Dunia
Islam, sejak dari awal mula Islam tersebar hingga ke saat ini, tidak pernah
kekurangan tokoh ilmuwan dan sarjana dalam apa jua disiplin ilmu. Dalam setiap
bidang ilmu pasti akan ada tokoh berjaya di kalangan ilmuwan dan sarjana Islam.
Malah, ketokohan ilmu para ilmuwan dan sarjana Islam itu pula turut dikagumi
oleh para sarjana non-Islam dan Barat. Hasil karya dan apa sahaja penemuan
serta penyelidikan yang dilakukan oleh para ilmuwan dan sarjana Islam turut
diaplikasikan dalam sistem pengajaran dan menjadi silibus utama di Barat.
Para
ilmuwan dan sarjana Islam mempunyai personaliti yang cukup berketerampilan.
Perkara ini boleh dibaca dalam biografi dan autobiografi tentang mereka. Kejayaan
para ilmuwan dan sarjana Islam dalam mengungguli bidang keilmuan secara
bersepadu (gabungan antara ilmu-ilmu) adalah hasil pemahaman mereka tentang
anjuran membaca dan belajar sebagaimana disentuh oleh Al-Quran melalui surah
al-‘Alaq, ayat 1 sampai 5, dan ayat-ayat lain juga yang menjurus ke arah
memanfaatkan kemampuan akal fikir. Ayat surah al-‘Alaq ini juga adalah wahyu
pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Buku,
Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya ini memaparkan rangkuman kisah menarik
secara ringkas tentang proses pembelajaran dan budaya keilmuan para ilmuwan dan
sarjana Islam. Ia bermula daripada skop kisah tentang Nabi Muhammad s.a.w
sebagai tokoh personaliti unggul, disusuli oleh para sahabat agung, tabi’in,
dan para ilmuwan dan sarjana Islam selepas mereka.
Antara
kisah menarik para ilmuwan dan sarjana Islam yang turut disentuh dalam buku ini
ialah tentang Ibnu Khaldun, Ibnu Hazm, Ibnu Sina, al-Biruni, al-Jahiz,
al-Ghazzali, an-Nawawi, asy-Syafi’e, Ibnu Haytham dan lain-lain.
Perkara
yang tidak mungkin dibayangkan oleh pembaca ialah apabila membaca kisah tentang
pengembaraan ilmu atau travelog ilmu oleh para ilmuwan Islam yang menghadapi
pelbagai kepayahan dan kesukaran, tetapi tidak sedikit pun halangan yang
dihadapi oleh mereka itu melunturkan hasrat murni dan semangat juang mereka
yang cintakan ilmu.
Buku
ini sememangnya sesuai untuk bacaan yang berinspirasi bagi para pelajar.
Rangkuman beberapa kisah menarik tentang para ilmuwan dan sarjana Islam mampu mencetuskan
semangat baru dan mendorong para pelajar ke arah mencapai kejayaan dalam
pembelajaran. Buku ini juga sebenarnya sesuai untuk bacaan pembaca yang masih
mahu meningkatkan penguasaan ilmu dari semasa ke semasa tetapi kekurangan
inspirasi.
TAJUK
: Personaliti
Ilmuwan Islam Berjaya
PENULIS
: Muhammad Hafiz
Mat Tajudin
PENERBIT
: Pelima Media
Sdn. Bhd.
HARGA
: RM 12 (Semenanjung)
RM 14 (sabah dan Sarawak)
TEBAL
: 110 muka
surat.
LAMAN
WEB : http://www.pelima.com.my/media/
Boleh baca ulasan tentang buku ini di akhbar Kosmo, Isnin - 28 MEI 2012, muka surat 26, ruangan Buku.