Thursday, September 13, 2012

DI MASJID NIU JIE




Aku damai kala melangkah masuk, ketenangan menyapa seusai salam.
Iringan takbir, Fatihah, dan tahiyat; peneguh jati diri kehambaan.
Jauh ke tanah besar, kembara iman menyatu kasih mengikat janji; rasa menyatu rasa.
Takkan kesunyian aku, jika di sini ada sekeping hati Bilal, sekental Asiah.
Ke mana pun aku menghadap dan menapak akan ada sulur cahaya, meski di sini, adakala ketelusan dipijar api sangsi.
Maha SuciMu Allah; kalbuku luluh, tebing mataku lusuh. Sejauh ini aku menjadi saksi, keagunganMu menyapa siapa dan apa sahaja; kebenaran adalah kemutlakan. 
Keyakinan menyatu dalam kerut dan kedut angin. 

Hafiz Fandani
2012
Niu jie, China.

GEMA MASJID NIU JIE


Bicara dijulang tanpa suara
Dalam semarak api, jiwanya bahagia
Kerdil diri di tanah besar
keyakinan tidak pernah tersasar. 

Hafiz Fandani

[Gambar : Bersama Imam Yusof dalam Masjid Niu jie - 2012]

Monday, May 28, 2012

Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya – Rangkuman Travelog Tokoh Unggul


Dunia Islam, sejak dari awal mula Islam tersebar hingga ke saat ini, tidak pernah kekurangan tokoh ilmuwan dan sarjana dalam apa jua disiplin ilmu. Dalam setiap bidang ilmu pasti akan ada tokoh berjaya di kalangan ilmuwan dan sarjana Islam. Malah, ketokohan ilmu para ilmuwan dan sarjana Islam itu pula turut dikagumi oleh para sarjana non-Islam dan Barat. Hasil karya dan apa sahaja penemuan serta penyelidikan yang dilakukan oleh para ilmuwan dan sarjana Islam turut diaplikasikan dalam sistem pengajaran dan menjadi silibus utama di Barat.

Para ilmuwan dan sarjana Islam mempunyai personaliti yang cukup berketerampilan. Perkara ini boleh dibaca dalam biografi dan autobiografi tentang mereka. Kejayaan para ilmuwan dan sarjana Islam dalam mengungguli bidang keilmuan secara bersepadu (gabungan antara ilmu-ilmu) adalah hasil pemahaman mereka tentang anjuran membaca dan belajar sebagaimana disentuh oleh Al-Quran melalui surah al-‘Alaq, ayat 1 sampai 5, dan ayat-ayat lain juga yang menjurus ke arah memanfaatkan kemampuan akal fikir. Ayat surah al-‘Alaq ini juga adalah wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Buku, Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya ini memaparkan rangkuman kisah menarik secara ringkas tentang proses pembelajaran dan budaya keilmuan para ilmuwan dan sarjana Islam. Ia bermula daripada skop kisah tentang Nabi Muhammad s.a.w sebagai tokoh personaliti unggul, disusuli oleh para sahabat agung, tabi’in, dan para ilmuwan dan sarjana Islam selepas mereka.

Antara kisah menarik para ilmuwan dan sarjana Islam yang turut disentuh dalam buku ini ialah tentang Ibnu Khaldun, Ibnu Hazm, Ibnu Sina, al-Biruni, al-Jahiz, al-Ghazzali, an-Nawawi, asy-Syafi’e, Ibnu Haytham dan lain-lain.

Perkara yang tidak mungkin dibayangkan oleh pembaca ialah apabila membaca kisah tentang pengembaraan ilmu atau travelog ilmu oleh para ilmuwan Islam yang menghadapi pelbagai kepayahan dan kesukaran, tetapi tidak sedikit pun halangan yang dihadapi oleh mereka itu melunturkan hasrat murni dan semangat juang mereka yang cintakan ilmu.

Buku ini sememangnya sesuai untuk bacaan yang berinspirasi bagi para pelajar. Rangkuman beberapa kisah menarik tentang para ilmuwan dan sarjana Islam mampu mencetuskan semangat baru dan mendorong para pelajar ke arah mencapai kejayaan dalam pembelajaran. Buku ini juga sebenarnya sesuai untuk bacaan pembaca yang masih mahu meningkatkan penguasaan ilmu dari semasa ke semasa tetapi kekurangan inspirasi.       

TAJUK : Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya
PENULIS : Muhammad Hafiz Mat Tajudin
PENERBIT : Pelima Media Sdn. Bhd.
HARGA : RM 12 (Semenanjung) RM 14 (sabah dan Sarawak)
TEBAL : 110 muka surat.


Boleh baca ulasan tentang buku ini di akhbar Kosmo, Isnin - 28 MEI 2012, muka surat 26, ruangan Buku. 

Saturday, April 21, 2012

Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam, Tokoh Personaliti Unggul


Apabila ditanya, siapa tokoh teladan paling unggul? Sudah pasti di benak dan fikiran seorang Islam yang beriman, akan terlintas nama sosok agung ini, iaitu Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Nabi Muhammad adalah manusia unggul yang tidak ada tolok bandingnya. Keunggulannya melayakkan Baginda menjadi tokoh teladan sepanjang zaman.

Nabi Muhammad adalah personaliti unggul yang sentiasa menyeru umat Islam supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Perkara ini amat jelas apabila diteliti dalam setiap sabdaan Baginda melalui hadis-hadis yang berkaitan persoalan ilmu dan keutamaannya. Hadis-hadis itu menjadi inspirasi dan dorongan kuat kepada umat Islam dalam memajukan diri dan bangsa dengan keutuhan ilmu. Sementelahan pula, Nabi Muhammad sendiri adalah utusan Allah yang ditugaskan untuk membimbing manusia menuju jalan kebenaran.

Bermula dengan asas dorongan semangat daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam itu, umat Islam – khususnya para sahabat, pada zaman awal Islam terus mengorak langkah menuntut ilmu, terutamanya melalui bimbingan dan didikan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri sebagai guru utama.

Perlu diketahui, sungguhpun Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi (tidak mampu membaca dan menulis) dan tidak pernah pun mempelajari sebarang ilmu daripada siapa pun, namun Baginda adalah seorang Rasul utusan Allah yang diberikan keistimewaan dengan dianugerahkan oleh Allah ilmu dan hikmah yang tidak pernah dimiliki oleh siapa pun sebelumnya. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya : “Dan Dia (Allah) mengajarkanmu (Muhammad) tentang apa yang tidak engkau ketahui. Itu adalah kurniaan Allah yang begitu agung kepadamu.” – (Surah an-Nisa’, ayat 113). 

Nabi Muhammad mendidik para sahabat dengan kaedah didikan yang terbaik. Baginda menyampaikan satu-satu ilmu dengan gaya bahasa yang fasih, fakta yang tepat, tutur kata yang lembut dan menyenangkan jiwa, serta penuh kasih sayang, di samping Baginda menampilkan contoh teladan dan akhlak yang terbaik dalam memberikan didikan. Keperibadian Baginda dalam aspek perilaku, tutur kata, dan pengakuan tertentu adalah suatu didikan yang begitu berkesan. 

Melalui bimbingan dan didikan Nabi Muhammad, lahirlah para sahabat yang menjadi anak didik berwibawa seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, dan Saidina Ali yang digelar ‘kota ilmu’. Begitu juga, para sahabat yang lain – meskipun pada awalnya sahabat itu hanya seorang khadam atau pembantu Nabi - seperti Saidina Anas bin Malik, tetapi oleh kerana sentiasa bersama Nabi dan mendapat bimbingan Baginda, Saidina Anas akhirnya terkenal sebagai seorang ilmuwan dan sarjana Islam yang dikagumi banyak orang.    

Saidatina Aisyah, isteri Nabi yang amat dikasihi juga adalah antara insan yang banyak mendapat bimbingan dan didikan Nabi Muhammad selain isteri-isteri Baginda yang lain. Saidatina Aisyah dikenali dalam kalangan para sahabat sebagai perempuan dan isteri Nabi yang paling pakar dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat yang lain, terutamanya beliau dijadikan rujukan utama oleh kaum perempuan dalam menangani permasalahan yang melibatkan hal-hal kewanitaan. 

Kejayaan dan keunggulan para sahabat dalam menuntut ilmu khususnya, memperlihatkan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang pendidik yang bijaksana dalam melahirkan generasi Islam yang unggul dan berwibawa. Selain Al-Quran dan hadis, sejarah juga jelas memaparkan banyak fakta yang menunjukkan betapa Nabi Muhammad adalah seorang pendidik yang hebat. Kehebatan Nabi Muhammad dalam mendidik dan membangunkan jati diri para sahabat dengan sistem pendidikan kenabian membuktikan Baginda jauh lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh pendidik sepanjang sejarah pendidikan dunia.  

Sistem pendidikan yang diterapkan oleh Nabi Muhammad berjaya membangunkan satu generasi umat yang berilmu dan beradab. Prestasi sistem pendidikan Rasulullah itu boleh dibuktikan dengan melihat dan membandingkan keadaan para sahabat sebelum belajar dengan perubahan yang mereka alami selepas dididik dalam sistem itu. Keperibadian dan ketinggian ilmu para sahabat menjadi bukti kukuh dalam mendokong Nabi Muhammad sebagai personaliti unggul.              

Generasi terbaik para sahabat yang dididik dan dibimbing oleh Nabi Muhammad itu pula, seterusnya menjadi generasi pendidik kepada para ilmuwan dan sarjana Islam dalam kalangan tabi’in iaitu generasi selepas generasi para sahabat. Generasi tabi’in itu seterusnya pula turut menjadi generasi pendidik kepada generasi tabi’ tabi’in atau atba’ tabi’in iaitu generasi selepas generasi para tabi’in. Begitulah seterusnya, kesinambungan ilmu daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain, melengkapkan legasi keilmuan yang dibawa oleh Nabi Muhammad berterusan dijaga dan diamalkan oleh generasi terbaik dalam kalangan umat Islam hingga ke hari kiamat. 
     
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam : “Sesungguhnya Allah tidak mengutuskanku sebagai orang yang menyusahkan dan merendahkan orang lain. Tetapi Allah mengutuskanku sebagai seorang guru (pendidik) dan pemberi kemudahan.” – (Hadis riwayat Imam Muslim).

(Petikan daripada buku Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya : Rangkuman Travelog Tokoh Unggul, karya terbaru saya yang bakal diterbitkan) 

Sunday, March 18, 2012

KAU YANG BERWAJAH DUA

Detak kata sudah lebur dianyam angin mawas, sudah berbaur lendir dan meruap masam. Nadi makruf sudah keterasingan bagai ajam yang tidak seakrab mesra dulu.

Sukar benar mengharap keikhlasan berandang seperti waktu kecur embun meruap segar, pada jantung tua dan dada kobar segala murba.

Desah citamu sudah tidak beranta dulu, waktu saga darah sedingin salju. Melepak hasratmu sudah tidak semelepak dulu, waktu getar nafas sebening embun.

Kemana lenyapnya gema Qurani, rumpun insani? Sudah tidak bertunas lagikah? Mudah benar kau gecar angan mayapada, kau berwajah dua - citra murni sudah dikecar buas.

Adakah kau maklum, lidahmu sudah terlalu lama tercelur nista? Aku sangat pasti, kau tahu tentang itu. Ah! Kau cuba menafikannya. Aku, dia dan mereka tahu jangkahmu kahar pendekar. Kami akui. Tapi sayang berabad sayang, gagasanmu tohar, sewaktu kau cuba membakar dingin malam, dan mendingin terik siang.

Hafiz Fandani

Sabtu

Detik 7.28 malam

28 Januari 2012 / 4 Rabi’ul Awwal 1433

Serdang.

MENYIRAT CINTA HAQIQI - SAJAK KE PUNCAK MUNTAHI


KEMALA : MENYIRAT CINTA HAQIQI - sebuah antologi yang menghimpunkan lebih 200 sajak, puisi, pantun oleh sekalian penulis terkenal seNusantara yang diterbitkan oleh Insandi Sdn. Bhd.

Sajak Pak Darma Mohammad iaitu Menjilid Hujan dan sajak saya, Ke Puncak Muntahi turut tersenarai dalam antologi ini.


Bening diri

menggelintar gemawan nafas

bagai gemeresik adagio

damai merinci fuad


Jenang hayat menyimpai atma

berjejal lafaz jihar dan sirr

melebur hijab berbilur pekat

menyejat iri


Kolong iblis berceceran

dipijar nafi dan isbat

direkat zuhud dan syuhud


Di balik birai salik

nafsu berwalang rasa

hakikat melesat

dari ubun ke teras sulbi

menyirat dalam menyurat makna


Antara wajah dan jihat

geluk rasa mengeluk aden

ke puncak muntahi

wilayah paling sani


Naskah ini sudah dilancarkan sempena Malam Dana Numera Malaysia di Seri pentas TV3 pada 24 Februari yang lalu.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan naskah ini, boleh terus membelinya daripada SN Dato' Kemala di Rumah 321, Jalan Sepakat 8,Taman United, 58200 Kuala Lumpur atau di pejabatnya di FBMK, UPM Tingkat 2, Bilik No. 226.

Naskah yang berharga RM 50 ini juga boleh dibeli di Kedai Buku Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hafiz Fandani.

Thursday, January 19, 2012

INGATLAH ALLAH, ALLAH PASTI MENGINGATI KAMU


Jiwa-jiwa bagai Syurga mawar

namaMu ajaib, mekar di pepohonan abadi

butir keyakinan sentiasa menguning mesra;

rumput tidak pernah mengunci bibirnya.

~ Hafiz Fandani ~

______________________________


Abi Sa’id Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Kata Nabi Musa ‘alaihissalam :

“Wahai Tuhanku, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dapat aku berzikir dan menyeruMu dengannya,” Jawab Allah: “Katakanlah: “La ilaha illallah.” Musa bertanya: “Wahai Tuhanku, semua hambaMu berkata demikian.” Ujar Tuhan: “Katakanlah: “La ilaha illallah.” Musa berkata: “Apa yang saya minta ialah suatu yang khusus bagiku (seorang) sahaja.” Allah berfirman: “Wahai Musa, andainya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi berada dalam satu timbangan, nescaya timbangan La ilaha illallah akan mengatasi berat timbangannya.”

(Riwayat al-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Firman Allah, maksudnya :

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada azab neraka.”

(Surah Ali-‘Imran, ayat 191)

Ingatlah Allah, Allah akan mengingati kita.

Hafiz Fandani

Serdang.


Sunday, December 25, 2011

KATEGORI ULAMA DAN KEMULIAAN KEDUDUKANNYA


Daripada Anas (bin Malik) r.a, bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Ulama itu ada tiga golongan :

Pertama - ahli ilmu yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup (mengambil manfaat) dengan ilmunya.

Kedua - ahli ilmu yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya, tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya).

Ketiga - ahli ilmu yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya), tetapi masyarakat tidak mengambil manfaat dengan ilmunya."

- (Hadis riwayat ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus).

Tambahan :

Daripada Ali bin Abi Thalib karamallahu wajhah, berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Orang yang paling baik itu ialah orang yang 'alim (atau faqih tentang agama). Jika dia diperlukan, maka dia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan sekiranya dia tidak diperlukan, maka dia mencukupkan dirinya sendiri (maksudnya tidak menyusahkan orang lain)." - (Hadis riwayat Razin)

Kedua-dua hadis ini dipetik dari 40 Hadis Kelebihan Ilmu dan ‘Ulama oleh KH. Muhammad Syukeri bin Unus al-Banjari.

Refleksi :

Orang 'alim atau ahli ilmu itu, kehidupannya begitu diberkati Allah, bahkan makhluk lain pun, sama ada di lautan, di darat atau di langit turut mendoakannya (ini sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis). Dirinya sentiasa memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada makhluk lain. Keberadaannya dapat memberikan pedoman berguna kepada manusia khususnya dan makhluk Allah lain pun turut sama beroleh manfaat. Sebaliknya, orang yang jahil itu akan sentiasa membuat kerosakan kerana kejahilannya. Maka selayaknya, orang yang 'alim atau ahli ilmu itu memimpin manusia, mentadbir alam ini sesuai dengan kelayakannya sebagai manusia berilmu.

Wallahu 'alam.

Hafiz Fandani

Serdang.

Thursday, December 22, 2011

RELAKAN DIRI DIBUANG KAWAN ASAL AGAMAMU DIPERTAHANKAN


Sudah menjadi lumrah, dalam memperjuangkan agenda kebenaran akan ada halangannya, ini termasuklah daripada rakan-rakan terdekat dan bahkan paling akrab dengan kita sekalipun. Di sini, sukalah untuk diperingatkan :


Jika kita dibuang kawan atau diketepikan mereka oleh sebab tegar mempertahankan kebenaran dan keutuhan agama, percayalah; akan ada kawan lain yang pasti ditakdirkan Allah bersama kita jika mereka pun sama berprinsip teguh seperti kita. Jika tidak ada sekalipun kawan yang sudi mendekati kita dan rasa khuatir dirinya juga akan dipinggirkan, usahlah bersedih dan berhati nestapa – tetaplah teguh berdiri dan hidup dengan jiwa besar seorang yang beriman. Perjuangan seorang yang berjiwa beriman tidak akan pernah untuk tunduk dan menyerah kalah.





Kedamaian hati bukan disebabkan oleh disanjungi dan diterima khalayak ramai, tetapi bagaimana kita teguh konsisten dengan panji-panji kebenaran dan keutuhan dalam beragama - itulah kedamaian sebenar. Allah sentiasa bersama untuk kita merasa didampingi dan diredhai asalkan kita tidak berpatah arang dalam memperjuangkan kehendak-Nya. 




Dititipkan untuk nota renungan.




Hafiz Fandani

Bangi

KEUTUHAN PANJI-PANJI KEBENARAN DAN DIBENARKAN ALLAH


'Panji-panji kebenaran' mungkin dapat dirobek-robek tetapi bukan untuk selama-lamanya. Malah realiti hari ini pun sedang memaparkan perlakuan merobek-robek itu berlaku di mana-mana, tanpa ada secuil rasa segan silu dan rasa bersalah apalagi untuk insaf, sebaliknya dibanggakan pula perlakuan tersebut. 



Biarpun ia mahu dirobek dan akan terus dirobek sekalipun, 'panji-panji kebenaran' akan tetap berada atas landasan yang benar lagi dibenarkan Allah. Akan ada pula pendokongnya di samping wujud perobek pada lumrahnya. Setiap yang dibenarkan Allah mempunyai ciri-ciri kemenangan hakiki, sekalipun hakikat pemaparannya bukan di dunia ini.

‘Panji-panji kebenaran’ itu bolehlah ditamsilkan dalam konteks ini, seperti kata Sa’di bahawa emas, walaupun dilontarkan ke dalam lumpur yang kotor dan busuk tetap emas; dan debu, walaupun ditiup ke langit biru tetap debu. Atau seperti kata Jami’ :“Seseorang itu bukan dia mulia kerana kedudukannya; bahkan kedudukannya menjadi mulia kerana kemuliaan dirinya.”



Kebenaran itu mulia sekalipun dimomokkan dengan kepalsuan. Cahayanya akan memancar kerana sifat kebenaran itu yang sudah utuh bercirikan kemuliaan, berbanding kebatilan sekalipun ditatah intan permata.

Hafiz Fandani
Bangi

Thursday, December 15, 2011

FAHAM POLITIK PUTERA MELAYU ULUNG



Membaca latar kehidupan Profesor Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi cukup secara jelas menggambarkan beliau seorang yang warak dan begitu aktif dalam arena politik. Perjuangan beliau adalah untuk memartabatkan ketinggian agama, kemerdekaan negara dan keutuhan anak bangsa. Hasil daripada pembacaan yang mendalam tentang politik, gerakan Islam, pendidikan dan sebagainya, menjadikan beliau begitu teguh tentang agama, bangsa dan negara.

Bagi Dr. Burhanuddin, politik ialah alat kepada agama. Hal ini kerana politik itu boleh berubah-ubah tetapi agama tidak sama sekali, ia akan tetap. Kenyataan ini ditegaskan oleh beliau dalam karyanya Agama dan Politik pada tahun 1954:

“Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama.” - (Kamarudin 1980: 158)

Refleksi

Untuk tatapan anak bangsa, sudah sewajarnya erti perjuangan beliau selaku tokoh putera Melayu ulung dalam memahamkan anak bangsanya tentang perjuangan sebenar tidak disalahertikan, diseleweng maksud dan diperdagangkan demi apapun selain Allah, agama, negara dan anak bangsa. Perjuangan yang benar sewajarnya ditatang dengan kebenaran, apalagi kebenaran yang dijulang itu adalah memperjuangkan kesucian Islam, disusuli keamanan negara dan jati diri anak bangsa. Politik sebagai alat tidak akan benar dalam memperjuangkan agama selagi agama tidak menjadi pengukur dan pedomannya.

____________________________

Mencari erti perjuangan jiwa merdeka jauh-jauh ke ufuk paling dalam.


Hafiz Fandani
Serdang

LEGASI PUISI DR. BURHANUDDIN AL-HILMI



“Di atas runtuhan kota Melaka,
kita bangunkan jiwa merdeka,
bersatulah Melayu seluruh baka,
membela hak keadilan pusaka...”

Puisi ini pada suatu masa dahulu sering diungkapkan bagi menaikkan semangat perjuangan orang-orang Melayu supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris. Ia merupakan ungkapan Profesor Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi sewaktu menyampaikan ucapan perdananya dalam Kongres ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka pada tahun 1946. Oleh sebab pengaruh puisi ini yang begitu meluas di kalangan pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air, Profesor Dr. Hamka mengabadikannya dalam buku Dari Perbendaharaan Lama (1981:174).

Refleksi

Jiwa merdeka perlu dibangunkan dan diberikan nafas baru meskipun bumi pertiwi sudah tidak terjajah. Penjajahan akal fikir dan jiwa akan sentiasa berlaku lantaran pengaruh budaya asing yang sering disusup masuk secara disedari ataupun tidak. Perang saraf adalah unsur serangan halus dan sering diadunkan secara pakej dalam segenap aspek kehidupan. Perlu dibangunkan ketahanan jiwa, kemantapan ilmu dan akal ubudiah sebagai benteng.

Hafiz Fandani
Serdang

Wednesday, December 14, 2011

Peringatan 100 Tahun Gemulah Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi


Tahun ini adalah genap 100 tahun kelahiran Prof. Dr. Burhanuddin al-Hilmi atau al-Hulaimi (lahir November 1911-2011), peniup semangat kemerdekaan Melayu dan perjuangan Islam yang hebat dan disegani itu. Beliau juga adalah antara perancang kemerdekaan Malaya berdasarkan konsep Melayu Raya.

Bagi mengenang jasa bakti beliau kepada anak bangsa dan bumi Malaya tercinta ini, adalah baik pihak-pihak yang berkemampuan dan ada hubungkait rapat dengan beliau mengadakan majlis memperingati perjuangan beliau supaya dapat diketahui dan dikenang oleh anak bangsa di bumi pertiwi ini. Walaupun pada kelazimannya, majlis memperingati tokoh berjasa diadakan genap tahun kematian, tetapi tidak mengapa jika mengenang jasa beliau pada genap tahun kelahiran. Beliau meninggal dunia pada tahun 1969.

Al-Fatihah.

Thursday, December 8, 2011

TELAGA + BUDI = TELAGA BUDI


Telaga amat sinonim dengan masyarakat Melayu. Ia menjadi salah satu keperluan bagi mendapatkan sumber air. Untuk mendapatkan sumber air paling bersih, telaga perlu digali sedalam-dalamnya. Makin dalam telaga itu digali, makin bersih air yang terpancar darinya.

Refleksi :

Di sini, telaga dianalogikan dengan lubuk hati manusia yang menjadi sumber bagi pencarian abadi, nur hidayah dan kesedaran tinggi dalam mencapai status kehambaan paling layak di sisi Allah. Perihal menggali telaga dimisalkan juga hal keadaan hati – paling kerap ia digali dan digilap, maka makin terserlah bakat kesucian dan kemurnian hati – itulah telaga budi.

Lubuk hati atau apa yang dinamakan telaga budi ini juga nanti akan dibawa menghadap Tuhan Rabbul Jalil di Mahkamah Agung kelak sebagai ‘hati yang sejahtera sentosa’.

_____________________

Kita menghadap Allah kelak tidak pun membawa segala apa yang dimiliki, sekalipun anak isteri, harta benda, juga pangkat dan darjat. Apa yang perlu kita bawa hanyalah 'sekeping hati' yang apakah 'sejahtera sentosa' atau 'qalbin salim'?

Jika hati kita ini mencapai taraf 'sejahtera sentosa', maka itulah mahligai bahagia kita - menurut penilaian di sisi Allah.

Hafiz Fandani

Serdang

Wednesday, December 7, 2011

PERIHAL IKHLAS DAN BENAR DALAM BERKARYA


Tanpa keikhlasan yang tulus dan benar dalam berkarya tidak mungkin sesebuah karya akan kekal hingga menjadi tatapan khalayak sampai bila-bila, dan menjadi sebuah karya yang evergreen atau mempunyai jangka hayat yang panjang. Hanya sebuah karya yang benar sahaja akan disayang Allah dan dipelihara-Nya. Inilah rahsia dan kekuatan sesebuah karya yang bermartabat - karya yang hanya menyampaikan makruf.

Lazimnya yang makruf dan benar itu menyokong ajaran Allah. Menyokong ajaran Allah itu bermakna menolong agama Allah. Ini adalah mafhum atau maksud daripada firman Allah dalam Al-Quran.

Karya-karya agung para ilmuwan-ulama terus ditatap hingga kini, bahkan pada masa akan datang pun. Meskipun karya mereka adakalanya berdepan mehnah dan tribulasi, ia akan terus dipelihara Allah atas dasar kebenaran yang ditatangnya [karya itu]. Ini seperti apa yang terjadi kepada karya al-Ghazzali yang pernah suatu masa dahulu ingin dilenyapkan dengan perintah dibakar. Namun, jaminan Allah atas kebenaran karyanya itu, ia terus kekal ditatap orang hingga kini. Allah sahaja Maha Mengetahui.

Hafiz Fandani

Desa Serdang

HANYA SEMATA UCAPAN 'SALAM'


Pada suatu hari, Thufail bin Ka’ab bertemu Abdullah bin Umar atau Ibnu Umar. Mereka berdua seiring menuju ke pasar. Sewaktu di pasar, pada setiap kali Ibnu Umar melewati orang yang sedang sibuk dengan urusan jual beli, ataupun sesiapa sahaja yang beliau terserempak, tidak mengira apa status sosial dan kerjaya mereka, beliau akan mengucapkan salam kepada mereka semuanya.

Kelakuan Abdullah bin Umar itu, sedikit menimbul tanda tanya kepada Thufail. Sejak sampai ke pasar, Abdullah bin Umar belum pun membeli apa-apa barang. Sangka Thufail, Abdullah ingin membeli barang keperluan. Tetapi sebaliknya, Abdullah bin Umar hanya melemparkan senyuman dan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja yang terserempak.

“Apa sebenarnya tujuan kamu ke pasar ini?” Tanya Thufail bin Ka’ab yang sejak tadi hanya berdiam diri dan memerhatikan sahaja kelakuan Abdullah bin Umar. Thufail ingin tahu, apa sebenarnya tujuan Abdullah bin Umar berbuat demikian.

“Saya lihat kamu tidak membeli sesuatu apapun, bertanyakan harga barang, tawar-menawar, ataupun duduk di suatu pertemuan pun tidak juga?”

Thufail bin Ka’ab merenung Abdullah Ibnu Umar dengan penuh tanda tanya.

“Thufail, saya datang ke pasar ini cuma ingin mengucapkan salam. Saya akan mengucapkan salam kepada semua orang yang saya jumpa,” ujar Abdullah bin Umar ringkas sambil menguntumkan senyuman.

Refleksi :

Abdullah bin Umar ke pasar semata-mata mahu menebarkan ucapan salam. Indahnya akhlak sahabat Rasulullah.

Seharusnya, kita pun begitu juga. Tebarkan salam dan sampaikan makruf, walaupun hanya sepatah kata.

Hafiz Fandani

Bangi.

Friday, December 2, 2011

PERIHAL MENGUNGKAPKAN PATAH KATA


Menulis ataupun berkata-kata yang baik-baik itu suatu sunnah. Suatu ajaran Rasulullah. Apabila ia sunnah, ia berpahala. Maka pahala akan berganda selama mana, sunnah yang baik-baik itu menjadi ikutan dan menjadi cerapan dan ikutan orang lain pula.

Berkata-kata atau menulis yang baik-baik itu juga suatu sedekah, asalkan niatnya kerana Allah. Ringkas kata, asal sahaja ia baik sifatnya, maka baiklah di sisi Allah. Keredhaan Allah itulah yang perlu didambakan.

Perkara yang meletakkan kita mulia di sisi Allah, apabila kita sentiasa ingin menjadi yang baik-baik dan seterusnya yang terbaik. Dalam Al-Quran, Allah menyebut, 'fastabiqul khairat' - berlumba-lumba dalam mencari kebaikan. Allah sentiasa mengira setiap tingkah usaha kita.

Oleh itu, berkata-kata atau menulis yang baik-baik itu adalah antara cara kita ingin menjadi yang baik-baik dan seterusnya yang terbaik. Kita bermuhasabah dengan apa yang kita ungkapkan untuk orang lain turut sama bermuhasabah seperti kita. Inilah ajaran makruf.

Dalam hal menulis ini, saya selalu teringatkan kata-kata seorang ahli Sufi Mesir, Dzun Nun al-Misri [hidup sezaman dengan Imam asy-Syafi'e dan Sayyidah Nafisah at-Tahira]. Kata beliau:

“Dan tiadalah penulis itu melainkan dia akan mati. Dan ditinggalkan berzaman apa yang telah ditulis oleh tangannya. Maka janganlah kamu tulis dengan tanganmu selain sesuatu yang menggembirakan kamu di Hari Kiamat ketika mana kamu melihatnya [hasil tulisan tersebut].”

Menulis atau mengungkapkan kata-kata itu adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di Akhirat sana. Perlu berhati-hati dalam hal menulis supaya apa yang disampaikan bukanlah mengundang dosa, malah ia membenihkan kebaikan dan pahala berganda. Paling penting, ia diredhai oleh Allah.

Semoga, setiap hasil karya yang kita adaptasikan mampu menjadi bekalan amal yang bermanfaat di Akhirat kelak, insyaALLAH. Ini adalah hasrat hati dan doa saya khususnya, dan cita-cita kita semua sebelum tiba ketentuan ajal.


Hafiz Fandani

Serdang.




Related Posts with Thumbnails