Wednesday, April 27, 2011

DESTINASI CINTA SUCI


Kasih seluhur budi
kudambakan dalam memadu kemanisan cinta
kutenggelam dalam samudera alam abadi
dihiasi kesyahduan hakiki.
Kuterpana dengan tulus cinta suci-Nya
kusahut lambaian keagungan-Nya.
Selangit khalis kupasakkan
di ufuk sanubari kehambaan
di tiap wajah kesedaran.
Tunjang-tunjang kesabaran, pengorbanan, pengharapan
dan keadilan subur dalam merentas badai nafsu yang menggila.
Setiap kali kuhadap dan kutatap Watikah Keagungan-Nya
barulah kufahami dan mengerti sendiri akan kehendak,
dan maksud di bawah Duli Kemuliaan-Nya.
Kalam kesucian-Nya menggetarkan jantungku -
panas darah mengalir kencang di setiap seni batang tubuhku.
Khabar dari tinta kecintaan-Nya mentamsilkan akan kesedaran hakikat diri,
hakikat kehidupan ini dan hakikat perjalanan masani, agar aku iltizam menyusuri langkah pendahuluku, kekasih-Nya – Sayyidina Muhammad ShallalLahu ‘alaihi wa sallam.
Perutusan salam kasih-Nya kuabadikan seluruh ketaatanku pada-Nya dan pada kekasih-Nya.
Kuhamparkan titis perjuanganku untuk-Nya bagi membuktikan teguh cintaku pada-Nya, agar Dia menerimaku sebagai kekasih-Nya, hidup kekal bersama-Nya di dunia abadi;
Destinasi Cinta Suci.

Jiwa yang merasa

~ Hafiz Fandani
29 April 2003
Nahdzah, Kedah Darul Aman.

Wednesday, April 20, 2011

SEBUAH PESAN


Sudah kuhamparkan

dengan amanah. Berkali tanpa lelah.

Sebuah pesan.

Menyimpai maksud juga

penuh amanah. Tidak gentar goyah.

Terserah pada Tuhan

bagaimana Dia bolak-balikkan

benak-benak jiwa

kehendakkan citra segala.


~ Hafiz Fandani

Rabu

Detik 10.08 malam

23 Februari 2011

Desa Mutiara.

GADIS DARI TANAH RENCONG


Gadis dari Tanah Rencong
tidak pernah berlaku serong
meski zaman pantas dilencong.
Lembut bicaranya;
memalu rasa.
Lirih tartilnya;
fasih terasa.
Mulus jiwanya;
pesona bahagia.
Silunya semalu;
meruntun kalbu.

Hafiz Fandani

Rabu
Detik 9.10 malam
23 Februari 2011
Desa Mutiara.

Tuesday, April 19, 2011

RINDUKU INI


Rinduku ini tidak pernah berpenghujung

tidak pernah sirna walau untuk seketika,

dan tidak pernah layu walau tanpa siraman air.

Rinduku untukmu hidup tanpa nafas,

segar tanpa udara, dan berkemilau tanpa cahaya.

Rinduku hanya teruntuk buatmu - kekasihku.

Selamanya. Sentiasa bernafas antara mati dan hidup.

Rinduku sentiasa bergelora padamu. Hawanya sejak muasal,

sudah mengalir dingin meraksi ke segenap jirim tubuhku.

Menjadi satu, menyatu dalam lorong hayatku. Betapapun kutunggu.

Rindu ini kubawa bersama kesetiaan hingga terzahirlah aku di sisimu.

~ Hafiz Fandani

Khamis

Detik 11.15 pagi

24 Februari 2011

Desa Mutiara.

Friday, December 10, 2010

MESRA SI BURUNG


Kicau si burung
hasratnya bukan berbuat kacau
jauh sekali untuk berbuat onar.
Ria kicaunya sering kita
serongkan maksud,
sedang ia berpagi-pagi
sampaikan salam ta’aruf
hulurkan inti ma’aruf.
Kicaunya bukan gangguan
ia adalah suatu pesan
sukar ditafsir bahasa insan
mudah difahami naluri keinsafan.
Sebelum tersingkap tabir hari
si burung sudah galak mengaut rezeki,
sedang kita masih diulit mimpi.

~ Hafiz Fandani
Khamis
Detik 8.00 pagi
7hb Oktober 2010
28 Syawal 1431
F-2/4 – Desa Mutiara.

Saturday, December 4, 2010

BUNGA BANGSA


Dalam santun –

teguh langkah

pantang mengalah.

Tegar jiwanya

meskipun nyata bersahaja

dan, padu bicaranya.

Meskipun kata tersulam lembut

tersingkap segala hasrat,

memakna pada perbuat.

~ Hafiz Fandani

Selasa – 3.33 pagi

Disember 29/2009

Muharram 12/1431

Anjung Rindu – Laman Hijjaz.

LANGKAH PERWIRA


Seribu langkah –

bulat tekad

padu qasad

satu arah.

Berpantang mengalah

disahut pada seru berhajat

tangkas menepis

bijak membalas.

Hebat gerak,

tari berbunga

perwira bangsa

kalimat berselirat

nazam terpendam

dalam makna,

terhimpun padu.

Setia satu –

sekata bersatu

mengecap rindu

memuncak di kalbu.

~ Hafiz Fandani ~

Isnin

2 November 2009

Zulkaedah 1430

Detik 3.57 pagi

Kota Damansara.

Sunday, September 19, 2010

WAJAH MENGISAH


Guruku!

Kumerindui setenang wajah mengisah,

semulus senyum ahwal,

dan wira'mu.

Istiqamahmu sentiasa

mengental di pori-pori nafas wujud.

Dirimu mengenalkanku

pada salik

pada zhauq

pada shuhud

dan pada akhir kembara lempung hayat.

Dirimu tidak alpa mengingatkanku

pada kepulangan hakiki

menghadapkan sejahtera jiwa.


~ Hafiz Fandani

Isnin

Detik 10.40 pagi

20 September 2010/ 10 Syawal 1431

Kepong.

Saturday, August 7, 2010

SETANGGI SIRR


Kularikkan nafas ada
pada deru bicara
agar berbuah seri
dan menguntumkan semilir rasa
dalam setanggi sirr-Nya.

~ Hafiz Fandani ~
Rabu
10.12 malam
9 syaaban 1431
21 Julai 2010
F-2/4 - Desa Mutiara.

Sunday, August 1, 2010

AL-MUBARAK


Dulu, dalam ketenangan syahdu

kau datang mendakap rindu

terbuai aku di sunyi wadi, dalam keceriaan menyambutmu

kini, seperti waktu itu – kau datang lagi mengubat senduku

terharu, syukur – asmara di ruang rasaku bernafas ada

setia sekian kutunggu – kau menjelma membenih wangian sukma

sedang aku di benang waktu, dalam hayat hamba ternoda

gusar menunggu pasti – putus nyawa dalam jarak tak terduga

entah bersua atau tidak, sekali lagi untuk bersamamu bermesra.


~ Hafiz Fandani ~

Isnin

12 Julai 2010/ 29 Rejab 1431

Detik 8.33 malam

F – 2/4 – Desa Mutiara.

Friday, July 16, 2010

PEKIK LOLONG


Pekik lolong pada empunya kuasa dunia

lakukanlah apa saja semahu dan selera nafsu

hingga sudah tak tersisa apa jua di sini -

di bumi yang tak pernah kunjung belas

persemadian anbia’ dan awliya’

yang tak pernah merasa angin bebas

di setiap luluh persada pertiwi bangsanya

dalam lolongan, tangisan dan amarah jasad kaku

yang membentak rasa, kian detik dan waktu.

Lakukanlah apa saja semahu dan selera nafsu;

Semangat dan azam bangsa Palestina

takkan pernah lenyap membara

selagi deru bayu menerpa kubah Aqsa

dan ibu-ibu masih melahirkan perwira agama.

Lakukanlah apa saja serakah iblis

di pada maya yang fana' ini

sehingga tika masanya nanti

datang ketetapan-Nya,

sebaik-baik makar adalah

dalam tadbir dan celupan-Nya.


- Sekilas bicara menghentam rasa.


~ Hafiz fandani

Mac – 30/2010

Rabi’ul Awal – 14/1431

Damansara.

Tuesday, July 13, 2010

PADUKA MUSTHAFA

O kekasih paduka Musthafa

seru kalammu memandu kami ke daerah mulia

tamsil peribadimu menuntun kami menuju redha Dia

selawat dan salam ke atas baginda kekasih tercinta

selama bayu timur dan barat masih mesra

menerpa dinding-dinding Kota Bercahaya.

~ Hafiz Fandani ~

Detik 2.30 pagi

2 Syaaban 1431

14 Julai 2010

Rabu

F-2/4 – Desa Mutiara.


Monday, July 12, 2010

CINTA


CINTA;

adalah rasa

yang menghunjam cita

jadi akar bahagia

menukar mawar berduri

jadi teratai mewangi.

~ Hafiz Fandani

Rabu

30 Jun 2010/ 17 Rejab 1431

Detik 4.50 petang

Desa Mutiara.

Saturday, July 10, 2010

MUKMIN HAKIKI


‘Ibrah Tuhan itu

penuh hikmah dan rahmah,

dan terlalu ni’mah

bila dihadamkan dengan hati

yang kejap redha sa’adah.

Mukmin hakiki –

dalam benaknya

sentiasa bertawajjuh

pada segala takdir

dan ta’bir Tuhan.

Tidak sekali pun terbenih su’uzzhon

dan yang hanya menyelinap

di jiwa fana’nya

adalah keindahan

dan kasih sayang Tuhan.


~ Hafiz Fandani

Sabtu

29 Mei 2010/ 15 Jamadilakhir 1431

Detik 4.18 petang

Damansara.

JALINAN


Di mana sahaja terdapat embun cinta –

ke situlah mengalirnya hawa rindu;

Di mana sahaja berdenyut nafas kehambaan –

di situlah akan adanya hakikat keTuhanan.


~ Hafiz Fandani

Jumaat

4 Jun 2010/ 21 Jamadilakhir 1431

Detik 10.03 malam

Damansara.

Friday, June 11, 2010

SEMALAM


Biarkan semalam menjadi debu
Agar hari ini aku tak terus menunggu
Meski disingkap bidai mimpi
Kumasih terus mengingati.

~ Hafiz Fandani
Khamis
3 Jun 2010
Detik 1.24 pagi
2/4-Desa Mutiara.

Wednesday, June 2, 2010

SEKUDUS DOA


Para mujahid – mujahidah!
Ruap perjuangan kalian
tak pernah pudar.
Jiwa kalian
tak pernah gentar
dan kesatuan kalian
tak pernah bubar
meski tanah juang kalian
sentiasa digegar.
Tersentuh segenap jiwaragaku
mengenalkanku erti jihad
merindukanku pada mahkota syahid.
Sungguh aku
dari kejauhan
dengan penuh pengharapan
dalam kekerdilan diri
cuma bersenjatakan
sekudus doa.

~ Hafiz Fandani
Khamis
3 Jun 2010
Detik 12.43 malam
2/4 - Desa Mutiara.

Friday, May 28, 2010

GURUKU

[Memori Terindah [Gambar tahun 1966-1970]: Madrasah yang banyak meninggalkan kesan dalam diriku. Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh guru-guru yang mendidik diri ini, sama ada yang masih hidup atau telah kembali ke rahmatulLah. Jasa kalian sentiasa tersemat di ingatan. ~ HF.]


Guruku
terpandang raut wajahmu
terpancar sinar kebahagiaan
nurani tenang kekal di ingatan
di situ terukirnya nilai keikhlasan
di situ terpahatnya nilai ketabahan
di situ terpasaknya nilai keazaman
di situlah jua lahirnya wibawa seorang ilmuwan

Guruku
dirimu menjadi ikutan
mewarisi bakat Rasul Junjungan
memimpin warisan nusa zaman-berzaman
mendidik anak bangsa khazanah keilmuwan
menghidupkan akal budi nilai ketauhidan
menyuburkan jiwa yang mati asas ketaqwaan
bagai bumi gersang disirami hujan

Guruku
pada dirimu ada keadilan
sama rasa sama rata buat anak watan
tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan
itulah pengorbananmu asas perjuangan
menjadi dambaan dalam mencari rahmat Tuhan

Guruku
salam dihulur doa dipanjatkan
agar kesihatan dan usia berpanjangan
kata hikmahmu tetap menjadi pedoman
dulu, kini dan selamanya dalam pengabdian.

~ Hafiz Fandani
Ahad - 27 Julai 2008
Khazanah Fandaniyah
Kedah Darul Aman.

- Puisi yang pernah kubacakan suatu masa dulu, di depan perhimpunan sekolah bersempena Sambutan Hari Guru bersama-sama ayahanda al-Fadhil Ustaz Zainol Abidin bin Syamshudin. Kenangan yang takkan pernah dilupakan seumur hayat. Terima kasih Guruku. ~ HF.

Wednesday, April 28, 2010

AYAH


Ayah!
dulu, kini dan selamanya
kau mengajarku bertatih
meskipun berkali
kutersembam ke bumi
pecah bibir, calar siku, koyak lutut
tangis isak mengulit pilu
hatimu tak pernah mengalah
kau masih mengajarku bertatih
meskipun luka belum sembuh
tubir mata masih basah
kubangun untuk dilatih
bertatih sesudah ditatih
aku tidak lagi bertatih.

Terima kasih ayah!
demi jiwa yang nirmala
demi jiwa yang sakinah
dan demi jiwa yang muntahi
kau pancarkan cahaya Nubuwwah
kau pahatkan amanah syuhada
kau basahkan jiwaku dengan embun hidayah

Ayah!
sungguh dikau;
penyeriku
waliku
qudwahku.
Segalanya
kau pertaruhkan untukku.

Ayah!
pimpinlah jiwaku
hingga aku teguh
dalam rahmah dan mawaddah
untuk selamanya sa’adah
beratapkan langit cerah,
berhamparkan bumi indah.

[Saat mengenangkan keakraban ayah dan anak, di antara Sayyidah Fathimah az-Zahra dan RasululLah].

~ Hafiz Fandani
Isnin
Detik 7.55 malam
19hb April 2010
4 Jamadilawal 1431
Anjung Rindu.

Friday, April 16, 2010

HELAAN NAFAS


Dalam hela kubernafas
di antara gerak dan diamnya aku
tak terjangkau betapa agungnya ni’mat-Mu
tak mampu kuungkap dalam segala pengakuan
tak mampu kusingkap dalam segala kelakuan
meski selautan dakwat kupertaruhkan
meski segala kekuatan kukerahkan
hanya satu nyawa – satu jasad – satu cinta
dalam satu helaan nafas
pasti kita kan bertemu
abadi untuk-Mu.

~ Hafiz Fandani
Rabu
April – 14/2010
Rabiulakhir – 29/1431
Anjung Rindu.
Related Posts with Thumbnails