Friday, May 28, 2010

GURUKU

[Memori Terindah [Gambar tahun 1966-1970]: Madrasah yang banyak meninggalkan kesan dalam diriku. Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh guru-guru yang mendidik diri ini, sama ada yang masih hidup atau telah kembali ke rahmatulLah. Jasa kalian sentiasa tersemat di ingatan. ~ HF.]


Guruku
terpandang raut wajahmu
terpancar sinar kebahagiaan
nurani tenang kekal di ingatan
di situ terukirnya nilai keikhlasan
di situ terpahatnya nilai ketabahan
di situ terpasaknya nilai keazaman
di situlah jua lahirnya wibawa seorang ilmuwan

Guruku
dirimu menjadi ikutan
mewarisi bakat Rasul Junjungan
memimpin warisan nusa zaman-berzaman
mendidik anak bangsa khazanah keilmuwan
menghidupkan akal budi nilai ketauhidan
menyuburkan jiwa yang mati asas ketaqwaan
bagai bumi gersang disirami hujan

Guruku
pada dirimu ada keadilan
sama rasa sama rata buat anak watan
tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan
itulah pengorbananmu asas perjuangan
menjadi dambaan dalam mencari rahmat Tuhan

Guruku
salam dihulur doa dipanjatkan
agar kesihatan dan usia berpanjangan
kata hikmahmu tetap menjadi pedoman
dulu, kini dan selamanya dalam pengabdian.

~ Hafiz Fandani
Ahad - 27 Julai 2008
Khazanah Fandaniyah
Kedah Darul Aman.

- Puisi yang pernah kubacakan suatu masa dulu, di depan perhimpunan sekolah bersempena Sambutan Hari Guru bersama-sama ayahanda al-Fadhil Ustaz Zainol Abidin bin Syamshudin. Kenangan yang takkan pernah dilupakan seumur hayat. Terima kasih Guruku. ~ HF.
Related Posts with Thumbnails