Apabila
ditanya, siapa tokoh teladan paling unggul? Sudah pasti di benak dan fikiran
seorang Islam yang beriman, akan terlintas nama sosok agung ini, iaitu Nabi
Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Nabi Muhammad adalah manusia
unggul yang tidak ada tolok bandingnya. Keunggulannya melayakkan Baginda
menjadi tokoh teladan sepanjang zaman.
Nabi Muhammad
adalah personaliti unggul yang sentiasa menyeru umat Islam supaya
bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Perkara ini amat jelas apabila diteliti
dalam setiap sabdaan Baginda melalui hadis-hadis yang berkaitan persoalan ilmu
dan keutamaannya. Hadis-hadis itu menjadi inspirasi dan dorongan kuat kepada
umat Islam dalam memajukan diri dan bangsa dengan keutuhan ilmu. Sementelahan
pula, Nabi Muhammad sendiri adalah utusan Allah yang ditugaskan untuk
membimbing manusia menuju jalan kebenaran.
Bermula dengan
asas dorongan semangat daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam itu,
umat Islam – khususnya para sahabat, pada zaman awal Islam terus mengorak
langkah menuntut ilmu, terutamanya melalui bimbingan dan didikan Nabi Muhammad shallallahu
‘alaihi wa sallam sendiri sebagai guru utama.
Perlu
diketahui, sungguhpun Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi (tidak
mampu membaca dan menulis) dan tidak pernah pun mempelajari sebarang ilmu
daripada siapa pun, namun Baginda adalah seorang Rasul utusan Allah yang
diberikan keistimewaan dengan dianugerahkan oleh Allah ilmu dan hikmah yang
tidak pernah dimiliki oleh siapa pun sebelumnya. Ini sebagaimana dijelaskan
oleh Allah melalui firmanNya : “Dan Dia (Allah) mengajarkanmu (Muhammad)
tentang apa yang tidak engkau ketahui. Itu adalah kurniaan Allah yang begitu
agung kepadamu.” – (Surah an-Nisa’, ayat 113).
Nabi Muhammad
mendidik para sahabat dengan kaedah didikan yang terbaik. Baginda menyampaikan
satu-satu ilmu dengan gaya bahasa yang fasih, fakta yang tepat, tutur kata yang
lembut dan menyenangkan jiwa, serta penuh kasih sayang, di samping Baginda
menampilkan contoh teladan dan akhlak yang terbaik dalam memberikan didikan.
Keperibadian Baginda dalam aspek perilaku, tutur kata, dan pengakuan tertentu
adalah suatu didikan yang begitu berkesan.
Melalui
bimbingan dan didikan Nabi Muhammad, lahirlah para sahabat yang menjadi anak
didik berwibawa seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, dan
Saidina Ali yang digelar ‘kota ilmu’. Begitu juga, para sahabat yang lain –
meskipun pada awalnya sahabat itu hanya seorang khadam atau pembantu
Nabi - seperti Saidina Anas bin Malik, tetapi oleh kerana sentiasa bersama Nabi
dan mendapat bimbingan Baginda, Saidina Anas akhirnya terkenal sebagai seorang
ilmuwan dan sarjana Islam yang dikagumi banyak orang.
Saidatina Aisyah,
isteri Nabi yang amat dikasihi juga adalah antara insan yang banyak mendapat
bimbingan dan didikan Nabi Muhammad selain isteri-isteri Baginda yang lain.
Saidatina Aisyah dikenali dalam kalangan para sahabat sebagai perempuan dan
isteri Nabi yang paling pakar dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat yang
lain, terutamanya beliau dijadikan rujukan utama oleh kaum perempuan dalam
menangani permasalahan yang melibatkan hal-hal kewanitaan.
Kejayaan dan
keunggulan para sahabat dalam menuntut ilmu khususnya, memperlihatkan bahawa
Nabi Muhammad adalah seorang pendidik yang bijaksana dalam melahirkan generasi
Islam yang unggul dan berwibawa. Selain Al-Quran dan hadis, sejarah juga jelas
memaparkan banyak fakta yang menunjukkan betapa Nabi Muhammad adalah seorang
pendidik yang hebat. Kehebatan Nabi Muhammad dalam mendidik dan membangunkan
jati diri para sahabat dengan sistem pendidikan kenabian membuktikan Baginda
jauh lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh pendidik sepanjang
sejarah pendidikan dunia.
Sistem
pendidikan yang diterapkan oleh Nabi Muhammad berjaya membangunkan satu
generasi umat yang berilmu dan beradab. Prestasi sistem pendidikan Rasulullah
itu boleh dibuktikan dengan melihat dan membandingkan keadaan para sahabat
sebelum belajar dengan perubahan yang mereka alami selepas dididik dalam sistem
itu. Keperibadian dan ketinggian ilmu para sahabat menjadi bukti kukuh dalam
mendokong Nabi Muhammad sebagai personaliti unggul.
Generasi
terbaik para sahabat yang dididik dan dibimbing oleh Nabi Muhammad itu pula,
seterusnya menjadi generasi pendidik kepada para ilmuwan dan sarjana Islam
dalam kalangan tabi’in iaitu generasi selepas generasi para sahabat.
Generasi tabi’in itu seterusnya pula turut menjadi generasi pendidik
kepada generasi tabi’ tabi’in atau atba’ tabi’in iaitu generasi
selepas generasi para tabi’in. Begitulah seterusnya, kesinambungan ilmu
daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain, melengkapkan legasi
keilmuan yang dibawa oleh Nabi Muhammad berterusan dijaga dan diamalkan oleh
generasi terbaik dalam kalangan umat Islam hingga ke hari kiamat.
Sabda
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam : “Sesungguhnya Allah
tidak mengutuskanku sebagai orang yang menyusahkan dan merendahkan orang lain.
Tetapi Allah mengutuskanku sebagai seorang guru (pendidik) dan pemberi
kemudahan.” – (Hadis riwayat Imam Muslim).
(Petikan daripada buku Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya : Rangkuman Travelog Tokoh Unggul, karya terbaru saya yang bakal diterbitkan)
No comments:
Post a Comment