SEWAKTU RasululLah mengahwininya, dia masih seorang kanak-kanak kecil yang suka bermain pengantin, kuda-kudaan yang memiliki dua sayap, serta sering menyembunyikan permainannya di balik pintu biliknya. Dia juga sering bermain bersama kanak-kanak sebaya. Bahkan, dia amat suka bermain buai-buaian. Meskipun demikian, perkembangan ilmu dan kecerdikan anak cilik ini begitu mengkagumkan.
Dalam keadaan usia semacamnya dia sudahpun menjadi duta RasululLah kepada dunia kaum perempuan. Sedangkan, rakan sebaya dengannya masih tidak mengenal apa itu ilmu. Walaupun, sifat keanak-anakan itu tidak terlepas dari dalam dirinya, namun dia berupaya untuk mengajar dan menyampaikan ilmu kepada kaum perempuan, bahkan juga kepada kaum lelaki masalah-masalah agama yang sangat detil dan sulit.
Di usianya ini, dia mulai berbicara kepada mereka tentang tata cara bersuci, bermula dari masalah haid dan jinabah, apa yang halal bagi suami terhadap isteri yang sedang haid, dan batas-batas hubungan pergaulan antara suami isteri hinggalah kepada masalah-masalah ibadah seperti solat dan puasa. Justeru, tidak hairanlah apabila RasululLah صلي الله عليه وسلم memanggilnya dengan panggilan “"يا موفقه (wahai perempuan yang selalu tepat).
Itulah Umm Al-Mukminin Sayyidah A’isyah binti Abu Bakr Asy-Shiddiq. Beliau dilahirkan pada tahun ke-6 kenabian RasululLah di Makkah. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun ke-4 atau ke-5 dari kenabian RasululLah. Di usianya yang masih kecil, ayahnya telah menyerahkannya kepada orang Arab Badui dari kelompok Bani Makhzum untuk diasuh. Lingkungan hidup kaum Badui telah memberikan Sayyidah A’isyah keelokan, kefasihan dan sifat-sifat Arab yang tulen. Beliau juga membesar di lingkungan Islam yang ketat, dan dalam keluarga yang kuat pegangan agamanya.
Di ketika usia Sayyidah A’isyah baru 6 tahun, RasululLah datang meminangnya sekaligus menikahinya dengan mas kahwin sebanyak 500 dirham. Peristiwa itu terjadi di Makkah, dalam bulan Syawal tahun ke-12 kenabian (1). Setelah RasululLah berhijrah ke Madinah, dalam bulan Syawal, awal bulan ke-18, barulah Baginda tinggal bersamanya (2). Di ketika itu, beliau baru berusia 9 tahun, sedangkan RasululLah صلي الله عليه وسلم sudah pun berusia 54 tahun. Sewaktu Baginda wafat dalam usia 63 tahun, beliau baru menjengah usia remaja, 18 tahun.
Sayyidah A’isyah hidup bersama RasululLah selama 9 tahun. Beliau bukan setakat seorang isteri, bahkan juga insan yang paling dicintai dan sangat akrab dengan Baginda. Jawaban Baginda selalunya adalah A’isyah setiap kali ditanya tentang siapa yang paling dicintainya. Bahkan, cinta RasululLah terhadap A’isyah berlanjutan hingga ke Akhirat. Banyak bukti dalam sejarah menunjukkan RasululLah benar-benar cintakan A’isyah.
Selama beliau hidup bersama RasululLah, tidak pernah wahyu turun ketika RasululLah sedang berada bersama isteri-isteri yang lain. Betapa banyak ayat yang turun di rumah A’isyah, seperti ayat Al-Mujadilah dan ayat yang turun kerana Sayyidah A’isyah, seperti peristiwa ifki (peristiwa fitnah). Beliau sering melihat bagaimana wahyu turun kepada RasululLah صلي الله عليه وسلم dan menceritakan hal itu. Beliau juga pernah melihat Jibril dan mengucapkan salam kepadanya. Semua itu menjadikan beliau arif segala hal yang berkaitan dengan wahyu (3).
Justeru, layaklah apabila Abu Salmah bin ‘Abd Ar-Rahman berkomentar tentang diri Sayyidah A’isyah; “Tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui sunnah Nabi صلي الله عليه وسلم, tidak ada seorang pun yang lebih faqih di dalam berpendapat, dan tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui suatu ayat dan tidak pula tentang suatu kewajiban daripada A’isyah.”
Kecerdasan Sayyidah A’isyah juga dapat dilihat dari penguasaannya yang banyak meriwayatkan hadith RasululLah صلي الله عليه وسلم, sama ada daripada RasululLah sendiri, ayahnya, Sayyidina Umar, Sayyidah Fathimah dan Sayyidina Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau adalah antara sahabat yang banyak meriwayatkan hadith iaitu, 2,210 buah hadith. Beliau dianggap oleh para tokoh tafsir, tokoh hadith dan fuqaha di zamannya sebagai tempat rujukan ilmiah yang utama dan sahih.
Walaupun Sayyidah A’isyah masih muda remaja, namun ilmunya melaut luas dan melangit tinggi. Peranan beliau dalam penyebaran ilmu dan dakwah Islam sangat besar. Keberadaan beliau di sisi RasululLah banyak memudahkan tugas yang diamanahkan kepada Baginda. Diriwayatkan, pada suatu hari seorang perempuan dari golongan Ansar datang bertanya kepada RasululLah; “Wahai RasululLah, bagaimana cara bersuci dari haid?” Nabi menjawab, “Ambillah sepotong kain, letakkanlah minyak wangi, kemudian dengan kain itu bersihkanlah bekas-bekas darah.”
Meskipun sudah dijelaskan oleh Baginda, perempuan itu masih tetap tidak dapat memahami bagaimana caranya, sehingga Baginda sendiri merasa malu untuk menjelaskannya dengan lebih lanjut. Hal ini sememangnya dimaklumi, bahawa RasululLah memiliki sifat malu yang tinggi. Lalu, Baginda pun memanggil Sayyidah A’isyah untuk mengajarkan perempuan tersebut. Demikianlah betapa berperanannya Sayyidah A’isyah dalam menyemarakkan ilmu dan dakwah Islam di kalangan umat Islam pada waktu itu.
Justeru itu, tidak hairanlah para ulama dan tokoh Islam sepanjang zaman mengkagumi ilmu Sayyidah A’isyah. Marwan misalnya, apabila menyebut Sayyidah A’isyah dalam meriwayatkan hadith, maka dia akan menyebutnya dengan mengatakan; “Telah bercerita kepadaku Asy-Shiddiqatu binti Asy-Shiddiq, perempuan kesayangan kekasih ALLAH…” Imam Atha’ mengatakan, bahawa Sayyidah A’isyah adalah seorang yang paling ahli di bidang fiqh, paling alim dan yang paling baik pendapatnya di antara manusia. Sementara itu, Imam Al-Zuhri mengatakan, “Seandainya ilmu A’isyah itu dihimpunkan, lalu dibandingkan dengan semua ilmu isteri-isteri Nabi dan ilmu semua kaum perempuan, maka ilmu A’isyah adalah yang paling utama.”
Selain itu, beliau juga banyak beribadah dan sering bertahajjud. Sifat qanaah, redha, zuhud, dermawan dan sifat berlemah-lembut terhadap fakir miskin cukup menggambarkan beliau seorang perempuan berhemah tinggi dan berperibadi mulia sesuai dengan statusnya sebagai Umm Al-Mukminin. Di samping itu, Sayyidah A’isyah juga mempunyai sifat malu yang sangat mendalam. Diriwayatkan, beliau pernah masuk ke tempat RasululLah dimakamkan dalam keadaan tidak berhijab. Sewaktu Sayyidina Abu Bakr dimakamkan di sisi Nabi, beliau juga masuk ke situ tanpa berhijab. Namun, ketika Sayyidina Umar dimakamkan di sisi Nabi dan Abu Bakr, beliau tidak pernah masuk ke situ kecuali dengan pakaian dan hijab yang sangat tertutup kerana merasa malu kepada Sayyidina ‘Umar yang bukan mahramnya.
Setelah sekian lama hidup dengan penuh jasa dan bakti, menjunjung amanah ALLAH dan Rasul-Nya, pada malam Selasa, di hari ke-19 berpuasa (ada berpendapat pada hari ke-17 Ramadhan) dalam tahun 58 Hijriyah (ada pendapat mengatakan pada tahun 57H), bersemadilah roh Sayyidah A’isyah menyusuri jalan Penciptanya yang Maha Esa. Beliau dimakamkan pada malam Ramadhan selepas Solat Witir.
Pada malam itu, suasananya sangat gelap. Obor-obor dari pelepah kurma dinyalakan supaya terang menuju ke perkuburan. Ramai orang berkerumun sesak di sekitar liang lahad. Tidak ada malam yang dipenuhi manusia melebihi malam itu. Seakan-akan malam itu adalah malam perayaan. Solat jenazah disempurnakan oleh Sayyidina Abu Hurairah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ bersesuaian wasiat Sayyidah A’isyah sendiri. Semoga ALLAH meredhainya. Amin.
Rasanya, tidak cukup sebatas ini sahaja untuk menggambarkan leluhur peribadi agung ini. Masih terlalu banyak sisi yang perlu diperkatakan tentang Umm Al-Mukminin Sayyidah A’isyah ini. Seperti kata salaf as-soleh: “Teramat jauh bezanya, antara orang-orang yang telah mati, tetapi hati orang lain dapat hidup ketika menyebut namanya, (berbanding) dengan orang-orang yang masih hidup, tetapi hati orang lain dapat mati bila bergaul dengannya.” Moga kita dapat mengambil ibrah dan mengamalkannya dalam hayat ini, bersesuaian petunjuk ALLAH dan pimpinan RasululLah. ALLAHU A’LAM.
Bacaan lanjutan:
Al-Manhalu Al-Lathiifu fi Ushuuli Al-Hadisi Al-Syariifi oleh Sayyid Muhammad ‘Alawi Al-Maliki.
Bahr Al-Mazi oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi.
‘Ulum Al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih.
Nota Hujung:
* Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Perdana pada 24 September 2006. Pemaparan pada kali ini dengan sedikit pengubahsuaian dan beberapa tambahan maklumat.
1 Di dalam Sahih Bukhari, terdapat suatu riwayat daripada Sayyidah A’isyah yang menyebutkan: “Aku telah dikahwini oleh Nabi صلي الله عليه وسلم ketika aku berusia 6 tahun, iaitu pada bulan Syawal tahun pertama Hijriyah.” Atau, menurut sebahagian ulama pada tahun kedua Hijriyah.
2 Dalam riwayat Al-Bukhari, disebutkan bahawa Sayyidah A’isyah berkata: “Ibuku, Ummu Rauman datang kepadaku, dan waktu itu aku sedang bermain ayunan bersama teman-temanku. Ibu memanggilku dan aku segera datang menemuinya. Aku tidak mengetahui apa maksud ibuku terhadapku. Ibu lalu memegang tanganku dan menuntunku sampai ke pintu rumah. Ketika itu, nafasku masih termengah-mengah, lalu aku mengambil air dan aku usapkan pada raut muka dan kepalaku. Selanjutnya, ibu mengajakku masuk ke dalam rumah. Dan ternyata, di dalam rumah sudah penuh dengan perempuan-perempuan dari golongan Ansar. Mereka pun mengucapkan doa pujian ‘Semoga dalam kebaikan dan barakah serta kebaikan yang terus-menerus.’ Kemudian, ibu menghantarku dan menyerahkanku kepada mereka. Lalu mereka pun segera menghiasku, dan tidak ada yang melihatku di pagi hari itu selain RasululLah. Selanjutnya, ibu menyerahkanku kepada RasululLah. Pada hari itu aku berusia Sembilan tahun.”
3 Diriwayatkan daripada Sayyidah A’isyah, bahawa pada suatu hari RasululLah bersabda: “Wahai A’isyah, ini Jibril datang member salam kepadamu.” Kemudian, aku pun menjawab, “Wa ‘alaihi Al-Salaamu wa Rahmatu ALLAHi wa Barakaatu.”