Tuesday, September 29, 2009

SEHENING KAUTSAR


Dalam mendung duka, tak pernah terpamir lurah derita
Riaknya bersahaja, lazim ternyata tanpa akur hati lara
Fahami dia pada segala takdir dan ta’bir Maha Kaya Pencipta
Hatinya menyatu pasrah- tunduk berserah akur Maha Kuasa.

Hafiz Fandani
Rabu
September 30 – 2009
Syawal 11 – 1430
Detik 11.50 pagi
Laman Hijjaz.

Monday, September 28, 2009

LULUH HATI MENGENANGKAN BANGSAKU


Hatiku disuguh hiba acap kali
Memikirkan umat kita tidak akan bangkit lagi
Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa zuriat anak negeri
Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak menjulang tinggi
Bukan kerana ragam politik yang tiada aman harmoni
Bukan kerana rakyat jelata malas memerah keringat sendiri

Hatiku diruntun pilu menyesak akal fikri
Khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi
Kerana pemimpin berwibawa-mulus diri tidak didengari
Kerana seru ibrah ulama amilin sering di pandang sepi
Suara mereka nan berani-benar tidak menyedapkan emosi
Rayuan hati nurani sebegini lazim zaman dianak tiri
Meski perjuangan meniti hari, mengharapkan redha Ilahi
Bukan untuk menghitung untung laba duniawi
Bukan pun mahu menagih liputan massa untuk menonjol diri
Cuma, laungan nurani inginkan kejayaan berkekalan abadi
Mendapat keredhaan di dua kehidupan hakiki ukhrawi

Hatiku disapa kebimbangan tak terperi
Takut umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana yang malas selalu diganjari
Kerana pandai memuji kan berjawatan tinggi
Kerana yang jujur ikhlas sering diinjak mati
As-suuk dapat dibeli, maksiat dan fasad makin menjadi.

Hatiku diluluh ketakutan berkali
Takut umatku tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi menghunjam tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkatkan gaji
Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran masakini
Pasaran berubah mengikut emosi keakuan diri

Betapa hatiku sakit tak terperi
Bimbang kita kan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diadaptasi di universiti tinggi
Akan teruskah begini umatku seribu tahun lagi

Bagaimana kita akan bangkit untuk kesekian kali
Memimpin dunia menjejak Syurgawi?
Jika ibubapa pintar melahir anak tak berakal budi
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari laba diri
Jika guru, pensyarah kehilangan arah ketelusan nurani
Ilmu terpaku di dada ijazah, tidak memakna erti
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan Iblisi
Politikus memperniaga prinsip dan akhlak pekerti
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar sensasi

Manakan bingkas umat ini
Jika inilah lakunya pimpinan manusiawi
Akan gugur hancurlah bangsa pertiwi
Selagi tidak ada sesosok diri membenih budi
Menebar erti, memakna ruhi
Selagi itu takkan ada namanya bangsa Qurani
Bagaimana mungkin mahu menerobos alam Syurgawi?

Ratib Mursyidi
Isnin
September 28/2009
Syawal 9/1430
Detik 10.00 mlm
Anjung Rindu - Laman Hijjaz.

Thursday, September 17, 2009


Salam Eidul Fitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua tetamu atas kesudian anda selama ini, tanpa lelah mengunjungi laman rimbunanrindu. Semoga anda semua dalam perlindungan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala hendaknya. Penting - diharapkan; mudah-mudahan kunjungan anda bukan sesuatu yang mensia-siakan, malah ada sesuatu yang berharga dan bermanfaat untuk dijadikan pedoman hidup, insyaALLAH. Kepada-Nya kita bermohon - mengadu dan mendambakan kasih Dia sentiasa. Tanpa Dia tidak ada maknanya kehidupan kita sedikitpun. ALLAHUMMAH DINA ILA SAWA-IS SABIL.

yang sentiasa mendambakan kasih dan ampunan-Nya:

Hafiz Fandani
Ratib Mursyidi

Anjung Rindu - Laman Hijjaz
September 17 - 2009
Ramadhan 27 - 1430

Tuesday, September 15, 2009

SETULUS HARAPAN


Tuhan
Kadang aku tersalah laku dan tingkah
Malah, acap aku pada titik sama

dalam kata aku berdusta
dalam setia aku berlaku dosa.

Setiap kali ku tersungkur,
jatuh tidak terdaya,
terperuk di lohong hina;
Engkau berikan aku peluang dan ruang -
masih bersimpati padaku.
Engkau berikan aku pedoman,
untuk ku bingkas bangun -
bisa berdiri, teguh berlari,
membasuh hati, membenih nurani.
Tuhan
Mogaku tak dusta dalam kataku
Mogaku setia dalam janjiku
Bangunkan diri
membina rohani
Sejernih kauthar di taman suci
Semurni kasih-Mu
Sedamai rindu Kekasih-Mu.

Ratib Mursyidi
Ahad
Detik 2.40 pagi
September 13/ 2009
Ramadhan 21/ 1430
Anjung Rindu.

Monday, September 14, 2009

AIDILFITRI MESRA


foto by Lagendaseni.

Datanglah lagi ujian - kita semakin didewasakan.
Wirid terdengar nyaring walau dalam kesenyapan.
Kita hayati hikmah antara tasbih dan solat malam,
berdamai atas sejadah, khusyuk taat depan Al-Quran;
nafas kita semakin wangi oleh ranum pembacaan.

Dalam kerlip serba indah kita sambut Ramadhan mulia;
segala rindu di qalbu menghangat kasih ke RasululLah.
Dalam lenggang waktu begitu mesra, di tengah ummah,
kita menghimpun pujian sekhusyuk untuk Baginda,
Lebih-lebih lagi - dalam jujur dan taqwa - kepada ALLAH.

Setahun lagi - kini kita diranumi musim puasa,
Aidilfitri datang bakal memahkotakan ibadah kita.

A. Samad Said
16-30 September 2003
Bangsar Utama

Tuesday, September 8, 2009

TINGGAL MERINDUIMU


Bagaimana
bernafaskan
waktu yang diberi
beruangkan
lapang yang dianugerahi
seorang insan mensyukuri
menyedari hidupnya
bukan sekadar mengisi bumi
tapi berperanan
mengikut ketetapan
yang telah diwajibkan
apakah dia seorang bapa
yang berwibawa
mendidik anak-anak
isteri yang tercinta
apakah dia seorang ibu
yang bertakwa
mengasuh anak-anak
suami yang utama
apakah dia seorang pemimpin
memilih tugas
dan kerja keras
apakah dia pendakwah
memikul beban
memberikan penerangan
menerangi alam
terus gemerlapan
segalanya ini
tercabar
dalam kehidupan
setiap yang menghayati
sekadar contoh
untuk tidak berfikir
hidup ini
selesai sampai sini


~ Masuri S.N.
Sasterawan Negara

Sunday, September 6, 2009

SEKERDIP MATA


Di saat kau menghampiri
dalam tak sedar
aku bagaikan menjauhi
hingga tika aku
ingin menghampirkan diri
kau sudah tiada di sisi.
Dalam tak sedar
bagaikan sekerdip mata
kau sudah pergi
dan takkan kembali lagi.
Sedang aku –
masih di sini
menanti sendiri
rela dan redha
meniti hari
dalam detak rasa
mensyahdukan nubari.

Hafiz Fandani
Di hening sunyi Isnin
Detik 2.00 pagi
September 7/ 2009
Ramadhan 17/ 1430
Laman Hijjaz.

• Ingatan masih pada gemulah Ustaz Asri Rabbani. Disebut dalam mafhum hadith; setiap insan yang apabila kita melihatnya, mengingatkan kita pada ALLAH, itulah sebaik-baik manusia.

AL-FATIHAH.

ALLAHUMMAH DINA ILA SAWA-IS SABIL.

DALAM TAK SEDAR


Di saat kita kesepian dan bersendirian;
zahir tersenyum dalam tangis -
nyata bersahaja dalam derita –
dalam tak sedar hati merindukan belaian,
sedang di sisi, sesiapapun tiada sebagai teman;
barulah kita menyedari ada yang memerhati,
barulah kita menyedari ada yang mengasihi,
sentiasa wujud di sisi menghiburkan hati –
Segala puji bagi-Mu Ya Rabbi!
tanpa DiriMu, siapalah aku di sini
tanpa DiriMu, entah bagaimana aku di sana nanti.

Hafiz Fandani
Ahad
Detik 12.55 tgh hari
September 6/ 2009
Ramadhan 16/ 1430
Anjung Rindu – Laman Hijjaz.

Saturday, September 5, 2009

MERPATI PUTIH, JELAJAHILAH DUNIA INI


Dalam keruncingan manusia bimbang curiga
terbanglah ia menjelajahi dunia
putih sayapnya melambai cinta damai
bersih bulunya mengibar panji hidup bersama
Merpati putih, jelajahlah dunia ini
hembuskanlah udara baru yang kau hirup dari malam
bunga-bunga mekar menguntum
bibir-bibir segar tersenyum
Siapa manusia yang tiada putus ada
hiruplah udara baru yang segar berkembang
isilah dunia ini dengan keyakinan perdamaian
hembuskan nafas pada malam yang lena
Siapa manusia yang pernah berkhianat
jadilah debu yang terbang mengakhiri hayat
duniamu tenggelam bersama patung-patung usang
di cermin hidup ini wajahmu telah menghilang


~ Usman Awang

Sasterawan Negara

Thursday, September 3, 2009

PASTI


Kita yang di sini
dalam detak rasa mensyahdu diri
acap teringatkan pada yang pergi
rindu, rindu, rindu – terus merindui
hingga syahdu sering bertamu di hati.

Datang kita ini sendiri
pergi nanti pun menyendiri.
Bukan ada di sisi,
siapapun untuk pergi -
bersama kembali
menghantar kita ke sisi
Tuhan Rabbul ‘Izzati

Didoakanlah saban hari
meski gelap terang silih berganti,
moga yang telah pergi
damai di sana abadi -
moga kita yang di sini,
sebelum denyut nafas terhenti;
cukup bekal amal untuk kembali.

Mati yang pasti
setiap insan akan merasai
tanah hanyir, sunyi sepi
kembali kita sendiri -
sedang dua malaikat sedia menanti
suatu perjalanan kembara ruhi.
Bertemu Tuhan Maha Hakiki
kepastian yang tak terkecuali
sedang untung nasib belum pasti.

Berdoalah moga dirahmati
Tuhan Rabbul ‘Izzati
berwasilahlah moga disyafa’ati
Junjungan mulia sang Nabi.

Hafiz Fandani
Jumaat
Detik 10.00 pagi
September 04/2009
Ramadhan 14/1430
Anjung Rindu – Laman Hijjaz

•Detak rasa masih mensyahdukan diri – perginya gemulah Ustaz Asri Rabbani, masih teguhpadu mengingatkan ‘DIRI’ tentang mati yang pasti – suatu kepastian yang tidak akan kembali – pergi untuk menghitung amal di sini. Di mizan Tuhan Rabbul ‘Izzati, diri akan ditentukan Tuhan – damai di Syurga atau merana di Nerakakah nanti? – AL-FATIHAH.

Wednesday, September 2, 2009

BAHASA TERINDAH


Yang diucap dalam bahasa terindah
Jawapan yang bertanya didengar Nabi
Antara kagum dan khusuk setiap ayatnya
Lereng gunung menjadi amat sunyi
Suara sajak tegas bergema
Disampai arah berkias maksud serentak
Tapi jelas intinya
Tidak sedetikpun Allah menghindar
Atau mencemuh Nabi di sisi segala didoa
Dipenuhi segala yang dipinta tulus dan
Penuh baraqah
Yatim ia tak berlindung
Tidakkah tersedia juga bumbung baginya.
Awal begitu bergantung
Kini tidakkah merdeka
Bebas hidupnya.

~ Dato’ A. Samad Said
Sasterawan Negara

BANGUNLAH


Dan bangun!
Bangunlah dari tidur nyenyak
Dari lena sejenak
Bangunlah!
Dari lupa sesaat
Bangunlah!
Seluruh negeri Timur terbujur
Berselerakan bagai butiran pasir di tepi jalan
Atau seperti jerit bisu tak kenal suara
Dan rengek pilu yang berlebihan
Namun tiap zarah di muka bumi ini
Adalah tempat merenung buat kelahiran yang perih


Dr. Mohammad Iqbal
Penyair Ulung Pakistan


Dari “Mukadimah Asrar-i Khudi”

Tuesday, September 1, 2009

KALAM PENYAIR


Demi Allah, demi Tuhan-ku,
dusta aku dalam kataku,
mengaku dekat bagai terpaku,
kepada Allah penguasa-Ku.
Segala mudah aku rasakan,
taat dan cinta aku ucapkan,
isi maknanya aku tinggalkan,
mulut menyebut hati mungkirkan.
Di akhir malam yang masih kelam,
di waktu tenang seisi alam,
aku terbaring di atas tilam
bagaikan batu di lumpur dalam.
Lain halnya si burung murai,
memekik, menangis berderai-derai.
Jika mulut dan hati tidak bercerai,
masakan kalah oleh si burung murai.

• Jika mulut dan hati tidak bercerai,
Masakan kalah oleh si burung murai.
Kata Ratib Mursyidi;
Jika jasad dan roh tidak berkecai,
Pasti mubtadi mencapai muntahi
Nurani teguh memakna insani.

Hafiz Fandani
Selasa
1 September 2009/ 11 Ramadhan 1430
Detik 12.12 tgh hari
Kota Damansara.


JIWA MERDEKA


Kita sering tersenyum ria
tertawa gembira,
hingga kita terlupa
acap leka dan alpa
asal usul dari mana,
tujuan dan maksud utama-
untuk apa dan bagaimana
kita menjadi manusia.
Hidup di pentas dunia pada maya,
hidup sebeginikah kita selamanya?
atau, nanti tiba ketikanya-
seru datang bercerai nyawa;
Kita tidak terkecuali siapa
akan menjadi jasad tak terdaya
detik masa yang pasti tiba
tidak terlewat dan terawal janjinya
terdampar sepi sendiri terselubung gelita
tangis hiba, derita sengsara tiada guna
andai kita tika masih bernyawa
terdaya – diberi kudrat segala tenaga
ingkar suruh dan perintah Maha Esa.

Aduhai jiwa merdeka!
Kembalilah kita
sebelum berakhir masa,
pulang ke tujuan mula,
hindarkan maksiat segala,
membersih dosa dan noda,
membenih iman dan taqwa.
Moga bererti langkah kembara,
berseri sinar indah ke Syurga.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ratib Mursyidi
Di hening Jumaat
28 Ogos 2009/ 7 Ramadhan 1430
Detik 1.32 pagi.
Kota Damansara.
Related Posts with Thumbnails