APAKAH tanah air kita ketandusan warisan pemikiran yang mampu mencemerlangkan keilmuan semasa? Inilah persoalan yang ditanggap oleh penulis karya ini dengan menampilkan warisan pemikiran yang diterima secara turun-temurun yang diwarisi dari al-Haramain, Makkah dan al-Madinah al-Munawwarah, yang merupakan pusat pertemuan umat Islam sedunia dalam ibadah umrah dan haji. Warisan tersebut berasaskan satu aliran atau mazhab pemikiran yang dikenali sebagai hikmah al-isyraqi yang dapat diterjemahkan sebagai ‘kebijaksanaan pencerahan’. Aliran ini sebenarnya memiliki sistem yang menarik yang merangkumi aspek teori dan amal yang bersumberkan unsur dalaman. Dibina secara hierarki menegak. Ia tampil pada peringkat tertinggi menerusi ‘kebijaksanaan utama’ (hikmah ‘ula), dipertengahannya pula dikenali ‘kebijaksanaan pertengahan’ (hikmah wusta) yang sebahagiannya terisi dengan aspek kematematikan dan kegeometrian manakala di bawahnya dikenali ‘kebijaksanaan rendah’ (hikmah asfal).
Karya ini diperkukuhkan melalui ikatan rantaian keilmuan atau sanad yang jelas dapat menghubungkan tradisi keilmuan generasi pemikir-pemikir yang terdahulu dengan generasi kemudian termasuk generasi kini. Ini bermakna karya ini dapat mewakili sebahagian besar tradisi pemikiran Islam di sepanjang sejarah keberadaannya. Melihat pada keupayaannya ini, penulisnya telah berusaha menilai falsafah, sains dan teknologi berasaskan paradigma hikmah al-isyraqi. Karya ini juga memaparkan pengetahuan dan maklumat yang julung-julung kali diterbitkan. Justeru. pembaca wajar menatapinya untuk mengenali warisan kita dan untuk memanfaatkan dalam kehidupan seharian.
~ Bahagian khatimah buku ini…
Khatimah
Penyelidikan ini berdasarkan teks berjudul al-Jawahir al-Muntazhimat yang disusun oleh tokoh yang sangat berpengetahuan, Ahmad al-Sajā‘i. Karya ini mengandungi perbahasan bicara yang sepuluh (maqulat ‘asyara). Dari segi sejarah perkembangannya, perbahasan maqulat telah dimulakan oleh Aristotle, diikuti dengan penyelidikan oleh Porphyry, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Kant, Trendelenberg, Bonitz, Maier, Apelt, al-Balidi, al-Saja‘i, al-Attar, Muhammad Hasanain Makhluf, Yusuf Ali Yusuf, Sulaiman Abdul Fattah, Wan Ali al-Saulati seterusnya ke masa penulis (Ustaz Mohd Zaidi Abdullah). Ini menunjukkan maqulat tidak wajar sama sekali diketepikan sumbangannya kepada tamadun ilmu antarabangsa. Penulis menerima teks dengan ijazah daripada Tuan Guru Hj. Abdullah yang menerima daripada Syaikh Pak Da Eil yang mengkajinya dengan penuh minat dan teliti. Sepuluh Bicara atau pada sebutan penulis dinamakan Sistem Maqulat yang mana ia menurut pendapat segolongan ilmuwan adalah berunsurkan metafizik atau berisikan lojik menurut satu pendapat yang lain dan ada juga pendapat yang menjelaskan bahawa ia adalah pengantar bagi bidang-bidang ilmu pengetahuan, ialah teks penting yang dikuliahkan oleh ulama di al-Haramain. Di Makkah, ia telah diselidiki, antaranya, oleh Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, Syaikh Bakri Syata, Syaikh Muhammad Ali al-Maliki, Syaikh Pak Da Eil, Syaikh Yasin al-Fadani al-Makki. Pendapat yang terakhir, sebagai pengantar, telah disampaikan dalam kuliah khas atas sebab-sebab tertentu oleh Syaikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani al-Makki yang lebih dikenali di kalangan masyarakat Melayu di Makkah dengan gelaran Pak Da Eil kepada Tuan Guru Hj. Abdullah (Lubok Tapah).
Penyelidikan ini berdasarkan teks berjudul al-Jawahir al-Muntazhimat yang disusun oleh tokoh yang sangat berpengetahuan, Ahmad al-Sajā‘i. Karya ini mengandungi perbahasan bicara yang sepuluh (maqulat ‘asyara). Dari segi sejarah perkembangannya, perbahasan maqulat telah dimulakan oleh Aristotle, diikuti dengan penyelidikan oleh Porphyry, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Kant, Trendelenberg, Bonitz, Maier, Apelt, al-Balidi, al-Saja‘i, al-Attar, Muhammad Hasanain Makhluf, Yusuf Ali Yusuf, Sulaiman Abdul Fattah, Wan Ali al-Saulati seterusnya ke masa penulis (Ustaz Mohd Zaidi Abdullah). Ini menunjukkan maqulat tidak wajar sama sekali diketepikan sumbangannya kepada tamadun ilmu antarabangsa. Penulis menerima teks dengan ijazah daripada Tuan Guru Hj. Abdullah yang menerima daripada Syaikh Pak Da Eil yang mengkajinya dengan penuh minat dan teliti. Sepuluh Bicara atau pada sebutan penulis dinamakan Sistem Maqulat yang mana ia menurut pendapat segolongan ilmuwan adalah berunsurkan metafizik atau berisikan lojik menurut satu pendapat yang lain dan ada juga pendapat yang menjelaskan bahawa ia adalah pengantar bagi bidang-bidang ilmu pengetahuan, ialah teks penting yang dikuliahkan oleh ulama di al-Haramain. Di Makkah, ia telah diselidiki, antaranya, oleh Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, Syaikh Bakri Syata, Syaikh Muhammad Ali al-Maliki, Syaikh Pak Da Eil, Syaikh Yasin al-Fadani al-Makki. Pendapat yang terakhir, sebagai pengantar, telah disampaikan dalam kuliah khas atas sebab-sebab tertentu oleh Syaikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani al-Makki yang lebih dikenali di kalangan masyarakat Melayu di Makkah dengan gelaran Pak Da Eil kepada Tuan Guru Hj. Abdullah (Lubok Tapah).
Sebagai pengantar, sudah tentu menyentuh pelbagai bidang ilmu pengetahuan lain. Ini dapat dilihat dalam komentar yang disebut sebagai al-hasyiah. Dilihat pada komentar tersebut jelas melibatkan rujukan-rujukan yang lebih cenderung kepada karya-karya penting dalam perkembangan mazhab al-Isyraqi. Ini memudahkan penulis mencari asal-usul atau paradigma asas bagi pembentukan teks al-Jawahir ini. Sebagai pengukuhan, Tuan Guru Hj. Abdullah telah menjelaskan kepada penulis bahawa ia adalah sebahagian daripada siri teks Hikmah al-Isyraqi. Penulis bersyukur kerana telah dimudahkan untuk menjejaki hubungan keilmuan dari satu generasi kepada generasi berikutnya berdasarkan pewarisan sanad-sanad ilmu yang dimiliki oleh Syaikhul Islam Muhammad Zahid al-Kauthari, Syaikh Muhammad Salih Idris al-Kalantani al-Makki dan Syaikh Musnid Dunia Muhammad Yasin al-Fadani (atau Padang, Indonesia) al-Makki.
Penulis berkeyakinan bahawa teks ini berhubungan dengan segala bidang ilmu yang cuba dihampiri menerusi pengkajian maqulat. Dengan pemikiran-pemikiran kehikmahan yang tidak tersusun secara rapi yang terdapat dalam kitab-kitab yang diajar di al-Haramain itu dapat juga dikenalpasti bahawa pewarisan ilmu adalah dipupuk oleh satu mazhab falsafah yang dikenali dengan mazhab Isyraqi atau Hikmah al-Isyraqi. Mazhab ini telah berada lama di persada ilmu di dunia Islam tetapi amat jarang ada penulis yang mencuba untuk menerangkan dengan teliti tentang kewujudannya di medan keilmuan al-Haramain. Dalam buku ini, penulis telah cuba mengaitkan beberapa bidang seperti sumber ilmu, skop penyelidikan dengan tema-tema asas dan sistem maqulat serta tokoh-tokoh yang bertanggungjawab menyumbangkan idea-idea dalam satu jalinan ke arah pembentukan paradigma yang jelas.
Lebih menarik lagi, bentuk pemikiran sebegini dikuliahkan di Makkah, iaitu sebuah tempat yang menjadi tumpuan umat Islam serata dunia; haji dan umrah dikerjakan di sini. Tidak kurang ilmuwan-ilmuwan tersohor berada di sini. Dalam sepanjang sejarah selama empat belas hijrah pertama, ada insan-insan yang bersedia menjadi khadam ilmu tidak pulang selepas mengerjakan haji dan umrah untuk mempelajari ilmu-ilmu di situ. Telah menjadi fakta sama ada dalam tulisan penulis muslim dan non-muslim bahawa pencinta-pencinta ilmu pergi ke al-Haramain untuk mencapai tujuan tersebut termasuk yang datang dari Nusantara. Oleh itu, patut benar penulis berkeyakinan bahawa Hikmah al-Isyrāqi memang berada di persada dunia ilmu secara kukuh di Nusantara. Sehubungan dengan ini, tokoh yang mengajarkan Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman bahawa Hikmah al-Isyraqi diterima dalam pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Syaikh Pak Da Eil.
Namun, setelah pengajian secara berkitab yang diterima secara lisan dipinggirkan dalam arus perdana pendidikan maka Hikmah al-Isyraqi semakin pudar untuk difahami serta dihayati. Peminggiran ini berlaku mungkin kerana tekanan kehendak jiwa yang tidak murni atau cuba memenuhi tuntutan kebendaan atau terpesona dengan cara barat tanpa menyaringkannya dengan berhati-hati. Hidangan materialisme yang menjadi teras budaya hidup moden menghancurkan sikap pencahayaan dalam diri sebahagian umat Islam khasnya dan umat manusia amnya. Dapat disaksikan dalam sejarah yang lalu sikap materialisme menggugat serta disebarkan oleh pihak penjajah dengan perencanaan yang terancang. Yang menjadi pokok masalahnya, umat Islam tidak mampu menyaringkan serangan-serangan pemikiran tersebut sehingga terpedaya olehnya. Jati diri hampir pudar. Khilafah Uthmaniyyah turut menjadi mangsa akibat falsafah materialisme. Berikut, semakin merebak siri-siri reformasi diadakan dalam segenap urusan umat Islam atas alasan untuk meningkatkan potensi umat. Pada hemat penulis, di sinilah letak punca kegagalan demi kegagalan bagi umat Islam mengekalkan jati diri sehingga Hikmah al-Isyraqi tidak didengari dan tidak dikenali malah ada yang sanggup membid‘ahkannya. Berlainan dengan materialisme, Hikmah al-Isyraqi mengajak umat manusia bernaung di bawah payung kebijaksanaan akal budi yang berlandaskan wahyu yang mengambil berat tentang kepuasan rohani dan jasmani dengan martabatnya masing-masing; tidak mendatar tetapi menegak. Hikmah al-Isyraqi telah berjaya diselami oleh majoriti ulama-ilmuwan yang berautoriti pada setiap masa dan di setiap tempat. Hujjatul Islam al-Ghazali selaku tempat rujukan penting telah menzahirkan dalam bentuk tulisan beberapa prinsip Hikmah al-Isyrāqi dan dikembangkan oleh al-Imam Fakhruddin al-Razi. Seterusnya, diperkenalkan istilah al-isyraqi atau pencahayaan (illuminative) pada sebuah karya yang berjudul Hikmah al-Isyraqi oleh al-Suhrawardi. Teks ini dikatakan menjadi tumpuan sekaligus sebagai buku penting untuk memulakan sikap yang baru terhadap hierarki ilmu dan falsafah. Atas dasar ilmu, Qutbuddin al-Syirazi yang merupakan seorang hakim-saintis telah mengenalpasti keberadaan suatu sistem falsafah yang bersifat hikmah telah dan sedang berada di persada dunia ilmu umat Islam menerusi karyanya berjudul Syarh Hikmah al-Isyraq. Tokoh penghurai ini terdapat dalam senarai sanad ilmu di al-Haramain sebagaimana telah dipaparkan. Keistimewaan aliran falsafah ini, telah menarik minat seorang tokoh penting abad 9 Hijrah/15 Masehi yang dikenali dengan Jalaluddin al-Dawwani juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berhikmah dalam paradigma Isyrāqi lalu dianalisa secara teliti beberapa karya yang berkaitan dengannya sebagaimana telah disebutkan dalam tajuk yang berkaitan dalam buku ini. Sebenarnya pada peringkat Jalaluddin al-Dawwani paradigma Hikmah al-Isyraqi telah padu dan mantap. Dalam tradisi al-Haramain, beberapa teks penting dalam sistem ini dipelajari dengan baik oleh Abu al-Irfan al-Muhaqqiq Ibrahim al-Kurani al-Madani seterusnya diajar kepada pelajar-pelajarnya yang berkelayakan. Dalam era yang berhampiran dengan al-Kurani muncul Syaikhul Azhar Hasan al-Attar yang mencuba membina kecemerlangan ilmiah berdasarkan sistem Isyrāqi sebagaimana telah disebutkan. Sikap penelitian sebegini diikuti oleh Syaikh Muhammad bin Hasanain al-Maliki al-Azhari al-Syarqawi sebagaimana terlihat pada karyanya yang berupa huraian kepada al-Jawahir al-Muntazhimat. Sumbangan Al-Attar dan tokoh-tokoh yang menauladaninya diterima oleh ulama-ilmuwan hingga sampai ke medan ilmu di al-Haramain. Sebagaimana telah dibuktikan lalu terdapat guru-guru pondok yang menggunakan teks huraian beliau terhadap al-Jawahir al-Muntazhimat, kitab nahwu, kitab lojik, kitab usul fekah dan seumpamanya. Dalam pada itu juga, pengajian pondok juga telah terbukti peranannya dalam pengislaman manusia di rantau ini. Memanglah diakui bahawa kitab karya al-Farabi, Ibnu Sina, al-Suhrawardi, Qutbuddin al-Syirazi dan seumpamanya tidak dijadikan teks utama kuliah. Namun, yang paling penting pemikiran-pemikiran tersebut dipelihara dan diajar mengikut kesesuaian semasa. Pada tahap ini, para ulama secara bijaksana dan kreatif menggabungkannya dengan aqidah, fekah dan tasawwuf. Jalinan ini adalah penuh indah, yang memancarkan realiti dan hakikat. Dalam pengamatan yang berhati-hati dan teliti, sebenarnya tidak wujud tasawwuf-falsafah tetapi yang sepatutnya disebut sebagai al-hikmah atau tasawwuf-hikmah. Istilah tasawwuf-falsafah sebenarnya diluahkan oleh mereka yang cetek daya nur ilmunya, yang hanya mampu menilai secara harfiyyah atau literalnya sahaja bukan dari segi maknanya.
Dalam buku ini, penulis menumpukan kepada beberapa isu serta cuba menyelesaikan dalam ‘satu nafas’, mungkin mengundang kekeliruan jika tidak dibaca secara teliti. Antaranya, isu keberadaan Hikmah al-Isyraqi di Nusantara perlu disimpulkan di sini. Pada hemat penulis, keberadaan Hikmah al-Isyraqi di Nusantara tidak dikenali di rantau ini kerana penyelidik-penyelidik dalam penulisan-penulisan mereka tidak melakukan kajian dengan teliti atau kurang peka. Sumber atau kajian mereka tidak berkesinambungan dari abad ke abad. Sepanjang penelitian penulis terhadap buku-buku di pasaran didapati mereka lemah dari segi bahan rujukan yang sebenarnya dan yang sepatutnya. Hasilnya, boleh dikatakan mereka membina natijah di atas hujahan yang lemah. Buktinya, mereka tidak membaca karya-karya yang ditulis para guru ulama Nusantara silam itu sendiri, tetapi sekadar mengkaji pemikiran seseorang penulis itupun bergantung kepada teks yang ada sahaja. Jadi, untuk merumuskan keseluruhan pemikiran seseorang dengan cara begini amat tidak wajar sekali. Ini kerana sesebuah karya yang ditulis oleh ulama tidak semestinya mencerminkan itulah sahaja ilmu yang dipelajarinya buktinya boleh disaksikan pada masa kini di mana ilmu-ilmu yang dipelajari di universiti tidak semua diajar kepada orang ramai. Begitulah juga keadaan ulama dahulu, mereka hanya menyampaikan apa yang dapat difahami oleh penerima. Jadi, tidak perlu timbul persoalan bahawa tuan-tuan guru itu tidak belajar falsafah atau tiada pengajian falsafah di al-Haramain. Berdasarkan realiti keilmuan ini, penulis meninjau serta mengkaji kecenderungan-kecenderungan keilmuan di Asia Tenggara, serta al-Haramain dengan merujuk kepada karya tulis tokoh yang berautoriti dan berwibawa di al-Haramain itu sendiri sebagai tempat puncanya maka didapati dengan jelas bahawa pendapat Dr. Idris Zakaria atau golongan seumpamanya amat tidak berhati-hati. Oleh itu, ia tidak layak dijadikan kenyataan yang sah bagi mewakili dunia ilmu Nusantara bagi abad-abad lalu. Andainya dibiarkan sikap dan kajian sebegini maka akan mengundang banyak masalah dan krisis intelektual di kalangan masyarakat Islam khasnya dan masyarakat manusia umumnya.
Sejak munculnya gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab di Hijaz, umat Islam menerima satu lagi kejutan ilmiah. Gerakan ini berkrisis dengan para ulama al-Haramain pada ketika itu. Golongan ini digelar wahhabiyyah atau salafiyyah wahhabiyyah. Seterusnya, apabila mereka berjaya menduduki al-Haramain, sebagaimana yang dialami oleh Hafiz Wahbah, ilmu-ilmu Islam telah disempitkan tetapi nasib baik diabaikan oleh pimpinan politik yang berpendapat bahawa pendapat ulama golongan ini tidak berdasarkan hujah yang mantap. Ramai penyelidik Islam tidak menyedari dan menulis fakta ini dalam tulisan ilmiah mereka. Sepatutnya fakta ini dijadikan hujah pertama yang menghalang berlakunya perkembangan pengajian falsafah di bumi al-Haramain. Tambahan pula, mereka adalah ulama yang menaungi institusi agama di Arab Saudi, dan ini berlaku hingga kini dengan beberapa pendekatan yang agak berbeza dalam beberapa aspek sama ada dari segi ketegasan dalam sesuatu isu dan kelembutan dalam isu yang lain. Golongan ulama ini membid‘ahkan pengajian falsafah serta ilmu kalam. Kesan daripada fatwa ini tidak dapat tidak mampu mewujudkan golongan yang tidak mengerti dan tidak mahu mempelajari falsafah. Akhirnya, umat Islam mundur. Inilah realiti sebenarnya. Golongan ini tidak berusaha sedaya-upaya untuk pengislaman ilmu. Antara tokoh yang terperangkap dengan hujahan golongan ini ialah Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, yang banyak menulis berasaskan paradigma salafiyyah wahhabiyyah. Penulisan sebegini meningkatkan lagi pengaruh pendapat ulama salafiyyah wahhabiyyah sehingga ramai orang yang mempunyai otak bijak tidak berani mempelajari ilmu falsafah dan akhirnya, mewujudkan golongan ilmuwan Islam yang dangkal pengetahuannya. Gerakan ini lebih cenderung kepada Islam harfiyyah bukan maknawiyyah sedangkan Islam perlu dihayati dari aspek harfiyyah hingga aspek maknawiyyah. Akhirnya, untuk jadikan Islam sebagai cara hidup akan terabai kerana tiada kesepaduan antara ilmu dan tindakan. Inilah sebenarnya krisis yang sedang melanda umat Islam. Di harap golongan ini sedar.
Penulis juga menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih yang dijuluki sebagai pemimpin yang mendapat petunjuk kerana diisyaratkan oleh sabda RasululLah sebagai tokoh model. Sultan ini menyarankan kajian kefalsafahan dan tasauf, sains dan teknologi yang berasaskan Islam malah menyuburkannya. Jadi, sikap salafiyyah wahhabiyyah amat tidak relevan dengan semangat kesejagatan Islam.
Isu selanjutnya yang penulis cuba memberikan ‘jalan baru’ adalah dengan warisan itu sendiri boleh memandu untuk menghadapi arus pemikiran semasa. Dalam hal ini, penulis menggunakan paradigma Hikmah al-Isyraqi, dan sebagai pengujiannya, penulis cuba memberi respons kepada falsafah sains terutama dari segi fizik teori kini. Fizik sebagaimana dikatakan oleh sebahagian tokoh-tokoh sains adalah asas ilmu sains. Dan yang tersurat dalam banyak tulisan menyatakan umat Islam lemah dalam sains dan teknologi. Bagaimanakah ini terjadi dan apakah penyelesaiannya ?? Adakah wajar kita mengadili Hikmah al-Isyrāqi dengan falsafah kebendaan ?? Adakah semata-mata mengira dan bereksperimen itu dapat memperbaiki kualiti hidup muslim dan non-muslim tanpa etika, penghormatan terhadap hierarki ilmu dan seumpamanya. Untuk isu ini, penulis akan merumuskan dalam satu nafas juga. Beberapa abad lalu, kejayaan sains dan teknologi berjaya membentuk sekularisme hingga manusia memisahkan antara agama dan dunia akibat keangkuhan kenyataan tokoh-tokohnya seakan-akan Tuhan tidak berperanan dan segala-galanya ditanggap sebagai mekanik malah ada yang beranggapan Tuhan sedang berehat dan tidak masuk campur dalam urusan hukum-hukum alam setelah disediakan hukum untuknya. Dalam sains moden, didapati bahawa pengaruh falsafah sains Newton tidak dapat digugat sehingga muncul Albert Einstein yang tidak bertaklid kepada Newton tentang kemutlakan ruang dan masa. Pembebasan belenggu falsafah Newton telah berjaya membentuk teori kerelatifan dan penemuan teori ini banyak ditemui pula teori-teori baru. Falsafah Newton tentang kedua-duanya boleh dikatakan ‘helah akal’ menurut Hujjatul Islam yang tidak mampu ditepiskannya. Seterusnya, muncul pula mekanik kuantum yang lagi mencabar minda manusia. Penemuan antimatter contohnya, semakin membuka mata banyak pihak. Ini membuatkan mereka turut serta dalam perbincangan antara agama dan sains tidak setakat bermatematik dan bereksperimen. Dan, ini semakin wajar dilakukan. Antara tokoh yang melibatkan diri dalam bicara agama dan sains ialah Albert Einstein, Steven Weinberg, Freeman Dyson, Arno Penzias (Nobel Fizik 1978), Charles Townes (Nobel Fizik1964), dan beberapa orang tokoh lagi. Mereka berbicara soal-soal psikologi . . . . yang bersifat abstrak …. Dengan perkembangan ini juga, mana-mana orang yang tidak berpegang kepada ajaran agama atau menafikan alam ghaib atau alam lain atau ateis boleh dikatakan sedang mengalami ‘masalah’ kerana kekeliruan mereka. Ini kerana golongan anti-agama biasanya akan menggunakan hujah sains kononnya untuk menolak agama tetapi lupakah mereka bahawa pemikiran saintifik kini pun sedang mengalami ‘krisis’ dan bukan bersifat mutlak !!!
Keadaan ini memperlihatkan bahawa kita tidak sepatutnya bertaklid buta kepada sains masa sekarang tetapi perlu menjana kuasa pemikiran sains dan teknologi berasaskan jati diri umat Islam itu sendiri. Jadi, suatu sistem ilmu yang mengambil kira semua hierarki perlu dipertahankan, dan itu semua dalam khazanah Islam memang telah tersedia ada cuma perlu menokok-tambah mana yang perlu yang bersesuaian dengan arus semasa dengan saringan yang penuh teliti. Jadi, penulis mengharapkan dengan paradigma Hikmah al-Isyraqi, umat Islam dapat menempatkan diri dalam situasi yang sukar diganggu-gugat serta menerimanya dengan banyak kemanfaatan dan kegunaan. Hikmah al-Isyraqi yang didekati dengan penggabungan martabat hikmah ula, hikmah wusta dan hikmah asfal yang dihubungkan oleh hikmah teoretikal (nazhari) dan hikmah praktikal (‘amali) yang berpaksikan wahyu.
Segala sentuhan ini, berpotensi menyelesaikan ‘kemelut’ serta ‘krisis’ pemikiran saintifik moden serta mampu memperbaiki ‘kemelesetan’ etika. Umat Islam perlu berusaha memahami tamadunnya sendiri serta perlu juga mengetahui kecenderungan-kecenderungan semasa. Islam wajar ditonjolkan kepada seluruh umat manusia. Islam juga tidak memaksa mana-mana individu untuk memeluk Islam. Umat manusia perlu menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir tentang apakah sebenarnya kebenaran itu. Akhiran yang dicita-citakan oleh Hikmah al-Isyraqi yang dipengaruhi aspek dalaman iaitu sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala:
يَأَيَّتُهَا النَّفْسُ الـمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِـى إِلَـى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan
keadaan reda dan diredai.” – Surah Al-Fajr: 27-28
~ Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi AbdulLah Al-Shah ‘Alami ~
Ulasan Para Ilmuwan Tentang Buku Ini
"Saya lihat saudara Mohd Zaidi menyedari hakikat kegunaan dan kerelevanan Hikmah al-Isyraqi yang berbagai-bagai ... Selaras dengan ilmu dan kemampuan ilmiah yang ada padanya, beliau berusaha untuk menunjukkan kerelevanan Hikmah al-Isyraqi dengan perkembangan pemikiran moden."
~ Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar
(Malaysia Chair of Islam in Southeast Asia, Georgetown University, Washington D.C.)
"... Saya ucapkan syabas kepada Mohd Zaidi Abdullah kerana berjaya menghasilkan penulisan yang agak sukar dan bermakna ini untuk dipaparkan kepada para ilmuwan di Malaysia khasnya dan Nusantara amnya."
~ Prof. Madya Dr. Shahidan Radiman
(Pensyarah di Pusat Program Sains Nuklear UKM & Akademi Sains Islam Malaysia)
"Buku yang mampu mengangkat khazanah keilmuan tamadun Melayu-Islam ke tahap yang sama tinggi dengan perbahasan keilmuan dunia semasa, malah mungkin sekali mengatasinya."
~ Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir
(Pensyarah di Jabatan Matematik UKM & Akademi Sains Islam Malaysia)
~Terbitan: Kurnia Ilham Shah Alam Selangor
Tahun: 1425H/2004M
Harga: RM 37.00
STOK TERHAD!!!
untuk pesanan, hubungi: fathoniebest04@yahoo.com
~ Buku ini juga turut dijual di:
The Specialist Bookshop
Tingkat Tiga, KLCC,
Tel & Fax: 603-21663433
email: endbook@tm.net.my
Kinokuniyo
Tingkat Empat, KLCC.
Pustaka Indonesia,
Tingkat 2, Wisma Yakin,
Kuala Lumpur.
Hizbi
Seksyen 2, Shah Alam, Selangor
Syarikat Jaafar Rawas
Pejabat PAS Kota Bharu
Jalan Dato Pati
Kota Bharu, Kelantan
Syarikat Shidah
(Kedai Buku di Balai Berlepas)
KLIA
Tradisi Ilmu Sdn. Bhd.
10, The Right Angle, Jln. 14/22,
Seksyen 14,
46100 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-79557225
e-mel: tradisi@hotmail.com
Ulasan Para Ilmuwan Tentang Buku Ini
"Saya lihat saudara Mohd Zaidi menyedari hakikat kegunaan dan kerelevanan Hikmah al-Isyraqi yang berbagai-bagai ... Selaras dengan ilmu dan kemampuan ilmiah yang ada padanya, beliau berusaha untuk menunjukkan kerelevanan Hikmah al-Isyraqi dengan perkembangan pemikiran moden."
~ Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar
(Malaysia Chair of Islam in Southeast Asia, Georgetown University, Washington D.C.)
"... Saya ucapkan syabas kepada Mohd Zaidi Abdullah kerana berjaya menghasilkan penulisan yang agak sukar dan bermakna ini untuk dipaparkan kepada para ilmuwan di Malaysia khasnya dan Nusantara amnya."
~ Prof. Madya Dr. Shahidan Radiman
(Pensyarah di Pusat Program Sains Nuklear UKM & Akademi Sains Islam Malaysia)
"Buku yang mampu mengangkat khazanah keilmuan tamadun Melayu-Islam ke tahap yang sama tinggi dengan perbahasan keilmuan dunia semasa, malah mungkin sekali mengatasinya."
~ Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir
(Pensyarah di Jabatan Matematik UKM & Akademi Sains Islam Malaysia)
~Terbitan: Kurnia Ilham Shah Alam Selangor
Tahun: 1425H/2004M
Harga: RM 37.00
STOK TERHAD!!!
untuk pesanan, hubungi: fathoniebest04@yahoo.com
~ Buku ini juga turut dijual di:
The Specialist Bookshop
Tingkat Tiga, KLCC,
Tel & Fax: 603-21663433
email: endbook@tm.net.my
Kinokuniyo
Tingkat Empat, KLCC.
Pustaka Indonesia,
Tingkat 2, Wisma Yakin,
Kuala Lumpur.
Hizbi
Seksyen 2, Shah Alam, Selangor
Syarikat Jaafar Rawas
Pejabat PAS Kota Bharu
Jalan Dato Pati
Kota Bharu, Kelantan
Syarikat Shidah
(Kedai Buku di Balai Berlepas)
KLIA
Tradisi Ilmu Sdn. Bhd.
10, The Right Angle, Jln. 14/22,
Seksyen 14,
46100 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-79557225
e-mel: tradisi@hotmail.com
No comments:
Post a Comment