Wednesday, April 28, 2010

AYAH


Ayah!
dulu, kini dan selamanya
kau mengajarku bertatih
meskipun berkali
kutersembam ke bumi
pecah bibir, calar siku, koyak lutut
tangis isak mengulit pilu
hatimu tak pernah mengalah
kau masih mengajarku bertatih
meskipun luka belum sembuh
tubir mata masih basah
kubangun untuk dilatih
bertatih sesudah ditatih
aku tidak lagi bertatih.

Terima kasih ayah!
demi jiwa yang nirmala
demi jiwa yang sakinah
dan demi jiwa yang muntahi
kau pancarkan cahaya Nubuwwah
kau pahatkan amanah syuhada
kau basahkan jiwaku dengan embun hidayah

Ayah!
sungguh dikau;
penyeriku
waliku
qudwahku.
Segalanya
kau pertaruhkan untukku.

Ayah!
pimpinlah jiwaku
hingga aku teguh
dalam rahmah dan mawaddah
untuk selamanya sa’adah
beratapkan langit cerah,
berhamparkan bumi indah.

[Saat mengenangkan keakraban ayah dan anak, di antara Sayyidah Fathimah az-Zahra dan RasululLah].

~ Hafiz Fandani
Isnin
Detik 7.55 malam
19hb April 2010
4 Jamadilawal 1431
Anjung Rindu.

Friday, April 16, 2010

HELAAN NAFAS


Dalam hela kubernafas
di antara gerak dan diamnya aku
tak terjangkau betapa agungnya ni’mat-Mu
tak mampu kuungkap dalam segala pengakuan
tak mampu kusingkap dalam segala kelakuan
meski selautan dakwat kupertaruhkan
meski segala kekuatan kukerahkan
hanya satu nyawa – satu jasad – satu cinta
dalam satu helaan nafas
pasti kita kan bertemu
abadi untuk-Mu.

~ Hafiz Fandani
Rabu
April – 14/2010
Rabiulakhir – 29/1431
Anjung Rindu.

TERSENYUMLAH


Tersenyumlah sayang,
meskipun hatimu menderita.
Tersenyumlah padaku -
kerana dengan senyumanmu itu,
akan membuatkan aku mampu tersenyum,
untuk membuatkan dirimu terus tersenyum.
Meskipun hatiku adalah hatimu
~ lara di hati kita tak siapa pun merasa
hanya Dia yang tahu apa adanya ~
dan bila engkau pun tersenyum gembira
aku pun mampu untuk berlapang dada.
Melihatkan sekuntum senyumanmu
hatiku mudah merasa lega
dan saat engkau melihat senyum balasku
kau juga mampu merasa bahagia
hingga tidak merasa kisah sengsara.
Tersenyumlah hingga kita tega
meskipun di hati, duka kita ada sentiasa.

[Titipan khas buat pasangan suami isteri yang hidupnya, sentiasa berpimpin tangan, sentiasa membahu dan sentiasa menyatu jiwa dan rasa. Moga akan tega setia bersama, selagi bernyawa].

~ Hafiz Fandani ~
Isnin
8 Februari 2010
23 Safar 1431
Detik 10.32 pagi
Kota Damansara.

Monday, April 12, 2010

CAHAYA


Cahaya atas cahaya –
membiaskan segala warna,
mencerapkan segala makna
menyatukan segala rasa.
Cahaya atas cahaya –
dari satu sinar
menerobos segala jiwa,
dalam satu nafas
menemukan hakikat DIA.
Biar tak terjangkau masa
Biar tak terhitung jejak
Biar betapa pun terseksa
Hatta terkorban nyawa.
Rela – redha – setia;
dalam alunan makrifah
dalam nafas kehambaan
demi kerana -
cinta-Nya adalah segala,
damai bahagia abadi bersama.

~ Hafiz Fandani ~
April 13 – 2010
Rabiul Akhir 28 – 1431
Damansara.

Related Posts with Thumbnails