Saturday, April 21, 2012

Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam, Tokoh Personaliti Unggul


Apabila ditanya, siapa tokoh teladan paling unggul? Sudah pasti di benak dan fikiran seorang Islam yang beriman, akan terlintas nama sosok agung ini, iaitu Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Nabi Muhammad adalah manusia unggul yang tidak ada tolok bandingnya. Keunggulannya melayakkan Baginda menjadi tokoh teladan sepanjang zaman.

Nabi Muhammad adalah personaliti unggul yang sentiasa menyeru umat Islam supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Perkara ini amat jelas apabila diteliti dalam setiap sabdaan Baginda melalui hadis-hadis yang berkaitan persoalan ilmu dan keutamaannya. Hadis-hadis itu menjadi inspirasi dan dorongan kuat kepada umat Islam dalam memajukan diri dan bangsa dengan keutuhan ilmu. Sementelahan pula, Nabi Muhammad sendiri adalah utusan Allah yang ditugaskan untuk membimbing manusia menuju jalan kebenaran.

Bermula dengan asas dorongan semangat daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam itu, umat Islam – khususnya para sahabat, pada zaman awal Islam terus mengorak langkah menuntut ilmu, terutamanya melalui bimbingan dan didikan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri sebagai guru utama.

Perlu diketahui, sungguhpun Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi (tidak mampu membaca dan menulis) dan tidak pernah pun mempelajari sebarang ilmu daripada siapa pun, namun Baginda adalah seorang Rasul utusan Allah yang diberikan keistimewaan dengan dianugerahkan oleh Allah ilmu dan hikmah yang tidak pernah dimiliki oleh siapa pun sebelumnya. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya : “Dan Dia (Allah) mengajarkanmu (Muhammad) tentang apa yang tidak engkau ketahui. Itu adalah kurniaan Allah yang begitu agung kepadamu.” – (Surah an-Nisa’, ayat 113). 

Nabi Muhammad mendidik para sahabat dengan kaedah didikan yang terbaik. Baginda menyampaikan satu-satu ilmu dengan gaya bahasa yang fasih, fakta yang tepat, tutur kata yang lembut dan menyenangkan jiwa, serta penuh kasih sayang, di samping Baginda menampilkan contoh teladan dan akhlak yang terbaik dalam memberikan didikan. Keperibadian Baginda dalam aspek perilaku, tutur kata, dan pengakuan tertentu adalah suatu didikan yang begitu berkesan. 

Melalui bimbingan dan didikan Nabi Muhammad, lahirlah para sahabat yang menjadi anak didik berwibawa seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, dan Saidina Ali yang digelar ‘kota ilmu’. Begitu juga, para sahabat yang lain – meskipun pada awalnya sahabat itu hanya seorang khadam atau pembantu Nabi - seperti Saidina Anas bin Malik, tetapi oleh kerana sentiasa bersama Nabi dan mendapat bimbingan Baginda, Saidina Anas akhirnya terkenal sebagai seorang ilmuwan dan sarjana Islam yang dikagumi banyak orang.    

Saidatina Aisyah, isteri Nabi yang amat dikasihi juga adalah antara insan yang banyak mendapat bimbingan dan didikan Nabi Muhammad selain isteri-isteri Baginda yang lain. Saidatina Aisyah dikenali dalam kalangan para sahabat sebagai perempuan dan isteri Nabi yang paling pakar dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat yang lain, terutamanya beliau dijadikan rujukan utama oleh kaum perempuan dalam menangani permasalahan yang melibatkan hal-hal kewanitaan. 

Kejayaan dan keunggulan para sahabat dalam menuntut ilmu khususnya, memperlihatkan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang pendidik yang bijaksana dalam melahirkan generasi Islam yang unggul dan berwibawa. Selain Al-Quran dan hadis, sejarah juga jelas memaparkan banyak fakta yang menunjukkan betapa Nabi Muhammad adalah seorang pendidik yang hebat. Kehebatan Nabi Muhammad dalam mendidik dan membangunkan jati diri para sahabat dengan sistem pendidikan kenabian membuktikan Baginda jauh lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh pendidik sepanjang sejarah pendidikan dunia.  

Sistem pendidikan yang diterapkan oleh Nabi Muhammad berjaya membangunkan satu generasi umat yang berilmu dan beradab. Prestasi sistem pendidikan Rasulullah itu boleh dibuktikan dengan melihat dan membandingkan keadaan para sahabat sebelum belajar dengan perubahan yang mereka alami selepas dididik dalam sistem itu. Keperibadian dan ketinggian ilmu para sahabat menjadi bukti kukuh dalam mendokong Nabi Muhammad sebagai personaliti unggul.              

Generasi terbaik para sahabat yang dididik dan dibimbing oleh Nabi Muhammad itu pula, seterusnya menjadi generasi pendidik kepada para ilmuwan dan sarjana Islam dalam kalangan tabi’in iaitu generasi selepas generasi para sahabat. Generasi tabi’in itu seterusnya pula turut menjadi generasi pendidik kepada generasi tabi’ tabi’in atau atba’ tabi’in iaitu generasi selepas generasi para tabi’in. Begitulah seterusnya, kesinambungan ilmu daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain, melengkapkan legasi keilmuan yang dibawa oleh Nabi Muhammad berterusan dijaga dan diamalkan oleh generasi terbaik dalam kalangan umat Islam hingga ke hari kiamat. 
     
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam : “Sesungguhnya Allah tidak mengutuskanku sebagai orang yang menyusahkan dan merendahkan orang lain. Tetapi Allah mengutuskanku sebagai seorang guru (pendidik) dan pemberi kemudahan.” – (Hadis riwayat Imam Muslim).

(Petikan daripada buku Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya : Rangkuman Travelog Tokoh Unggul, karya terbaru saya yang bakal diterbitkan) 

Related Posts with Thumbnails