Friday, July 16, 2010

PEKIK LOLONG


Pekik lolong pada empunya kuasa dunia

lakukanlah apa saja semahu dan selera nafsu

hingga sudah tak tersisa apa jua di sini -

di bumi yang tak pernah kunjung belas

persemadian anbia’ dan awliya’

yang tak pernah merasa angin bebas

di setiap luluh persada pertiwi bangsanya

dalam lolongan, tangisan dan amarah jasad kaku

yang membentak rasa, kian detik dan waktu.

Lakukanlah apa saja semahu dan selera nafsu;

Semangat dan azam bangsa Palestina

takkan pernah lenyap membara

selagi deru bayu menerpa kubah Aqsa

dan ibu-ibu masih melahirkan perwira agama.

Lakukanlah apa saja serakah iblis

di pada maya yang fana' ini

sehingga tika masanya nanti

datang ketetapan-Nya,

sebaik-baik makar adalah

dalam tadbir dan celupan-Nya.


- Sekilas bicara menghentam rasa.


~ Hafiz fandani

Mac – 30/2010

Rabi’ul Awal – 14/1431

Damansara.

Tuesday, July 13, 2010

PADUKA MUSTHAFA

O kekasih paduka Musthafa

seru kalammu memandu kami ke daerah mulia

tamsil peribadimu menuntun kami menuju redha Dia

selawat dan salam ke atas baginda kekasih tercinta

selama bayu timur dan barat masih mesra

menerpa dinding-dinding Kota Bercahaya.

~ Hafiz Fandani ~

Detik 2.30 pagi

2 Syaaban 1431

14 Julai 2010

Rabu

F-2/4 – Desa Mutiara.


Monday, July 12, 2010

CINTA


CINTA;

adalah rasa

yang menghunjam cita

jadi akar bahagia

menukar mawar berduri

jadi teratai mewangi.

~ Hafiz Fandani

Rabu

30 Jun 2010/ 17 Rejab 1431

Detik 4.50 petang

Desa Mutiara.

Saturday, July 10, 2010

MUKMIN HAKIKI


‘Ibrah Tuhan itu

penuh hikmah dan rahmah,

dan terlalu ni’mah

bila dihadamkan dengan hati

yang kejap redha sa’adah.

Mukmin hakiki –

dalam benaknya

sentiasa bertawajjuh

pada segala takdir

dan ta’bir Tuhan.

Tidak sekali pun terbenih su’uzzhon

dan yang hanya menyelinap

di jiwa fana’nya

adalah keindahan

dan kasih sayang Tuhan.


~ Hafiz Fandani

Sabtu

29 Mei 2010/ 15 Jamadilakhir 1431

Detik 4.18 petang

Damansara.

JALINAN


Di mana sahaja terdapat embun cinta –

ke situlah mengalirnya hawa rindu;

Di mana sahaja berdenyut nafas kehambaan –

di situlah akan adanya hakikat keTuhanan.


~ Hafiz Fandani

Jumaat

4 Jun 2010/ 21 Jamadilakhir 1431

Detik 10.03 malam

Damansara.

Related Posts with Thumbnails