Tuesday, December 8, 2009

BERADAB DENGAN RASULULLAH صلى الله عليه وسلم




بسم الله الرحمن الرحيم

AlhamdulilLah, segala puji dan syukur hanya pada-Nya, selawat dan salam buat junjungan yang mulia, Habibuna wa Nabiyina al-Musthafa al-Mukhtar shallalLahu ‘alaihi wa sallam, juga buat seluruh ahli keluarga Baginda dan para sahabat radhiyalLahu’anhum ajma’in.

Dan sabda Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam :
وَالذَِّى نَفْسُ مُحَمّدٍ بِيَدِهِ اِنْ عَلَى اْلأَرْضِ مِنْ مُؤْمِنٍ اِلاَّ أَناَ أَوْلىَ النَّاسِ بِهِ.
“Demi diri Muhammad di tangan kekuasaan-Nya, tidak ada di atas bumi daripada seseorang yang beriman melainkan akulah manusia yang paling utama.”

Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda :

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْن.َ
“Tidak beriman seseorang hamba melainkan sehingga aku adalah suatu yang paling dikasihi berbanding bapanya, anaknya dan seluruh manusia.”

Diriwayatkan, Sayyidina Umar al-Khattab radhiyallLahu ‘anhu apabila mendengar hadith di atas ini, maka beliau berkata:
يَا رَسُوْلَ اللَّهِ , لأَنْتَ أَحَبُّ اِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ اِلأَّ مِنْ نَفْسِى !.
“ Ya RasululLah sesungguhnya Tuanlah yang paling aku kasih daripada tiap-tiap sesuatu melainkan diriku.” Menjawab Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam:
لاَ وَالَّّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ نَفْسِكَ ‍.
“Tidak wahai Umar, Demi Dia yang diriku di tangan kekuasaan-Nya, melainkan sehingga aku adalah yang paling engkau kasihi daripada dirimu sendiri.” Berkata Sayyidina Umar:
فَاءِنَّ الأَنَ لأَنْتَ أَحَبُّ ءِالَيَّ مِنْ نَفْسِى.
“Sekarang demi ALLAH engkaulah yang aku kasih berbanding diriku.” Lalu Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam bersabda الآَنَ يَا عُمَرَ !. : “Sekaranglah wahai Umar.”-

Akhir-akhir ini, apabila membicarakan tentang RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam dan segala yang berkaitan dengan Baginda; baik di dalam percakapan mahu pun lewat tulisan - rata-rata orang termasuklah di kalangan yang bergelar ahli dan tokoh agama; sama ada disedari atau pun tidak, mereka dengan bermudah-mudah menyebut nama Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam dengan tanpa memuliakan Baginda sebagaimana yang sepatutnya. Mereka menyebut nama Habibuna wa Nabiyina seperti mereka menyebut atau memanggil nama rakan-rakan dan saudara mara mereka sahaja. Mereka hanya sekadar menyebut “Muhammad”, tidak lebih daripada itu.

Apakah panggilan atau sebutan nama sekadar ini, seperti panggilan kepada orang kebanyakan selayaknya untuk Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam? Sekalipun, niat mereka ikhlas dalam penyebutannya, iaitu tanpa ada apa-apa niat yang lain, apakah ini selayaknya untuk Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam yang dimuliakan oleh ALLAH Azza wa Jalla, para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in dan seluruh makhluk di muka bumi serta penghuni di petala langit? Sedangkan, para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in khususnya tidak pernah sama sekali di dalam kehidupan mereka memanggil atau menyebut nama RasululLah sebatas nama Baginda sahaja iaitu, “Muhammad” atau “Ya Muhammad”, melainkan sebutan ini menjadi kebiasaan orang-orang kafir Quraisy sahaja.

Dalam hal ini, para sahabat benar-benar beriman dan berpegang kepada firman ALLAH Ta’ala di dalam Surah An-Nur; ayat 63 – mafhumnya, “Janganlah kamu memanggil rasul seperti panggilan sesetengah kamu kepada yang lain…” Bertitik tolak dari perintah ALLAH Ta’ala ini dan menjunjung kasih jua rindu-cinta para sahabat kepada RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, di dalam lipatan sejarah; diriwayatkan bahawa para sahabat apabila bertemu-sua dan akan berbicara dengan RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, mereka tidak akan berbicara dengan susuk tubuh yang mulia itu, melainkan dengan lafaz perkataan yang menunjukkan atas penghormatan dan pengagungan. Perhatikanlah; para sahabat apabila bertemu dan akan berbicara dengan Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam,, mereka akan menyapa atau menjawab panggilan/ sapaan Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam, dengan kalimah, “Ya RasululLah, Ya Nabi ALLAH, Kekasihku dan Buah hatiku.” Perhatikanlah, bagaimana Sayyidina Abu Zar al-Ghifari radhiyalLahu ‘anhu, ketika Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam memanggil beliau: يَا أَبَا ذَرّ “Wahai Abu Zar”, maka dijawab oleh beliau dengan perkataan/sapaan: لَبًّيْكَ يَا رَسُوْلَ اللَّهِ وَسَعْدَيْك “Menjunjung perintahmu wahai RasululLah, akulah tebusanmu.” Seperti demikian itulah, seluruh sahabat yang lain pun apabila berbicara dengan Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam.

Sayyidina Anas bin Malik radhiyalLahu ‘anhu menceritakan, bahawa Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam pada suatu ketika berada di atas kenderaan dengan Sayyidina Muaz radhiyalLahu ‘anhu, Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
“Wahai Muaz bin Jabal”. : يَا مُعَاذُ بِنْ جَبَل
Jawab Sayyidina Muaz. لَبًّيْكَ يَا رَسُوْلَ اللَّهِ وَسَعْدَيْك.

“Junjunganku Ya RasululLah dan kebahagiaanku menjunjung perintahmu, Wahai Rasulullah”. Mengulang-ulangi Nabi dengan seruan tersebut sebanyak 3 kali dan menyahut pula Sayyidina Muaz bin Jabal dengan jawapannya sebanyak 3 kali juga. Kemudian Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لااله الا الله وأن محمدا رسول الله , صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ الاَّ حَرَّم اللَّهُ عَلَى النَّار .
“Tidak ada seseorang pun yang bersaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar berhak disembah melainkan ALLAH dan bahawa Muhammad RasululLah dengan keadaan benar penyaksiannya di dalam hati melainkan ALLAH Ta’ala akan haramkannya daripada Neraka.”

Seperti itu juga Sayyidina Abu Hurairah radhiyalLahu ‘anhu ketika meriwayatkan wasiat Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam kepadanya, beliau hanya berkata:

أَوْصَانِى خَلِيْلِى صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ . بِصِيَامٍ ثلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ , وَرَكْعَتَيِّ الضُّحَى ,وَأَنْ أُوْتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ.

“Telah berwasiat kepadaku oleh kekasihku dengan 3 perkara, dengan berpuasa 3 hari setiap bulan, sembahyang 2 rakaat Dhuha dan aku berwitir sebelum aku tidur”.

Pada hadith yang lain Sayyidina Abu Hurairah radhiyalLahu ‘anhu berkata:

قَالَ خَلِيْلِى وَصَفِيِّي صَاحِبُ هَذِهِ الْحُجْرَةِ : وَمَا نُزِعَتْ الرَّحْمَةُ الاَّ مَنْ شَقَى.
“ Telah berkata Kekasihku dan Sahabat setiaku, Tuan punya Hujrah (bilik) ini shallalLahu ‘alaihi wa sallam {Dan tidaklah dicabutkan rahmat melainkan dari kalangan mereka yang celaka}”.

Kita dapati juga beliau hanya berkata:
سَمِعْتُ الَّصَادِقُ الْمَصْدُوْقُ يَقُوْلُ " هَلاَكُ أُمَّتِى عَلَى يَدِى غِلْمَةٍ مِنْ قُرَيْشٍ".
“Daku telah mendengar seorang yang benar lagi dibenarkan perkataannya telah bersabda: “Kebinasaan umatku di atas tangan hamba-hamba kaum Quraisy”.

Adapun Sayyidina Abu Darda radhiyalLahu ‘anhu telah berkata:

أَوْصَانِى حَبِيْبِى صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ لَنْ أَدْعُهُنَّ مَا عِشْتُ , بِصِيَامٍ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ , وَصَلاَةِالُّضحَى , وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أَوْتِرَ....
“Telah berwasiat buah hatiku shallalLahu ‘alaihi wa sallam dengan 3 perkara yang tidak akan kutinggalkannya selama hayatku, pertama berpuasa 3 hari setiap bulan, kedua sembahyang dhuha dan ketiga tidak aku tidur melainkan aku berwitir dahulu”.

Perhatikanlah, bagaimana Sayyidina Abu Darda tidak akan senang hatinya dengan menyebut panggilan terhadap Nabi melainkan sebagai Kekasih/Buah hatiku.

Sayyidina Abdullah Ibnu Mas’ud radhiyalLahu ‘anhuma pula berkata:

نَعَى اِلَيْنَا حَبِيْبُِنَا وَنَبِِيُّنَا , بِأَبِى هُوَ,وَنَفْسِى لَهُ فِدَاءٌ , قَبْل مَوْتِهِ بِسِتٍّ ....
“Memberitahu kepada kami berita kewafatannya oleh Kekasih kami dan Nabi kami, Demi bapaku, beliau dan juga diriku adalah tebusan untuk Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam, sebelum wafatnya dengan enam perkara……

Ketika sebahagian sahabat berpaling untuk mengambil makanan untuk unta Sayyidina Abu Bakar radhiyalLahu ‘anhu, beliau berkata :
اِنَّ حَبِيْبِى صلى الله عليه وسلم أَمَرَنِى أَنْ لاَ أَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئاً.
“Sesungguhnya Kekasihku Rasulullah shallalLahu ‘alaihi wa sallam telah memesankan kepadaku agar tidak meminta kepada manusia sedikit jua pun.”


Sebahagian hadith-hadith yang berkaitan topik ini telah dipetik daripada tulisan Ustaz Abd Raof bin Nurin al-Bahanjee al-Aliyy, Pondok Tampin, Negeri Sembilan, yang bertajuk: Isyarat-Isyarat Cinta Agung.

Para Ummul Mukminin, isteri-isteri Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam demikian juga. Mereka apabila akan berbicara atau menanyakan sesuatu kepada Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam, pasti akan dimuliakan Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam dengan ucapan/sapaan, “Ya RasululLah, Ya Nabi ALLAH.” Sayyidatina A’isyah ketika bertanya kepada RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, beliau berkata: “Wahai Nabi ALLAH, apakah maksudnya membenci kematian?.....” - (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Dalam hadith lain, Sayyidatina A’isyah bertanya: “Wahai RasululLah, apakah antara kaum lelaki dan kaum perempuan akan saling melihat antara satu sama lainnya (maksudnya ketika di Hari Kiamat kelak dalam keadaan semua manusia tanpa alas kaki, bertelanjang dan belum berkhitan)? Baginda menjawab: “(Wahai A’isyah), keadaan pada saat itu lebih penting daripada saling melihat antara yang satu dengan yang lainnya.” – (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Sebagaimana Sayyidatina A’isyah, demikian juga Sayyidatina Ummu Salamah tidak terlepas dari memuliakan RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, beliau berkata: “Aku bertanya kepada RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam: “Wahai RasululLah, apakah aku akan memperoleh pahala seandainya aku memberikan nafkah kepada Bani Abu Salamah, padahal aku bukanlah orang yang mewarisi mereka sekian dan sekian, sebab mereka itu sendiri adalah keturunanku (anak-anakku)? RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Sudah tentu, kamu mendapat pahala dari apa yang kamu nafkahkan kepada mereka.” – (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Selain daripada itu, di kalangan para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in ada juga yang memanggil atau menyapa Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam dengan kalimat “Ya Sayyidi”. Ini boleh dirujuk kepada apa yang pernah disebutkan oleh seorang sahabat, Sayyidina Sahl bin Hanif radhiyalLahu ‘anhu ketika mana pernah berkata kepada Nabi Muhammad shallalLahu ‘alaihi wa sallam, “Ya Sayyidi…(Wahai panutanku)” – (HR Imam Ahmad, al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan yang lainnya). Mengenai hadith ini, Syeikh Hasan as-Saqqaf menyatakan ia sahih dan beliau telah menjelaskannya di dalam kitab beliau, at-Tanaqudhat al-Wadhihat, Juz II:72 – (Lihat, Shahih Shifat Shalat an-Nabi atau terj: Shalat Seperti Nabi: Petunjuk Pelaksanaan Shalat Sejak Takbir Hingga Salam oleh Syeikh Hasan as-Saqqaf, hlm; 196: nota hujung no; 409).

Kalau di dalam sembahyang, mengucapkan kata Sayyidina adalah sunat pada tasyahud dan ketika membaca selawat ke atas Nabi Ibrahim ‘alaihi salam dan keluarga Baginda, atau juga disebut Selawat Ibrahimiyyah sebelum menyebut kalimat Sayyidina Muhammad shallalLahu ‘alaihi wa sallam. Menurut Syeikh Hasan as-Saqqaf, penambahan kata-kata Sayyidina ini mengandungi adab seorang Muslim kepada Nabi Muhammad shallalLahu ‘alaihi wa sallam, sesuai dengan firman ALLAH di dalam Surah al-A’raaf; ayat 157 yang bermaksud: “….Maka orang-orang yang beriman kepadanya (yakni Nabi Muhammad shallalLahu ‘alaihi wa sallam), memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) merekalah orang-orang yang beruntung.”

Kata Syeikh Hasan lagi, makna ta’zir (asal kata ‘azzaruhu) yang terdapat dalam ayat ini adalah tafkhim dan ta’zhim (membesarkan dan mengagungkan), sebagaimana disebutkan dalam Kamus al-Muhith dan yang lainnya. Maka, oleh itu tambah beliau, menetapkan kata Sayyidina di samping terdapat dalam sunnah Nabi Muhammad shallalLahu ‘alaihi wa sallam, ia juga jelas sejajar dengan panduan Al-Quran yang mulia. Al-Hafiz as-Sakhawi di dalam al-Qawl al-Badi’ (hlm;108) mengatakan, “Aku membaca sebahagian tulisan para ahli tahqiq (peneliti) yang bahkan menjadi sumberku (Imam Ibn Hajar), yang antara lain berbunyi,”Secara adab dan yang dituntut secara syara’, panggilan kepada Nabi atau kepada orang yang mulia hendaklah menggunakan kata Sayyid. Hal ini seperti diungkapkan dalam Shahihain: Berdirilah kalian untuk menghormati Sayyidmu. Yang dimaksudkan Sayyid di situ adalah Sa’d bin Muaz. Dan kesayyidan Muaz itu ditentukan dengan banyaknya ilmu dan kesolehannya dalam beragama.” – (Lihat, Shahih Shifat Shalat an-Nabi @ terj: Shalat Seperti Nabi: Petunjuk Pelaksanaan Shalat Sejak Takbir Hingga Salam oleh Syeikh Hasan as-Saqqaf, hlm; 196: nota hujung no; 409).

Jika sedemikian rupa penghormatan dan pengagungan para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in ketika berbicara atau menyapa - (ini baru dipandang/dilihat pada sudut ahwal ketika berbicara dengan RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, belum lagi dilihat pada sudut-sudut lain, seperti kecintaan para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in terhadap diri RasululLah dan setiap perkara yang datang daripada tubuh Baginda, yang apabila kita meneliti kisah para sahabat dan kelakuan mereka tersebut; akan terpamirlah betapa hormat/ penuh beradab dan tinggi nilai kasih-cintanya mereka terhadap Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam, hinggakan jika orang yang menatap kisah tersebut berhati tulus-mulus, mampu membuatkan hatinya sebak/tersentuh/terharu, bahkan menangis sekalipun. ALLAHu Akbar) - Habibuna wa Nabiyina al-Musthafa al-Mukhtar shallalLahu ‘alaihi wa sallam, justeru bagaimana boleh ada suara yang hanya menyebut @ pena yang hanya menulis nama RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam sebatas panggilan @ titipan “Muhammad” sahaja? Ke mana hilangnya adab terhadap RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, jika demikianlah kelakunya?

Paling mengecewakan-mendukacitakan, bahkan menghibakan nubari kecil ini sekiranya yang menyebut @ menulis itu adalah orang yang biasa disebut/dipanggil ustaz/ustazah/Dr. yang ada latar belakang pengajian agama dan ahli akademik, yang sudah tentu boleh menilai dengan baik tentang soal autoriti. Jika di dalam adab-adab menuntut ilmu umpamanya, para murid dilarang/ ditegah memanggil gurunya dengan perkataan ‘kamu’ @ menyebut namanya sahaja; sebaliknya disuruh/ diajar memanggil seorang guru dengan panggilan ‘Tuan Guru’ ‘Ustaz’ ‘Syeikh’ ‘Imam’ dan yang selayaknya, inikan pula apabila berkaitan dengan RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, lebih-lebih lagilah amat patut sangat diambil perhatian. Inilah yang dikatakan sebagai ADAB. Jika seorang murid tidak beradab dengan guru, sudah dianggap derhaka dan boleh menyebabkan murid itu payah atau susah untuk mendapat ilmu dan sulit untuk menjadi pandai, bahkan di dalam satu mafhum hadith disebutkan, “Sesiapa yang menghormati/ memuliakan orang alim (guru), maka sesungguhnya dia menghormati/memuliakan Tuhannya (yakni ALLAH ‘Azza wa Jalla)”; inikan pula jika tidak beradab dengan RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, sudah pasti akibat buruknya lebih besar. Na’uzubilLah min zaalik.

Mengenai hal ini, sukalah saya memetik tulisan Syeikhuna al-‘Alim Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari tentang adab-adab menuntut ilmu, lewat buku beliau, Makanat al-Ilm wa al-‘Ulama wa adabu thalib al-Ilm @ terjemahannya; Martabat Ilmu Dan Ulama Serta Adab-Adab Penuntutnya. Di dalam buku tersebut – pada halaman 78-79, beliau menyebutkan, di antara adab-adab menuntut ilmu iaitu; “…apabila menulis sesuatu kitab mulakanlah dengan kalimat “Basmalah”. Sekiranya kitab itu dimulai dengan khutbah yang mengandungi pujian ke atas ALLAH dan selawat ke atas Rasul-Nya shallalLahu ‘alaihi wa sallam, maka tulislah khutbah itu selepas Basmalah atau boleh juga sebaliknya, kemudian barulah menulis kandungannya, demikian juga pada akhir kitab.

Tambah beliau lagi, setiap kali menulis nama ALLAH Ta’ala, maka hendaklah diikuti dengan pengagungan seperti kalimat: Maha Tinggi, Maha Suci, Maha Mulia lagi Maha Agung, Maha Quddus dan seumpamanya. Demikian juga halnya apabila menulis nama Nabi shallalLahu ‘alaihi wa sallam, hendaklah diikuti dengan selawat salam selepasnya serta diikuti pula dengan lidahnya (maksudnya disebut juga selawat dan salam itu pada lidah kita secara jahar). Inilah adat kebiasaan yang sudah berjalan di kalangan para ulama salaf dan khalaf dengan menulis kalimat - shallalLahu ‘alaihi wa sallam. (Sebaliknya) Jangan ditulis dengan cara diringkas sekali pun berulang-ulang dalam kitab seperti yang dilakukan oleh sesetengah ulama kini (sekarang) dengan kalimat “shal, shalam dan shal’am”, (tambahan Hf; kalimat seperti S.A.W juga jangan ditulis) kerana semuanya ini tidak patut untuk Nabi kita shallalLahu ‘alaihi wa sallam. Demikian juga, apabila berjumpa dengan nama para sahabat Baginda shallalLahu ‘alaihi wa sallam, lebih-lebih lagi sahabat yang besar maka ikutilah dengan kalimat “radhiyalLahu ‘anhu”, janganlah menulis dengan kalimat “selawat dan salam” selain kepada para Nabi dan para malaikat-Nya – radhiyalLahu ‘anhum. Demikian juga halnya apabila berjumpa nama ulama salaf maka ikutilah dengan kalimat “radhiyalLahu ‘anhu” atau “rahimahulLahu Ta’ala”, lebih-lebih lagi para imam dan ulama besar dari kalangan mereka itu – rahimahumulLahu Ta’ala.….”

Demikianlah, apa yang telah disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari yang amat bermanfaat sebagai panduan/pedoman kepada kita untuk lebih beradab khususnya kepada RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam, begitu juga kepada para sahabat radhiyalLahu ‘anhum ajma’in dan para ulama rahimahumulLahu Ta’ala. Ini amat bersesuaian dengan sepotong hadith daripada Sayyidina Muaz katanya: bahawa RasululLah shallalLahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kami meletakkan manusia pada kedudukan-kedudukan mereka. – (Lihat Hadith ke-13, Hormati Kedudukan Seseorang, di dalam Menuju Kebahagiaan Sejati: Koleksi Hadith Serta Sanad Riwayat Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman oleh Ustaz Mohd Zaidi Abdullah al-Shah ‘Alami, hlm; 79). WALLAHu ‘alam.

al-Haqir ila al-Malik al-Quddus
Hafiz Fandani
5.57 pagi
Rabu – 9 Disember 2009/ 22 Zulhijjah 1430
Laman Hijjaz.




No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails