lantaran itu dijemput oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dengan ilham keinsafan, agar hamba tersebut kembali ke pangkal jalan, dengan menghalakan perjalanan kepada menuju Tuhan. Ini merupakan suatu anugerah. Inilah yang dikenali dengan hidayah. Hidayah ialah anugerah. Hidayah ialah hadiah. Hadiah dari yang Maha Pemurah.
Dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, Dia memberikan ilham agar hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan menempuh jalan menuju-Nya. U-turn dalam perjalanan hidup, menuju semula kepada-Nya, bermula dengan ilham keinsafan. Maqam perjalanan ini dipanggil sebagai: "yaqazah" atau terjaga dari tidur kelalaian. Inilah satu muqoddimah dalam kehidupan seseorang salik menuju ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.
Bererti, dia telahpun terjaga dari lena (kelekaan duniawi), sebelum terjaga secara paksa (iaitu mati). Inilah yang dikenali dengan suruhan: "Matilah sebelum kamu mati". Maknanya, sedarlah diri dari tidur kelalaian duniawi, secara sukarela sebelum kamu sedar dari kelalaian duniawi ini secara terpaksa (dengan kematian). Ini kerana, sedar secara paksa boleh memperbaiki keadaan, adapun sedar secara paksa (mati), maka sesalan sudah lagi tiada berguna, apatah lagi untuk memperbaiki apa yng telah luput daripada tanggungjawabnya sebagai hamba.
Hanyalah dengan hidayah ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, seseorang akan terpanggil untuk kembali kepada-Nya setelah sekian lama bergelumang dengan dosa kelalaian. Semoga ALLAH Subhanahu wa Ta’ala memberi hidayah kepada kita. AMIN.
Hidayah inilah yang disebut dalam lirik sebagai: "dibuai lembut belaian cinta". Hidayah merupakan simbol cinta ALLAH Subhanahu wa Ta’ala kepada seseorang hamba. Seseorang hamba yang diberi hidayah kepadanya, bererti dikasihi oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala. Tanda ALLAH Subhanahu wa Ta’ala mengasihi seseorang hamba-Nya ialah, dengan memberi hidayah kepada hamba-Nya. Dari situlah, seseorang yang mensyukuri akan hidayah dan ilham keinsafan ini, akan sentiasa bersyukur kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala atas nikmat tersebut, dan sentiasa melatakkan di hati, bahawa hidayah itu dari kasih ALLAH Subhanahu wa Ta’ala kepadanya. Kasih sayang-Nya daripada kelembutan-Nya (al-lutf). Kerana itulah, hidayah tersebut seolah-olah "lembut belaian" cinta-Nya. Bahkan, cinta-Nya itu merupakan lembut belaian kelembutan-Nya. Benarlah ALLAH yang Maha Al-Lutf.
Seterusnya, dia berkata:
Rela aku pendamkan
impian yang tersimpan
enggan ku keasyikan.
Hal ini merujukkan tentang himmah (semangat) si hamba tersebut untuk berjalan menuju Ilahi Subhanahu wa Ta’ala, sehingga sanggup melawan ajakan nafsu yang sentiasa menyerunya ke arah keduniaan, seperti perempuan, harta dan sebagainya. Dia sanggup pendamkan, impian yang tersimpan. Pendamkan tersebut merujuk kepada, betapa susahnya untuk melawan hawa nafsu. Ini kerana, memendamkan tidak sama dengan menghilangkan. Si hamba tersebut mengaku di hadapan Ilahi, bahawa nafsunya akan sentiasa membuak-buak untuk kembali kepada duniawi, sepanjang perjalanan menuju Ilahi. Walaupun sebuak mana nafsu menyeru, si hamba tersebut berjanji di hadapan Ilahi untuk berjuang melawan hawa nafsu yang tersimpan, demi mengutamakan apa yang dikehendaki oleh Tuhan, daripada suruhan dan larangan.
Kerana itulah, dia berkata: "rela aku pendamkan, impian yang tersimpan". Impian yang dimaksudkan dalam zauqi ialah, syahwat dan nafsu yang mengajak kepada kejahatan dan pengkhianatan. Dinamakan impian kerana, ia seolah-olah suatu keinginan yang baik, menurut ukuran diri dan nafsu, tetapi padahal, ia merupakan ammarah bis'suk (mengajak kepada kejahatan). Nafsu ini selalu menipu manusia, kononnya mengajak kepada kebaikan, padahal di sebaliknya ada pengkhianatan kepada Tuhan.
Kerana apa si hamba tersebut sanggup melawan hawa nafsu dalam mengejar keduniaan? hal ini terjawab dengan katanya: "enggan ku keasyikan". Maksudnya, si hamba yang sudahpun mendapat hidayah keinsafan, berjanji di hadapan Tuhan, untuk tidak lagi kembali kepada kelalaian dan keasyikan dunia yang mempesona dalam penipuan. Si hamba itu berkata lagi:
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih Sempurna.
Si hamba takut untuk kembali kepada dunia dan isinya, kerana khuatir keindahan dan kecantikan duniawi, mampu menggodanya kepada cinta duniawi, seterusnya, mengkhianati cinta Ilahi. Ini kerana, perumpaan Allah s.w.t. dengan duniawi, seumpama timur dan barat. Semakin mendekati barat, semakin menjauhi timur. Jadi, sang hamba ini takut dengan pesona dunia, kerana dia ingin menjadikan cintanya hanya untukNya, yang merupakan Tuhan yang Maha Sempurna, lebih sempurna daripada dunia, yang padahal serba cacat cela.
Dia bukan sahaja lebih sempurna, bahkan Maha Sempurna, sedangkan dunia pula bukanlah kurang sempurna, tetapi Maha Cacat Cela. Cuma, ia dihiasi sebagai ujian. Sesiapa yang jujur, pasti akan kembali kepada yang Maha Sempurna. Sesiapa yang tidak jujur, yang cacat cela pun jadi buatnya.
Namun, cakap memanglah mudah, kerana tidak bertulang. Kalau bab janji menjanji, lidahlah yang nombor satu. Tapi, dapatkah seseorang itu merealisasikan janjinya, dengan anggotanya yang sarat bertulang?
Kerna itulah, hamba tersebut meluahkan:
Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba.
Sememangnya tidak mudah untuk melakukan apa yang telah dijanjikan. Ini kerana, selagimana yang dikatakan hamba itu, selagi itulah akan sentiasa diuji bagi mengukur kejujurannya. Jadi si hamba ini, dengan penuh rendah diri mengakui bukan mudah untuk menjadi hamba yang sejati. Kalau setakat janji, semua orang pun boleh berjanji. Tetapi, untuk merealisasikannya amat sukar sekali. Jadi, sang hamba melafazkan santunan ayat ini, demi mengakui kelemahan dirinya di hadapan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala di samping mengharapkan belas kasihan daripada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala untuk membantunya di sepanjang perjalanan menuju-Nya. Sememangnya, sebagai seorang hamba memanglah tidak mudah. Ini kerana, kehambaan itu berkaitan dengan khidmat. Khidmat itu tidak mudah. Kalau nak berehat-rehat, maka itulah bos namanya, bukan hamba. Namun, hamba yang sejati akan berkhidmat dengan penuh kerehatan kerana tahu kepada siapa dia berkhidmat.
Jadi, sang hamba yang beradab pasti akan mengakui kelemahan diri dalam melaksanakan tugas sebagai hamba, dan tidak pernah melihat dirinya sentiasa sempurna. Ini kerana, hanya Tuhan sahaja yang layak bersifat dengan kesempurnaan. Oleh yang demikian, seorang hamba yang sejati tidak akan merasakan dirinya sempurna dalam ketaatan, bahkan sentiasa mengakui kelemahan diri dan sentiasa meminta keampunan daripada Tuhan atas kekurangan dirinya sewaktu melaksanakan tugasnya sebagai hamba. Inilah antara adab yang terkandung dalam lirik ini.
Sang nafsu sentiasa meniup semarak "rasa diri hebat", "rasa diri baik", dan sebagainya daripada sifat ujub, yang sebenarnya membawa kepada "merasakan ketuhanan diri", kerana merasakan dalam diri, ada sifat-sifat ketuhanan, iaitu Kehebatan dan Kebaikan. Jadi, dengan hasutan nafsu, seseorang hamba jesteru, merasakan sukar untuk hidup sebagai seorang hamba, dek keinginan nafsu yang berlagak seolah-olah Tuhan di muka bumi ini, takkala ingin melakukan sesuka hatinya, tanpa batasan. Inilah isyarat dalam firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang mengatakan bahawa: "mereka menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan mereka". Ini kerana, nafsu sentiasa merasakan diri layak untuk meninggikan diri, padalah sifat ketinggian itu adalah milik ALLAH Subhanahu wa Ta’ala. Kerana itulah, ada hadith menceritakan bahawa, sifat bangga diri dan tinggi diri itu milik ALLAH Subhanahu wa Ta’ala semata-mata dan sesiapa yang cuba merampasnya dengan meninggi diri juga, maka seoalah-olah sedang berperang dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala. Maka, siapakah yang mampu menang jika berperang dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala? Maka, luahan hamba ini seolah-olah mengadu akan kelemahan diri dan mengadu juga akan kejahatan nafsu yang sentiasa ingin merajakan diri sendiri.
Namun, sang hamba tahu, setiap adab itu, tidak boleh menyebabkan lenyapnya tanggungjawab sebagai seorang hamba. Lantaran itu, dia berkata setelah itu:
Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,
Sang hamba turut berjanji, demi mempertahankan cintanya kepada Ilahi, dia akan cuba melawan hawa nafsu dan melawan godaan duniawi yang menipu. Segala pesona maya yang kelihatan di mata, akan cuba dilawan agar nafsu tidak bisa mencintai keduniaan yang fana, kerana, dia ingin menghalakan cintanya kepada yang Maha Esa. Janjinya, untuk mencuba itu, menunjukkan dia sudah mula merealisasikan kehambaannya kepada-Nya, kerana, seseorang yang berkata: "saya cuba", bererti, tidak menunjukkan sifat merasakan diri boleh melakukannya, tetapi tetap mahu melakukannya, demi sesuatu, atau untuk membuktikan sesuatu.
Jadi, apabila dia mengatakan bahawa: "dan ku cuba", bererti, wahai ALLAH, memanglah aku ini hamba-Mu yang lemah. Namun, kerana-Mu, akan ku hadapi ujian ini dan membuktikan kehambaanku kepada-Mu dengan bantuan-Mu. Itulah rahsia daripada perkataan: "aku cuba", dalam zauq kesufian.
Sheikhuna Yusuf Al-Hasani pernah bertanya kepada saya yang faqir ini: "Adakah kamu ini seorang hamba?" al-faqir menjawab dengan izin ALLAH Subhanahu wa Ta’ala: "Saya cuba, insyaALLAH". Sheikhuna Yusuf Al-Hasani lalu berkata: "Rasa mencuba itu menunjukkan kamu sudah mula merealisasikan kehambaan itu sendiri". WALLAhu a'lam...WalhamdulilLah...
Seterusnya, sang hamba yang budiman tadi berkata lagi, tentang sebab mengapa dia cuba menjauhi pesona maya:
Kerna tuk upaya,
ku hadapinya,
Andai murkaNya menghukum leka.
Si hamba tersebut cuba menjauhi pesona dunia, dengan tidak mengindahkan senyuman duniawi, kerana takut akan kemurkaan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala terhadapnya, takkala dengan dunia tersebut, dia leka kembali daripada mengingati ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dan mencintai-Nya. Dia tahu, pesona dunia ini sentiasa menipu, lantaran menarik hati hamba-Nya daripada-Nya. Jadi, dia berusaha untuk menjauhi hatinya dari dunia, agar dapat mendekati ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang paling dicintai-Nya.
Dia juga takutkan murka ALLAH Subhanahu wa Ta’ala kerana bagi sang kekasih, murka yang dikasihinya adalah yang paling ditakutinya. Ini kerana, jika cinta dibalas murka, bererti tiadalah nilai cintanya, laksana cinta tak berbalas, apatah lagi cinta berbalas murka. Jadi, kerana si hamba tersebut mencintai ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, Dia cuba membuktikan cintanya dengan izin-Nya, dengan menjauhi kepalsuan duniawi, untuk meraih cinta-Nya, dan agar dihindari dari murka-Nya. Bahkan, hamba yang sejati, jika mencintai Tuhannya, maka cinta-Nya lebih diharapkan daripada nikmat Syurga. Begitu juga, murka-Nya lebih ditakuti dari azabNya. Lihatlah cinta sesama manusia. Seseorang yang tahu, orang yang dikasihinya, tidak pernah mengasihinya, hatta takkala orng yang dikasihinya tersebut menghadiahkan segunung emas sebagai hadiah sekalipun, tiada nilai di sisinya, kerana dia tahu, yang memberi hadiah tersebut, memberi hadiah tanpa cinta di hatinya. Seseorang yang mencintai seseorang pula, jika yang dicintai (kekasihnya) pun mencintainya, maka hatta dimarahi dan dicubit oleh yang dicintainya pun, tidak terasa akan sakitnya, kerana sudah mendapat cintanya. Nah, cinta Ilahi lebih tinggi nilainya dari contoh yang diberikan, tetapi tak ramai yang mampu mengecapinya, dan semoga ALLAH Subhanahu wa Ta’ala memberi kita nikmat cinta-Nya, amin...
Kerana itulah, dalam lirik tersebut, menggunakan istilah: "andai murka-Nya menghukum leka", bukan azab-Nya menghukum leka. Ini kerana, seseorang hamba yang tulus dalam mencintai Tuhannya, yang paling ditakutinya bukanlah azab Neraka, tetapi murka-Nya. Di sinilah tersematnya rahsia doa Saidatina Rabiatul Adawiyah yang masyhur tersebut. Hanya yang merasainya sahaja yang memahaminya, kerana cinta itu bukan di atas lampiran nota, atau bahasa bicara, tetapi cinta itu apa yang dirasa. Dan, hanya yang merasainya sahaja yang mengerti tentangnya.
Maka, si hamba tersebut lantas berkata:
Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
ku nafikan yang fana,
Dalam lirik ini, ada beberapa makna yang tersembunyi. Antaranya ialah, matlamatnya dalam usaha untuk meninggalkan cinta duniawi, hanyalah semata-mata kerana cinta, cinta kepada yang Selayaknya, iaitulah, Allah yang Maha Pencinta. Perkataan: "yang Selayaknya" merujuk kepada Allah s.w.t.. Adapun maksud: "Selayaknya" tersebut, ada dua makna yang perlu di halusi.
Jika yang dimaksudkan oleh penulis lirik, bahawa, hamba tersebut merasakan bahawa, hanyalah yang layak memiliki cintanya ialah Allah s.w.t., bererti, dia merasakan bahawa, Allah s.w.t.-lah yang layak dicintaiNya. Sememangnya benar, jika dilihat dari sudut kelayakan, Allah s.w.t. Maha Layak dalam Kesempurnaan. Begitu juga, segala pujian selayaknya hanya untuk Allah s.w.t.. Begitu juga, segala cinta, hanya selayaknya bagi Allah s.w.t. Ini merupakan suatu sudut RUBUBIYYAH, di mana Allah s.w.t. layak dengan segala kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.
Namun, dari sudut kehambaan pula, seseorang yang memahami hakikat diri yang serba hina, dan memahami pula hakikat Allah s.w.t. yang Maha Mulia, sudah tentu merasakan bahawa, dirinya tidak layak untuk mencintaiNya kerana keagunganNya, sedangkan dia yang serba hina ini, manalah layak untuk mencintaiNya yang Maha Mulia. Seperti contoh juga, seorang anak khadam, tidak layak untuk mencintai sang puteri raja, dari kaca mata khadam itu sendiri. Inilah adab dalam cinta itu sendiri.
Seseorang hamba yang tahu hakikat kehinaan diri, pasti merasakan diri ini tidak layak untuk mencintai Allah s.w.t., bahkan tidak layak pula untuk dicintaiNya. Namun, setelah Allah s.w.t. memperkenalkan diriNya, bahawa Dialah yang Maha Pencinta, maka fahamlah hamba yang hina tersebut, bahawa, Allah s.w.t. mencintai kita, bukan kerana kita layak untuk dicintaiNya, tetapi kerana DIALAH yang MAHA PENCINTA. Dia Mencintai sesiapa sahaja kerana kelayakanNya untuk mencintai sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Laksana, sang raja masuk minang siapa sahaja yang dicintainya dari kalangan rakyatnya, adapun rakyat kebanyakan, dari sudut adatnya, tidak layak untuk meminang puteri raja, sedangkan Allah s.w.t. Maha Agung daripada perbandingan tersebut.
Oleh yang demikian, seseorang hamba yang mencintai Allah s.w.t., akan pasti bercampur malu di hadapanNya, kerana merasa diri tidak layak untuk mencintai dan dicintaiNya. Namun, atas dasar, tiada siapa lagi yang layak dicintainya melainkan Allah s.w.t., maka dia menghalakan cintanya kepadaNya kerana hanya Allah s.w.t.-lah yang layak dicintai. Jika seseorang mencintai selain daripada Allah s.w.t., bererti, menurutnya, ada selain Allah s.w.t. yang layak dicintainya, dan ini suatu perkara biadab terhadap Allah s.w.t.. Jadi, seseorang hamba perlu menghalakan cintanya hanya kepada Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t.-lah yang selayaknya untuk dicintai, kerana Dialah yang menciptakannya dan memberi nikmat kepadanya, dan hanya Allah s.w.t.-lah yang diperlukan olehnya (hamba tersebut). Lebih tinggi lagi, seseorang itu perlu mencintai Allah s.w.t. untuk menghargai cinta Allah s.w.t. kepadanya dan mensyukuriNya.
Setelah itu, hamba tersebut berkata:
Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya RedhaNya.
Setelah merintih, dengan penuh adab, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. menerima setiap pengorbanannya dalam merealisasikan ketaatannya sebagai seorang hamba, jesteru meredhai segala pengorbanannya, yang dilakukannya, atas nama cinta kepadaNya. Sememangnya, pengorbanan seseorang hamba tidak layak untuk meraih redha Allah s.w.t. yang Maha Tinggi, namun kerana sifat Pemurah Allah s.w.t.-lah, Allah s.w.t. meredhai para hambaNya yang berkorban atas nama cinta kepadaNya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Seseorang tidak akan masuk syurga kerana amalannya." Sahabat bertanya: "Walaupun engkau ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya. Termasuklah saya. Cuma, (saya dapat masuk syurga) kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t.."
Nah, kalaulah amal seseorang tidak dapat membayar harga syurga Allah s.w.t., mana mungkin mampu membayar harga redha Allah s.w.t. yang jauh lebih mahal berbanding syurgaNya. Jadi, para arif billah yang memahami hakikat ini, sentiasa memohon redha Allah s.w.t. dengan sifat kemurahanNya, bukan dengan harga usaha mereka. Cuma, maqam yang sederhana, seseorang hamba akan meminta agar Allah s.w.t. menerima amalannya kepadaNya, dan meredhaiNya daripada amalan tersebut. Sesungguhnya, Allah s.w.t. Maha Mengasihi para hambaNya, bukan kerana amalan mereka (yang pada hakikatnya adalah juga daripada Allah s.w.t.) tetapi kerana cintaNya yang tulus semata-mata, kepada hambaNya. Inilah nilai cinta Ilahi yang gagal difahami oleh para hambaNya.
Seterusnya, sang hamba yang berdoa tersebut sekali lagi merintih untuk mendapat simpati:
Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,
Lirik ini mengandungi zauq kesufian yang tinggi. Ini kerana, setelah mengetahui hakikat kepalsuan duniawi, dan hakikat keabadian dan keagungan cinta Ilahi, maka sang hamba tersebut sanggup membuat pilihan, sekiranya Allah s.w.t. berfirman kepadanya:
"Aku beri kepadamu dua pilihan. Satu sahaja yang boleh kamu pilih. Aku atau dunia. Kalau kau pilih Aku, kau akan kehilangan dunia dan kenikmatannya. Kalau kau pilih dunia dan kenikmatannya, maka kau akan kehilanganKu."
Maka, lirik ini menunjukkan jawapan sang hamba yang jujur terhadap Tuhannya, takkala diminta supaya membuat pilihan, satu sahaj daripada dua pilihan yang ada. Maka, jawab hamba tersebut: Biar sendiri hingga hujung nyawa, Asal tak sepi dari kasihNya" Maknanya, tak mengapalah kalau seluruh isi dunia lari dariku, kerana aku mempertahankan kasihMu, asalkan aku sentiasa dalam kasihMu, sudah cukup buatku untuk mengisi kesepian daripada makhluk". Inilah maqam kejujuran terhadap Allah s.w.t., yang mana, setiap orang perlu bertanyakan pada diri mereka sendiri, adakah aku mampu menjawab: "Allah", jika diberi pilihan sebegini. Fafham (maka fahamilah).
Benarlah kata Al-Imam Sidi Ibn Atoillah As-Sakandari r.a. yang pernah menyebut: "Apalah yang hilang daripada orang yang telah menemuiMu. Dan, apa pula yang dijumpai oleh orang yang kehilanganMu?" Dalam munajat beliau ini, ada makna yang kita bincangkan sebelum ini, dan makna yang lain yang tersembunyi melainkan kepada ahli zauqi (Allahumma ij'alna minhum).
Sang hamba tersebut yang merasai makna ini lalu berkata:
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa.
Di dalam lirik ini, mengandungi hakikat terbesar bagi kewujudan alam ini. Namun, bukanlah di sini tempat perbahasannya. Ini kerana para ahlul khawas membincangkan tentang makna zauq sufi daripada lirik ini secara khusus, bukan pada umum, menurut para sufi. Cuma, dari segi yang mudah difahami, hakikat cinta yang wujud dalam dunia ini, semuanya daripada Allah s.w.t., dan hanya Dialah yang layak dicintai dengan cinta yang diberikan. Cinta daripadaNya kepadaNya, denganNya, untukNya dan keranaNya. Oleh yang demikian, para arif billah pernah berkata: "Alam ini wujud atas nama cinta", sesuai dengan tajuk lagu ini. Namun, alam ini wujud atas nama cinta Ilahi kepada makhluk ini sendiri. Bahkan, makhluk yang paling dicintaiNya ialah: Muhammad Rasulullah s.a.w.. Di sinilah tersimpan makna nur muhammadi yang sentiasa diperkatakan oleh golongan sufi.
Sheikhna Yusuf Al-Hasani sering meningatkan bahawa: "percayalah bahawa Allah s.w.t. mencintai kamu. Kalau Dia tidak mencintaimu, nescaya Dia tidak akan menciptakanmu". Maknanya, kewujudan makhluk yang wujud atas nama cintaNya kepada makhlukNya.
Bahkan, para arif Billah yang merasai tauhid al-mahabbah, amat memahami makna "hakikat cinta: hanya Dia yang Esa", dengan makna yang lebih mendalam. Dalam lirik ini, tidak mengatakan: "hakikat cinta: hanya kepadaNya yang Esa", atau "hakikat cinta: hanya cintaNya". Tetapi, dalam lirik menyebut: "hakikat cinta" DIA YANG ESA" Di sini bermaksud: "ALLAH ialah HAKIKAT CINTA". Hal ini difahami oleh ahlu zauq dan semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin.
Setelah itu, hamba tersebut menutup dengan satu doa atau satu nasihat:
Saratkan hati ini,
dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai,
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya
Dalam lirik terakhir ini, digunakan perkataan: "saratkan..." yang membawa makna suruhan (amr). Namun, dapat difahami daripada lirik ini dengan dua makna. Samada ia merupakan suatu doa (yang menggunakan ayat suruhan, tetapi bermakna doa) ataupun suatu saranan kepada diri sendiri dan kepada orang lain yang membaca lirik ini.
Kalau saranan bererti, si penulis lirik menasihatkan dirinya dan para pembaca, agar meletakkan hanya Allah s.w.t. di dalam hati mereka.
Namun, jika makna doa, (yang merupakan makna yang lebih tepat menurut siyaq/petunjuk ayat) bererti, dia memohon kepada Allah s.w.t., agar memenuhi hatinya dengan cinta hakiki, iaitu cinta kepadaNya semata-mata. Maksud perkataan cinta hakiki boleh difahami dengan dua makna, berlainan maqam. Samada, memahami "cinta hakiki" sebagai cinta kepada Ilahi s.w.t, ini meurpakan maqam permulaan dan pertengahan bagi para pencinta Ilahi. Ataupun, memahami makna cinta hakiki dengan makna "ALLAH" bererti, dia berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memenuhkan hatinya denganNya. Terdapat perbezaan yang amat halus antara hati yang sarat dengan cinta Ilahi dan hati yang sarat dengan Allah itu sendiri, dan hanya yang merasainya, akan memahaminya (semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin).
Ini kerana, dengan cinta hakiki tersebutlah, seseorang hamba dapat merasai nikmatNya, SyurgaNya dan RedhaNya yang merupakan keinginan dan kelazatan yang paling tinggi. Semoga Allah s.w.t. mengajarkan kita erti cinta hakiki, agar kita mampu mencintaiNya dengan cinta hakiki di samping menjadikanNya sebagai cinta hakiki kita, dengan bantuan dan cintaNya, amin..
Wallahu a'lam...
oleh
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin.
Rujukan: http://mukhlis101.multiply.com/
Karamah Imam Nawawi
1 week ago
No comments:
Post a Comment