Monday, September 28, 2009

LULUH HATI MENGENANGKAN BANGSAKU


Hatiku disuguh hiba acap kali
Memikirkan umat kita tidak akan bangkit lagi
Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa zuriat anak negeri
Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak menjulang tinggi
Bukan kerana ragam politik yang tiada aman harmoni
Bukan kerana rakyat jelata malas memerah keringat sendiri

Hatiku diruntun pilu menyesak akal fikri
Khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi
Kerana pemimpin berwibawa-mulus diri tidak didengari
Kerana seru ibrah ulama amilin sering di pandang sepi
Suara mereka nan berani-benar tidak menyedapkan emosi
Rayuan hati nurani sebegini lazim zaman dianak tiri
Meski perjuangan meniti hari, mengharapkan redha Ilahi
Bukan untuk menghitung untung laba duniawi
Bukan pun mahu menagih liputan massa untuk menonjol diri
Cuma, laungan nurani inginkan kejayaan berkekalan abadi
Mendapat keredhaan di dua kehidupan hakiki ukhrawi

Hatiku disapa kebimbangan tak terperi
Takut umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana yang malas selalu diganjari
Kerana pandai memuji kan berjawatan tinggi
Kerana yang jujur ikhlas sering diinjak mati
As-suuk dapat dibeli, maksiat dan fasad makin menjadi.

Hatiku diluluh ketakutan berkali
Takut umatku tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi menghunjam tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkatkan gaji
Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran masakini
Pasaran berubah mengikut emosi keakuan diri

Betapa hatiku sakit tak terperi
Bimbang kita kan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diadaptasi di universiti tinggi
Akan teruskah begini umatku seribu tahun lagi

Bagaimana kita akan bangkit untuk kesekian kali
Memimpin dunia menjejak Syurgawi?
Jika ibubapa pintar melahir anak tak berakal budi
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari laba diri
Jika guru, pensyarah kehilangan arah ketelusan nurani
Ilmu terpaku di dada ijazah, tidak memakna erti
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan Iblisi
Politikus memperniaga prinsip dan akhlak pekerti
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar sensasi

Manakan bingkas umat ini
Jika inilah lakunya pimpinan manusiawi
Akan gugur hancurlah bangsa pertiwi
Selagi tidak ada sesosok diri membenih budi
Menebar erti, memakna ruhi
Selagi itu takkan ada namanya bangsa Qurani
Bagaimana mungkin mahu menerobos alam Syurgawi?

Ratib Mursyidi
Isnin
September 28/2009
Syawal 9/1430
Detik 10.00 mlm
Anjung Rindu - Laman Hijjaz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails